TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAUL​AH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN
BAGI TAHUN 1438H / 2017M

PADA
HARI AHAD
17HB. RAMADHAN 1438
11HB JUN 2017

BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

     Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita berkumpul lagi di majlis yang berkat ini. Perkumpulan ini lebih bererti lagi, kerana ia berlangsung dalam bulan Ramadhan yang mubarak.

    Nuzul Al-Qur’an adalah satu sejarah, di mana memperingati atau menyambutnya adalah sama dengan menghargai sejarah.

    Nuzul Al-Qur’an adalah ‘sejarah besar’. Umat Islam tidak patut mengabaikannya. Adapun nilai sejarah itu, lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan Islam, adalah harganya terlalu tinggi, kerana sifatnya yang luhur, berbanding dengan lain-lain sejarah.

    Sejarah adalah cermin zaman dan kehidupan. Daripadanya kita mengenali corak zaman dan kehidupan itu. Ia mesti sentiasa terbuka atau dibuka, kerana jika pintu sejarah tertutup atau ditutup, maka ini, boleh menjadikan orang buta sejarah. Bayangkanlah, kalau kita umat Islam ini tidak kenal sejarah Islam, dimanakah kita selaku orang Islam itu?

    Kerana itu, Beta pernah menekankan, supaya semua  Hari-Hari Kebesaran Islam hendaklah disambut dan dibesarkan, kerana ia adalah sebahagian daripada sejarah Islam itu sendiri.

    Berbalik  kepada Al-Qur’an, Negara Brunei Darussalam telah pun sekian lamanya memulakan pembelajaran Al-Qur’an, bermula dari sistem tidak formal sehingga kepada sistem formal melalui sekolah-sekolah satu mata pelajaran kerajaan dan bukan kerajaan, dari peringkat rendah sehingga ke peringkat tinggi.

    Selain dari belajar Al-Qur’an di sekolah-sekolah sehingga ke peringkat tinggi, membaca Al-Qur’an juga diserapkan kepada kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan sebagai amalan harian sebelum pegawai-pegawai dan kakitangan memulakan tugas masing-masing.

    Perkara ini dilihat, supaya membaca Al-Qur’an itu menjadi budaya kepada orang-orang Brunei, sambil juga bertabarruk dengannya, selaku ia adalah penawar dan rahmat bagi     orang-orang yang beriman.

    Kita menyedari, pada zaman ini, orang-orang yang membaca Al-Qur’an, berbanding dengan yang membaca bahan-bahan bacaan lain, tentu saja yang membaca Al-Qur’an adalah lebih sedikit jumlahnya. Kerana Al-Qur’an itu ditulis dan dibaca dalam bahasa Arab, yang memerlukan ianya dipelajari dengan lebih tekun dan sabar. Kerana itu tidak heran, kalau orang lebih memilih bahan bacaan lain daripada Al-Qur’an.

    Maka menyedari hal inilah, Kerajaan Beta tanpa kendur-kendurnya, terus mempromosi belajar Al-Qur’an itu dari peringkat bawah lagi sampai ke peringkat atas, dan juga secara berterusan mengadakan rancangan-rancangan penggalak bagi kemahiran membaca dan menghafaz Al-Qur’an. Bagi Brunei, kita tidak mahu bidang-bidang lain sahaja yang maju, sedang bidang Al-qur’an dan ugama tertinggal di belakang.

    Itu tidak boleh berlaku di Brunei. Di Brunei, pelajaran ugama dan Al-Qur’an itu tidaklah boleh dipandang ringan dengan sebelah mata sahaja. Ia mesti selama-lamanya unggul dan menyerlah, sesuai dengan tarafnya selaku Ugama  dan Kalam Allah.

    Kerana itu kita mahu, supaya tenaga-tenaga petugas, pentadbir dan pemegang dasar dalam perkara ini hendaklah memiliki pandangan jauh, bersemangat keislaman tulen dan bukannya lemah serta sempit pemikiran atau lebih mementingkan diri.

    Satu lagi perkara penting, pihak berkenaan ugama, boleh saja mendengar atau membaca pandangan-pandangan daripada siapa jua tentang pendidikan ugama, tetapi bukanlah bersikap mesti mengikut atau menerima apa saja pandangan itu, walaupun ia tidak sesuai atau bertentangan dengan dasar dan seumpamanya.

    Inilah namanya kita perlu konsisten untuk bertindak dan berfikir secara profesional.

    Untuk akhirnya, pada kesempatan ini, Beta sukacitanya mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya mendapat tempat di Musabaqah menghafaz Al-Qur’an Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Negara dan Peringkat Negara Anggota MABIMS.  

Mudah-mudahan dengan adanya usaha seperti ini akan mengukuhkan lagi penghayatan dan kemantapan hafalan setiap peserta.

    Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***