TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
DI MAJLIS PERBARISAN TAMAT LATIHAN
PROGRAM PERKHIDMATAN BAKTI NEGARA
PENGGAMBILAN KE ENAM
PADA
HARI ISNIN
14HB. JAMADILAKHIR 1438
13HB MAC 2017
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Marilah kita merafa’kan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-6 di Kem Latihan Kekal PKBN di Kampong Batu Apoi, Daerah Temburong dapat berlangsung.
PKBN telah berjalan agak lama. Ia bermula dengan program rintis pertama pada tahun 2011 sehingga membawa kepada pengambilan ke-6 pada tahun 2016/2017 ini. Alhamdulillah, ia juga telah mempunyai Kem Latihannya yang kekal.
Perjalanan PKBN yang panjang ini, sudah sewajarnya mampu untuk menilai tentang tujuan PKBN diwujudkan iaitu untuk melahirkan individu-individu yang berbakti kepada negara.
Soal keberkesanan PKBN tidaklah perlu berbangkit. Kerana jumlah para pelatih yang saban tahun meningkat, sudah cukup untuk menjadi bukti berlakunya perkembangan yang sihat. Hanya apa yang perlu bagi Task Force PKBN ialah melipatgandakan usahanya untuk menyediakan program-program yang bermanfa’at bagi lepasan para pelatih PKBN mencurahkan khidmat.
Setiap pelatih mempunyai potensi dan kebolehan tertentu. Potensi itu jika dipupuk, akan membuahkan keupayaan dan kepakaran yang tinggi. Namun yang penting, kita juga akan memerhatikan bakat dan cara mereka berfikir atau bertindak, sejauh manakah cara itu dipergunakan untuk kepentingan negara.
Sudah tiba masanya untuk kita menuai hasil daripada pelaburan dalam Program Khidmat Bakti Negara. Dengan moto Bersedia, Berkhidmat dan Berbakti, para pelatih PKBN sudah sewajarnya menunjukkan kepada kita, bahawa mereka itu memang benar-benar berkebolehan dan kreatif. Inilah cabaran besar untuk mereka.
Perlu diingat, satu peranan asasi mereka ialah memikul kerja-kerja sukarela. Selaku sukarelawan, mereka pada bila-bila masa, perlu bersedia untuk menyumbangkan khidmat, sama ada dalam keadaan biasa mahupun lebih-lebih lagi ketika berlaku musibah.
Inilah ‘dasar’ belia kita. Dasar ini perlu mantap untuk menjamin ketelusan dan kecekapan dalam berkhidmat.
Pihak berkenaan perlu menekankan perkara ini, sehingga ia benar-benar difahami dan dipegang kuat oleh para pelatih. Jika dasar tidak difahami dan dihayati, semua khidmat akan boleh jadi, seperti timbul tenggelam. Jika ada mood baik, baru orang buat, sementara kalau mood tidak baik, orang tidak akan buat.
Kerana itu sangat perlu, supaya dasar atau konsep itu diperkukuh. Adapun dasar atau konsep sukarela, sifatnya adalah luhur dan dinamik, ia tidak boleh dibayangi oleh sifat jemu atau malas. Inilah peranan dasar itu.
Para pelatih PKBN perlu diikat dalam satu ikatan. Ikatan itu ialah ‘dasar’ bagi organisasi. Ia boleh dijelaskan melalui apa jua termaktub dalam perlembagaan atau peraturan, dan juga boleh dilihat pada logo umpamanya. Semua ini dengan tujuan untuk memotivasikan para sukarelawan supaya tetap komited dengan khidmat kepada masyarakat dan negara.
Beta amat optimis dengan kaum belia pada hari ini, dari sudut, mereka itu suka melakukan kerja-kerja amal dalam pelbagai bidang. Begitu juga kaum belia dikenali sebagai suka berpersatuan.
Kecenderungan seperti ini sangatlah bagus untuk diteruskan. Kerana berkumpul dan berinteraksi sesama belia boleh mencetuskan idea-idea besar dan baru yang sangat berfaedah.
Akhirnya, kepada para pelatih PKBN Ke-6, Beta mengucapkan tahniah dan syabas, sambil berharap, cebisan dari pengalaman yang pernah dilalui oleh mereka menerusi program ini, akan menjadikan PKBN sentiasa istimewa di hati dan mata mereka, dan juga hati dan mata para ibu bapa dan penjaga. Di luar jangkauan latihan adalah diharapkan, bahawa alam Kem PKBN akan terus menerus menjadi tenaga, kekuatan atau Force yang digalati.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
