TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

BERSEMPENA
MENYAMBUT AWAL TAHUN
HIJRAH 1440

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Hijrah adalah sebahagian daripada Sejarah Islam. Sejarah, tidak hanya merakam satu-satu peristiwa, malah mengandungi iktibar dan pengajaran. Di sinilah harga sejarah itu. Sekiranya tanpa sejarah, kita pun tidak akan tahu apa nasib Islam dan umatnya.

Di sinilah juga hikmah, Allah memerintahkan Nabi berhijrah untuk menyelamatkan Islam dan Umat Islam.

Ini semua namanya ilmu: ‘Ilmu Sejarah’. Peranannya sungguh besar, selaku ‘cermin kehidupan’. Daripadanya, kita dapat melihat gambaran keadaan, bagaimana negara dan umat pada ketika itu, dan bagaimana mereka berusaha dan berjuang? Dari sejarah juga, kita tahu siapa kawan dan siapa lawan. Semuanya terakam dalam sejarah.

Dalam sejarah Hijrah, kita melihat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam adalah rasul dan pemimpin, sementara Sayyidina Abu Bakar pula, sebagai teman dan pengikut yang setia. Kedua-duanya berpegang kuat kepada falsafah: Rela melakukan apa saja untuk memperolehi redha Allah.

Inilah kunci pembuka pintu langit, sehingga rahmat pun turun menyelamatkan Nabi dan sahabat Baginda, dan bahkan menyelamatkan seluruh umat, berkat keikhlasan mereka.

Siapakah diantara kita pada masa ini yang sanggup berbuat demikian itu, dengan cuma berjalan kaki merentas padang sahara, mendaki dan menuruni gunung-ganang dan bukit-bukau di bawah terik matahari?

Mereka bukan berjalan sebatu dua, tetapi hampir 500 km daripada Kota Mekah ke Madinah Al-Munawwarah. Bayangkanlah betapa sukarnya misi ini.

Kita boleh nampak, betapa pengorbanan yang amat mencabar ini tidak berlaku dengan sia-sia. Tetapi Allah membalasnya dengan kejayaan dan keselamatan.

Beta yakin, manakala kita umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam ini mahu belajar daripada Sejarah Hijrah dan mengambil pengajaran daripadanya, maka tidak mustahil, kegemilangan umat yang telah hilang akan kembali semula ke pangkuan kita. Tetapi syaratnya, semua pemimpin dan yang dipimpin hendaklah mengikut gaya kepimpinan Nabi dan gaya siapa yang dipimpin, seperti sahabat Abu Bakar As-Siddiq Radhiallahu ‘Anhu. Mereka ini mengajak umat mentauhidkan Allah sambil membawa semua yang dipimpin bersatu padu menghindari perpecahan.

Apabila ini wujud, maka kekuatanpun menjelma. Namun kekuatan di sini bukan terbatas kepada kekuatan fizikal semata-mata, tetapi nisbah bagi Allah, kekuatan itu harus datang daripada-Nya melalui kehendak dan izin-Nya, sebagaimana Al-Qur’an memberi isyarat dalam Surah Al-Baqarah, ayat 249, firman Allah tafsirnya: “Berapa banyak golongan yang sedikit (yang lemah) mengalahkan golongan yang banyak (yang kuat) dengan izin Allah”.

Maknanya di sini, jika umat Islam lurus di sisi Allah, lurus kepimpinan dan lurus urus-tadbir serta perjuangan mereka, maka tidak mustahil, akan berlakulah janji Allah memenangkan mereka, menang di dunia dan menang di akhirat.

Oleh itu sebelum terlambat, umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam ini, mustahaklah memuhasabah diri, dimana kita ini yang sebenarnya? Di persimpangan mana? Dan di mana kita  dengan isu-isu dalaman dan isu-isu global?

Di dalam, orang masing-masing mahu hidup aman, makmur dan selamat. Tetapi melihat keluar, ada pihak-pihak yang tidak peduli saudara-saudara seugama merintih ditindas, sehingga nyawa sampai melayang dan harta benda musnah.

Inilah yang sedang berlaku, di mana ketidakadilan menghantui dunia kita, termasuk dunia Islam sendiri. Apabila keadilan tidak ditegakkan, bererti kezalimanlah yang mengambil tempatnya. Inilah, tidak dapat diterima sama sekali oleh Islam.

Islam telah mengharamkan segala macam kezaliman, dan mengutuk siapa saja yang melakukannya. Kerana itu, umat Islam khasnya, hendaklah kembali semula kepada Sejarah Hijrah, mencontohi bagaimana “Persaudaraan Seugama” pernah dijalin oleh Muslimin Muhajirin Mekah dan Muslimin Ansar di Madinah. Pernahkah persaudaraan diantara mereka ini pecah, dicemari oleh pergaduhan atau pertumpahan darah sesama sendiri? Jawabnya, tidak pernah.

Nah maknanya, rahmat Allah pun turun ke atas umat Islam pada ketika itu, menjadikan hidup mereka tenteram dan harmoni, tidak mampu untuk diganggu-gugat oleh musuh-musuh.

Pada hari dan sa’at yang bersukut baik ini, Beta dan keluarga Beta mengucapkan Selamat menempuh Tahun Baru Hijrah 1440. Semoga dalam tahun ini, Allah memberkati kita semua dan negara dengan keamanan dan rezeki yang melimpah-limpah. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.