TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS SAMBUTAN
NUZUL AL-QUR’AN PERINGKAT NEGARA
BAGI TAHUN 1446H / 2025M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

​Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya jua, dapatlah kita berkumpul memperingati peristiwa Nuzul Al-Qur’an pada malam yang penuh berkat ini.

Tema sambutan Nuzul Al-Qur’an pada tahun ini berbunyi ‘Akal Sihat Dengan Al-Qur’an’.

Pada hemat Beta, tema ini menekankan betapa Al-Qur’an turut berfungsi untuk memelihara akal, diantaranya supaya akal itu sentiasa sihat. Akal adalah alat satu-satunya untuk menunjukkan kita jalan yang lurus lagi sempurna, dan akallah juga yang membezakan antara makhluk manusia dan lain-lain makhluk.

Tidak diragukan lagi, akal adalah anugerah Allah Subhanahu Wata’ala yang amat besar kepada manusia. Dengan akallah kita dapat memahami dan melaksanakan segala ajaran-Nya.

Oleh itu, Al-Qur’an sangat menekankan betapa pentingnya memelihara akal. Dalam Al-Qur’an terdapat ayat yang melarang kita merosakkan akal, seperti melarang meminum minuman keras dan apa jua benda yang memabukkan. Orang mabuk ketika mabuk, akalnya adalah rosak. Termasuk juga yang dilarang itu ialah menyalahgunakan dadah yang juga dilihat sebagai pasti merosakkan akal.

Di kesempatan ini, Beta ingin menyarankan kepada tenaga pengajar Al-Qur’an supaya terus mengukuhkan kemahiran masing-masing demi memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Al-Qur’an itu dikalangan para pelajar.

Tenaga Pengajar Al-Qur’an mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi ugama. Mereka dianggap sebagai sebaik-baik manusia, sebagaimana dalam hadis riwayat Al-Bukhari, Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari dan mengajar Al-Qur’an”.
 
Hadis ini secara khusus menunjukkan betapa besarnya pahala bagi mereka yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran Al-Qur’an itu.

Oleh itu sangatlah diharapkan, supaya setiap pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan Al-Qur’an, hendaknya dapat disampaikan dengan bersungguh-sungguh oleh para guru yang benar-benar berkelayakan yang memiliki semangat tinggi menghayati Al-Qur’an serta ilmu-ilmu di dalamnya.

Inilah harapan Beta dan harapan negara ingin melihat guru-guru yang berkaliber, khasnya guru-guru Al-Qur’an yang mampu untuk melahirkan generasi cemerlang dalam bidang Al-Qur’an.

Kerajaan Beta insya Allah, akan tetap memberi keutamaan kepada bidang pengajian Al-Qur’an itu, selaras dengan tuntutan, supaya seluruh rakyat yang berugama Islam di negara ini pandai membaca Al-Qur’an.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​