TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL FITRI
TAHUN 1447H / 2026M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Kita sangat teruja, kerana dapat lagi menyambut Hari Raya Fitrah dalam suasana aman dan sejahtera. ‘Idil Fitri adalah kurnia Allah kepada para hamba-Nya yang ta’at setia menjunjung titah perintah melaksanakan ibadat puasa. Selaku ianya kurnia, adalah wajib bagi kita untuk menjawatnya dengan rasa penuh bersyukur.
Bagaimanakah cara kita bersyukur itu? Caranya, mula-mula kita disunatkan bertakbir dan bertahmid membesarkan Allah selaku pengurnia nikmat, dan kemudian berikutnya dituntut pula kita ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Hari Raya dikenali sebagai Hari Keriaan atau Kegembiraan. Namun bagi kita orang Islam, keriaan atau kegembiraan itu memerlukan kawalan. Diantara langkah mengawal itu ialah supaya setiap kita tidak sampai terlajak mengikutkan hati dan emosi semata-mata, sehingga boleh melupakan kewajipan asasi seperti sembahyang.
Di samping itu, etika berhari raya juga kita menghendaki supaya mengambil tahu keadaan saudara-saudara kita seugama, contohnya kita dituntut menunaikan zakat fitrah bagi menolong meringankan bebanan hidup para fakir dan miskin.
Lebih jauh lagi dari itu, kita juga turut diminta untuk melihat dengan mata dan hati simpati terhadap saudara-saudara seugama kita, sekalipun mereka itu berjauhan tempat.
Pada masa ini, ada golongan yang lapar tanpa makanan, ada juga yang ditimpa musibah sampai kehilangan rumah kediaman, kehilangan harta benda, dan paling malang lagi menjadi mangsa peperangan.
Semua ini, perlu kita lihat dengan mata dan jiwa simpati. Sekiranya kita tidak berupaya untuk membantu mereka dengan mata benda, maka dengan ‘do’a’ adalah tetap dituntut. Mengapa?
Kerana persaudaraan seugama itu adalah persaudaraan yang suci, sehingga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri melalui riwayat Muslim, telah bersabda maksudnya:
“Perumpamaan orang-orang beriman dalam perkara saling mencintai adalah seperti SATU tubuh, apabila salah satu anggota sakit, maka seluruh tubuh itu akan turut sakit, tidak dapat tidur dan demam.”
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Demikian itulah hakikat dan harga persaudaraan seugama yang dibina atas dasar iman, yang menjadikannya tetap kukuh tidak mudah digugat. Beta berharap, Brunei mampu untuk jadi pengamal dasar ini, dengan terus menggalakkan perpaduan melalui amalan saling simpati dan membantu, sekurang-kurangnya membantu dengan do’a.
Baru-baru ini, sebagai tanda simpati kepada saudara-saudara seugama yang ditimpa musibah, maka Beta telah menitahkan pihak berkenaan untuk menambah Do’a Hajat yang lazim kita baca pada masa ini dengan sedikit tambahan do’a baharu.
Akhirnya, Beta dan seluruh ahli kerabat Beta dengan sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri Al-Mubarak kepada semua dan lapisan rakyat penduduk di mana sahaja mereka berada. Semoga dengan izin Allah jua, kita semua dapat menjalani sambutan ini dalam keadaan sihat dan sejahtera. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
