TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
YANG KE-57
BERTEMPAT
DI INSTITUT LATIHAN,
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI,
PENANJONG GARISAN, TUTONG
PADA
HARI AHAD
17 SYAWAL 1439 / 01 JULAI 2018
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana mengurniakan nikmat keamanan dan kesejahteraan kepada negara.
Beta dengan penuh bangga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang telah mempamerkan perbarisan pada pagi ini dan yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Ulang Tahun Hari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Beta tidak lupa mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-57 kepada seluruh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Kementerian Pertahanan.
Tugas utama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ialah untuk melindungi negara, selaku ianya satu kewajipan dan amanah. Maka laksanakanlah ia dengan penuh berhemah.
Negara tidak meminta lain, kecuali ini sahaja. Jangan tanya apa yang negara mahu, tetapi tanyalah kepada diri kita sendiri apa yang sudah kita sumbangkan kepada negara?
Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah melalui usianya 57 tahun. Dalam usianya sepanjang itu, tentu saja asam garam pengalaman telahpun banyak dirasai. Ini, menjadikannya lebih matang dan berkualiti lagi.
Angkatan Bersenjata Diraja Brunei perlu menyedari, bahawa kita tidak mampu untuk ketinggalan dengan perkembangan-perkembangan di persekitaran yang semakin dinamik dari hari ke hari. Maka untuk itu, bukan keupayaan fizikal sahaja yang diambil berat, malah keutuhan rohani atau spiritual juga hendaklah diutamakan.
Sebab itulah, seperti kita mengawal negara, hendaklah dikawal juga diri sendiri. Jangan ia dimasuki anasir atau dijangkiti oleh penyakit, seperti anasir dan penyakit dadah umpamanya. Kerana semua itu amat berupaya untuk melemahkan dan malah membinasakan.
Mana-mana penglibatan atau kegiatan yang bermanfaat adalah elok diteruskan, seperti penyertaan kita dalam latihan-latihan ketenteraan serantau, dua hala atau pelbagai hala. Ini, bukan sahaja berguna dari sudut latihan, malah lebih daripada itu, boleh meningkatkan kemahiran dan keupayaan operasi kita.
Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei perlu mempamerkan kesungguhan dan keindahan kerjaya tentera itu sebagai satu kerjaya yang menarik dan meyakinkan, biar ia benar-benar diminati untuk diceburi oleh para belia harapan bangsa dan negara.
Tidakkah ini juga, salah satu cara kita membina negara?
Akhir kata, Beta ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, termasuk anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang bertugas di luar negara serta yang telah bersara. Semoga segala khidmat bakti para perwira kita itu, akan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu `Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
