TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL ADHA
TAHUN 1439H/2018M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala  kerana dapat pula menyambut ‘Idil Adha yang mulia, yang sangat-sangat bermakna kepada kita umat Islam. Sambutan ini menjadi syi’ar di seluruh dunia, di mana saja terdapat penganut-penganut Islam, Ugama Allah yang maha suci.

Inilah masanya umat Islam berkumpul, mempamerkan kesatuan dan perpaduan. Mereka berkumpul di rumah-rumah Allah atau di lapangan-lapangan terbuka untuk sama-sama bertakbir membesarkan Allah. Tidak diragukan lagi, inilah saat yang sangat berkat, dimana rahmat Allah turun untuk memayungi bumi. Betapa seronok dan bersyukurnya mereka yang memahami perkara ini.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Berbeza sedikit dengan Hari Raya Fitrah, di dalam Hari Raya Adha, kita disunatkan untuk bertakbir beberapa hari sehingga hari tasyriq ketiga. Dalam masa inilah juga kita umat Islam disunatkan untuk menyembelih korban.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Sekurang-kurangnya ada dua ‘pengajaran besar’ di sini, satu berkaitan dengan kesatuan dan perpaduan. Ugama Islam memang mementingkan kesatuan dan perpaduan, dan malah melarang keras untuk kita berpecah, sebagaimana firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 103, tafsirnya: “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah        (Ugama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah…”

Di sini amat jelas, bahawa Allah melarang kita berpecah belah, kerana risiko pecah belah itu sangatlah tinggi, iaitu boleh mengundang kepada padah yang buruk. Bukankah kekuatan itu dibina dengan perpaduan, sedang kelemahan pula berpunca daripada perpecahan? Ini juga ada disebut oleh peribahasa: Bersatu teguh berpecah roboh.

Oleh itu, kita amatlah mengesali situasi yang ada masa ini, di mana perpecahan itu sedang membelenggu umat Islam. Malah ia bukan lagi setakat berpecah, tetapi telahpun sampai kepada tahap berperang atau berbunuh-bunuhan sesama sendiri.

Semoga ketelanjuran yang merugikan ini akan segera berakhir hendaknya, diganti oleh kesedaran mengembalikan semua perpaduan umat.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.

Pengajaran kedua pula dari ‘Idil Adha ialah: “Pengorbanan Kerana Allah”. Apapun matlamat yang hendak dicapai adalah memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan tidak akan wujud kejayaan.

Kita membangun negara, juga dengan pengorbanan. Kerajaan mesti menyiapkan budget dan menyiapkan tenaga manusia untuk menjayakan pembangunan tersebut. Tidakkah ini satu pengorbanan dalam bentuk harta dan tenaga?

Satu contoh mudah yang lain, kita berkorban menyembelih binatang. Bukankah binatang itu aset, dan kita yang menyembelih akan menyedekahkan pula dagingnya. Tidakkah ini juga bererti satu pengorbanan, iaitu kita berkorban dengan harta untuk kebajikan ummah?

Begitu hebatnya konsep berkorban itu. Semua amal dan aktiviti, sebenarnya berasas kepada pengorbanan. Pengorbanan itu sifatnya suci dan sangat mustahak dalam kehidupan.

Beta ingin mengajak semua lapisan rakyat dan penduduk untuk sama-sama mendokong konsep berkorban dalam semua bidang duniawi dan ukhrawi. Kita berkorban untuk negara adalah dengan harta, masa dan titik peluh atau tenaga, sementara kita berkorban untuk akhirat pula ialah dengan keta’atan dalam bentuk ibadat kepada Allah.

Di kesempatan ini, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas merakamkan ucapan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam, serta tidak lupa juga merafa’kan do’a, semoga para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci pada masa ini akan sentiasa dalam selamat dan beroleh haji yang mabhur. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.