TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI MESYUARAT PERTAMA DARI MUSIM PERMESYUARATAN KE-17

MAJLIS MESYUARAT NEGARA 2021 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillaahir Rahmaanir Raheem.

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’ala Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita merafa’kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, kita dapat berkumpul di Majlis Persidangan bagi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-17 Majlis Mesyuarat Negara pada pagi ini.

Seperti sedia diketahui, penularan wabak koronavirus memberi impak besar kepada sosio-ekonomi dunia, tidak terkecuali juga Negara Brunei Darussalam. Namun Alhamdulillah, berkat usaha bersepadu semua pihak dan do’a yang terus menerus dirafa’kan, maka negara kita telah berjaya membendung wabak berkenaan. Tahniah hangat daripada Beta kepada semua petugas barisan hadapan dan bahkan seluruh lapisan masyarakat yang sama-sama berganding bahu dengan pihak Kerajaan Beta. Semoga keadaan ini akan berkekalan.

Seperti yang lazim, banyak perkara sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Beta, khususnya yang berkaitan dengan pembangunan modal insan, ekonomi dan usaha mengukuhkan kedayatahanan fiskal negara. Semua ini memerlukan komitmen seluruh lapisan, terutama sekali pemegang dasar kerajaan.

Pemegang dasar dikehendaki telus dan berani. Di dalam Persidangan ini, perbincangan janganlah dilimit untuk menyekat pandangan atau pendapat-pendapat daripada para ahli. Kerana sesungguhnya, peluang di sini tidak banyak, cuma sekali dalam setahun. Oleh itu, wajarlah bagi para ahli berbincang dengan rancak tetapi sihat.

Beta sentiasa mengikuti perkembangan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam mengadakan sesi muzakarah, bersama dengan Kementerian-Kementerian, bagi menyampaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh anak-anak buah mukim dan kampong masing-masing serta peniaga-peniaga tempatan.

Sesi Muzakarah ini elok diteruskan dari masa ke semasa tanpa menunggu Musim Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara tiba.

Banyak isu penting yang boleh dimuzakarahkan, seperti mengenai fiskal kerajaan yang menurun disebabkan oleh ketidaktentuan harga minyak global. Apakah yang sudah terjadi kepada hasil pendapatan negara? Jika terdapat sebarang unsur negatif, bagaimanakah cara menanganinya? 

Demikian juga isu lain, seperti Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) yang masih saja menjadi persoalan umum, sama ada ia dapat menjamin ahli-ahlinya menghadapi hari-hari persaraan, termasuk untuk turut menyara keluarga yang masih jadi tanggungan.

Ini semua tiada halangan untuk dibincangkan, semata-mata pada peringkat perbincangan tanpa perlu mengambil sebarang rumusan atau keputusan. Tetapi yang penting, kita mahu melihat dahulu percambahan fikiran mengenainya, terutama daripada ahli-ahli yang dilantik.

Beta mengambil maklum bahawa hampir separuh daripada peruntukan belanjawan yang disediakan pada setiap tahun adalah untuk Gaji Kakitangan dan selebihnya, untuk perbelanjaan Berulang-Ulang. Namun beberapa projek di bawah Fiscal Consolidation Programme yang diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi sejak Tahun Kewangan 2018/2019 telah mula menampakkan hasil.

Mengenai isu pengangguran. Kerajaan Beta melalui Manpower Planning and Employment Council (MPEC) telah berjaya menurunkan kadar pengangguran. Insya Allah dengan perlaksanaan beberapa inisiatif di bawah Economic Blueprint, negara akan dapat menjana peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan. Cuma diharapkan, peluang-peluang yang disediakan itu janganlah disia-siakan dengan memilih pekerjaan. Kerana mindset seumpama ini tidak menguntungkan.   

Pada tahun 2021 ini, Negara Brunei Darussalam akan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat di peringkat ASEAN dengan tema ‘We Care, We Prepare, We Prosper’. Tema ini membawa makna yang luas, sama ada di peringkat ASEAN mahupun kepada Negara Brunei Darussalam sendiri.

Beta akan mengakhiri titah ini dengan do’a, semoga permesyuaratan kali ini akan dapat berjalan lancar dan mampu untuk mencetuskan perbahasan dua hala yang bernas bagi melaksanakan projek-projek di bawah peruntukan Tahun Kewangan 2021/2022.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.