TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS
BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK SERTA PARA
PENUNTUT NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MALAYSIA SEMPENA KEBERANGKATAN BAGINDA KE MALAYSIA
PADA:
HARI SELASA
03HB MUHARRAM 1438
04HB OKTOBER 2016
BERTEMPAT: GRAND HYATT HOTEL, KUALA LUMPUR
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kerana dapat bersua muka dengan para penuntut dan juga warga Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di sini. Beta berharap, semuanya akan berada dalam keadaan baik-baik belaka dengan beroleh kejayaan di bidang masing-masing.
Beta difahamkan bahawa seramai 541 orang pelajar kita sedang menuntut di Malaysia dalam pelbagai bidang. Jumlah ini meningkat dari 471 orang pada tahun 2015. Beta sangatlah gembira dengan peningkatan ini.
Khusus kepada para pelajar, mereka janganlah sekali-kali lupa akan tujuan asasi mereka berada di sini. Mereka perlu fokus kepada perkara akademik, lebih daripada yang lain-lain. Mereka tidak boleh membuang-buang masa begitu saja tanpa berkaitan dengan pengajian.
Gunakanlah semua peluang untuk membina syakhsiah dan jati diri. Inilah masanya untuk bertanam benih, di mana kelak, dari benih tersebut akan dipetik pula buahnya.
Benih yang disemai atau ditanam, biarlah benih yang baik, bukan benih yang tidak baik. Kita perlu pastikan ini, untuk mendapatkan hasil yang benar-benar baik serta memuaskan.
Para pelajar mestilah bijak menilai dan memilih sesuatu. Pilihlah yang terbaik, sambil menolak yang tidak baik. Salah satu pilihan yang terbaik misalnya, ialah memilih untuk menjadi “siswazah patriotik”.
Istilah ‘patriotik’ sangat mudah dan ringan disebut. Tetapi untuk menjadikannya kenyataan, belum tentu semudah menyebutnya. Ia memerlukan azam dan pendekatan mantap.
Pendekatan boleh saja dipelajari dari mana kita menimba ilmu. Sementara azam pula adalah tumbuh dari dalam diri sendiri.
Selain dari pendekatan dan azam, landasan untuk kita jalani juga adalah mustahak dikenal pasti. Maksud Beta dengan landasan itu, ialah “acuan” atau calak yang hendak dipakai.
Bagi kita orang-orang Brunei, landasan atau acuan atau calak itu ialah MIB. Dalam makna, apa-apa jua yang tumbuh dan lahir daripada kita, adalah acuan atau calaknya tidak lain dari MIB.
Gunakan acuan atau calak ini di dalam kehidupan di mana saja. Jangan ia ditukar ganti dengan yang lain-lain.
Di bidang budaya umpamanya, kita boleh saja mengetahui atau mengenali budaya orang lain, selaku ianya satu cabang ilmu. Tetapi hanyalah setakat mengetahui atau mengenali sahaja, bukan untuk memakainya. Adapun untuk dipakai, hanyalah budaya kita sendiri, yang acuannya MIB.
Begitu juga dalam ugama atau amalan berugama, kita boleh saja melihat, mendengar dan membaca cara-cara orang lain berugama atau mengamalkan ugama, tetapi bagi orang-orang Brunei sendiri, cara-cara itu hendaklah dirujuk kepada acuan MIB, yang telah menentukan ugama itu sebagai : Ugama Islam menurut Aliran Ahli Sunnah Waljama’ah.
Para penuntut atau pelajar khasnya, perlulah tahu membezakan semua hal. Kerana jika tidak, mereka mungkin akan dibolosi oleh pengaruh-pengaruh yang tidak diingini.
Pengaruh-pengaruh itu, pastinya adalah merugikan, bukan sahaja kepada penuntut dan pelajar sendiri, malahan juga, berpotensi untuk menjejaskan negara. Apa tidaknya, kalau pengaruh itu misalnya, bertentangan dengan pegangan dan amalan kita selama ini, tidakkah dengan kehadirannya itu, boleh menjadi duri di dalam daging kepada semua, kepada bangsa dan negara?
Penuntut atau pelajar bukanlah tempat untuk bertanam pengaruh-pengaruh yang tidak baik, tetapi mereka lebih diperlukan untuk mempromosikan jati diri yang hebat dan pengalaman-pengalaman menarik kepada masyarakat. Mereka juga seharusnya menjadi pencetus kepada idea-idea besar, serta sekali gus menjadi pemilik kepada bakat dan aspirasi global.
Inilah sifat-sifat para penuntut atau pelajar yang kita harap-harapkan, untuk mengemudi negara di masa hadapan. Tanpa sifat-sifat ini, mereka tidak akan mampu untuk berbuat apa-apa yang hebat atau yang besar untuk negara.
Kerana itu Beta ingin menekankan di sini, supaya para penuntut atau pelajar kita janganlah melihat diri mereka hanya sebagai penuntut atau pelajar semata-mata, tetapi lebih jauh dari itu, mereka juga perlu melihat diri mereka sebagai calon pemimpin untuk masa depan.
Jika ada persepsi yang demikian ini dikalangan para penuntut atau pelajar kita, maka barulah ada harapan untuk ditunggu satu ‘keupayaan besar’ bakal menjelma.
Kalau sedikit masa dahulu kita sudah berjaya menghasilkan teknokrat untuk membangunkan negara secara fizikal, masa kini dan untuk masa mendatang, keperluan adalah berbeza, menghendaki kita mesti memiliki pula bakat lebih besar untuk menghadapi keadaan-keadaan lebih mencabar.
Setakat ini sahaja amanat ringkas Beta, dan untuk akhirnya Beta berdo’a semoga sekalian yang hadir ini diberkati oleh Allah dengan kebahagiaan dan kejayaan. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
