TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN
BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN
BAGI TAHUN 1438 HIJRAH / 2017 MASIHI
(MALAM KETIGA)
PADA
HARI KHAMIS
11HB. JAMADILAKHIR 1438
9HB MAC 2017
BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur, dapat bersama dalam majlis pada malam ini, iaitu malam ketiga dan terakhir acara Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi tahun 1438 Hijrah bersamaan 2017 Masihi.
Beta difahamkan, ramai belia yang muncul dalam semua peringkat pertandingan. Ini adalah petanda baik, adanya minat yang besar para belia untuk mempelajari bacaan Al-Qur’an sehingga ke tahap pertandingan.
Untuk sampai ke satu tahap peningkatan dari segi bacaan, Brunei perlu mempunyai kemudahan untuk mempelajari bacaan Al-Qur’an secara bertarannum.
Dalam masa yang sama, Beta juga mahu, supaya pelajaran ugama yang ada setakat kini, hendaklah terus diperhatikan. Maksud Beta, supaya mata-mata pelajaran di sekolah-sekolah ugama dan sekolah-sekolah umum mestilah sentiasa dinilai keberkesanannya.
Mengapa ini perlu? Kerana berdasarkan hasil kajian ke atas mutu bacaan Al-Qur’an dan kesempurnaan ibadat sembahyang di kalangan murid-murid dan pelajar-pelajar di semua peringkat persekolahan dan pengajian adalah amat membimbangkan. Kajian telah di buat oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan, setelah Beta sendiri memintanya untuk di buat, pada tahun lepas.
Di antara hasil kajian itu menunjukkan, bahawa kira-kira 81 peratus murid dan pelajar adalah tidak melakukan sembahyang secara konsisten. Manakala 4 peratus pula tidak pernah mengerjakan sembahyang langsung.
Kemudian dalam bidang membaca Al-Qur’an pula, hanya 41 peratus sahaja yang membacanya secara konsisten, sementara 65 peratus adalah mereka yang masih merasakan kurang berkebolehan membaca dengan bertajwid.
Dari statistik ini menunjukkan pelajaran sembahyang dan Al-Qur’an adalah masih perlu diperhatikan. Di sana masih wujud kelemahan, dan mengapa lemah, tentu sahaja berpunca dari faktor pengajaran dan pengawasan yang kurang berkesan.
Ini, tidak dapat disangkal lagi. Kalau guru lemah dan sistem pincang, maka murid dan pelajar juga pasti mengikut lemah dan pincang.
Inilah rahsianya, jika guru dan sistem pendidikan lemah. Kerana itu janganlah diabaikan sama sekali faktor guru dan sistem. Kalau berlaku kelemahan maka segeralah memeriksa guru dan sistem, bukannya menyalahkan murid dan pelajar.
Guru dan sistem adalah ibarat ‘acuan’, sementara murid dan pelajar pula adalah hasil daripada acuan itu. Kalau acuan bagus, tentu saja, apa yang terhasil akan pasti bagus juga.
Kerajaan Beta telah pun mewajibkan pendidikan ugama menerusi persekolahan ugama dan persekolahan umum. Dasar ini Beta lihat telah disambut baik oleh ibubapa. Buktinya, orang ramai, khasnya ibubapa adalah begitu ghairah terhadap pendidikan ugama, sehingga, selain menyekolahkan anak-anak ke sekolah ugama, ibubapa juga, ada yang sampai menggunakan khidmat guru private bagi mengajar tambahan anak-anak mereka mengaji Al-Qur’an dan membaiki amali sembahyang.
Ini juga sangat bagus. Cuma tinggal saja lagi, orang ramai dan pihak-pihak berkenaan, hendaklah mempastikan, yang guru-guru private itu, sama ada mereka berjawatan guru ugama ataupun jawatan-jawatan khas lain, adalah dikehendaki untuk mempunyai tauliah mengajar Al-Qur’an atau ugama daripada Majlis Ugama Islam.
Ini adalah selaras dengan ketetapan undang-undang. Tujuannya bukan saja untuk menjamin mutu pengajaran, malah juga untuk mengawal kesahihan ajaran ugama menurut fahaman dan amalan kita di negara ini.
Berbalik tentang kerisauan kita mengenai hasil kajian sembahyang tadi. Perkara ini janganlah dipandang ringan, tetapi perlu ditangani secara bersepadu oleh semua agensi yang berkenaan, seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal ugama dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Kelemahan di sekolah adalah satu perkara untuk diperbaiki. Di samping itu berlaku juga kurang penghayatan oleh pihak-pihak tertentu di dalam masyarakat. Misalnya ada pihak, sama ada agensi kerajaan atau bukan kerajaan apabila mengadakan satu-satu program atau acara, mereka tidak mengambil kira keperluan menunaikan sembahyang bagi peserta-pesertanya. Para peserta itu biasanya terdiri daripada anak-anak sekolah, para pelajar, belia dan lain-lain peserta.
Ini tidak boleh terus berlaku. Jika sudah pernah berlaku, jangan diulang lagi. Fahamilah, bahawa ibadat sembahyang itu adalah fardhu ‘ain, wajib ditunaikan pada waktunya. Adapun apa jua program atau acara, tidak boleh jadi alasan untuk meninggalkan sembahyang.
Untuk akhirnya, Beta mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya ke peringkat akhir dan seterusnya kepada pemenang terpilih bagi mewakili negara ke Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Antarabangsa nanti.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
