SABDA
 
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
TIMBALAN SULTAN
 
DI MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ
INSTITUT TAHFIZ AL-QUR’AN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
KALI KETIGA BELAS
TAHUN 1447 HIJRAH / 2025 MASIHI
 
BERTEMPAT
DEWAN UTAMA,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA (ICC),
BERAKAS
 
PADA HARI RABU
17HB RABIULAWAL 1447 BERSAMAAN 10HB SEPTEMBER 2025
 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, puji dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas limpah rahmat dan izin-Nya jua, dapatlah kita berkumpul di Majlis Haflut Takharruj, Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Ke-13 pada pagi ini.

Ucapan setinggi tahniah kepada 27 graduan yang menamatkan pengajian dan akan menerima syahadah Diploma ‘Aliyah Qira’at sebagai pengiktirafan dan mercu kejayaan masing-masing. Sesungguhnya pencapaian ini amatlah bermakna sebagai manifestasi hasil ketekunan dan kegigihan para graduan mengharungi program pengajian selama tiga tahun.

Kejayaan ini adalah juga berkat iringan doa restu, sokongan padu serta suntikan semangat untuk terus maju jaya semua pihak berkepentingan ke arah mempersiapkan barisan huffaz purih bangsa Brunei dalam bersama-sama menanai tanggungjawab fardhu kifayah bagi menyerlahkan syi’ar Islamiah di bumi bertuah Darussalam tercinta ini. Sesungguhnya segala usaha dan pengorbanan semua pihak dalam bersama-sama membentuk sahsiah para graduan adalah seiring dengan hasrat murni Kerajaan Paduka Ayahanda bagi memartabatkan kesucian Al-Qur’an dan menjadikan negara ini Negara Zikir.

Kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala jua semata-mata dipanjatkan do’a agar mereka dikurniakan ganjaran yang sebaik-baiknya serta keberkahannya kepada Negara Brunei Darussalam.

Alhamdulillah, selain modul Qur’an dan Qiraat, saya mengambil maklum bahawa para graduan juga diberikan pelbagai kemahiran insaniah meliputi kepimpinan, komunikasi, keusahawanan, dan kemasyarakatan sebagai menambah nilai khazanah ilmu kehidupan yang bermanfaat. Kurikulum Institut Tahfiz juga akan sentiasa diperkaya menjurus kepada melengkapkan diri para graduan selaku ahli masyarakat terpilih dan serba boleh dalam bersama-sama mendepani asam garam kehidupan era serba mencabar masa kini.

Dalam pada itu, kita juga perlu peka dengan perkembangan kemudahan teknologi digital yang semakin canggih dan maju terutamanya teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence atau A.I.) yang kini menjadi salah satu ‘alat bantu’ yang digunapakai secara meluas dalam pelbagai urusan kehidupan seharian. Namun, di sebalik kepesatan teknologi A.I. mendominasi setiap aspek kehidupan, kegunaannya perlu terus dikawal dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab agar tidak disalahgunakan atau dipergunakan sebagai alat untuk memanipulasi minda masyarakat.

Dalam hubungan ini, saya sukacita memetik kurnia titah perutusan Paduka Ayahanda sempena Menyambut Tahun Baru Ilal Hijrah 1447 baru-baru ini: “Perkembangan dan kepesatan teknologi menggunakan Artificial Intelligence (A.I.) adalah seumpama ‘Penghijrahan’ yang kini kita alami dalam kehidupan seharian. Meskipun perkara ini diambil positif, namun harus diingat jika A.I. disalahgunakan oleh mana-mana pihak, ianya boleh menjadi ibarat ‘virus’ yang merebak secara dalaman yang boleh meracuni pemikiran dan mengelirukan minda kita serta boleh memesongkan akidah seseorang.”

Justeru, pada hemat Saya pendedahan dan pembelajaran mengenai metodologi da’wah yang terbukti adalah penting untuk terus diperkukuh serta disesuaikan dalam kurikulum Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Harapan kita, graduan lepasan Institut Tahfiz untuk seterusnya mampu mengambil peranan penting selaku generasi penerus kepada penda’wah dan da’ie yang berdaya-maju.

Saya menyeru agar usaha untuk memantapkan ilmu masing-masing ke arah menegakkan syi’ar Islam seiring dengan prinsip maqasid syariah yang menyatukan ilmu duniawi dan nilai-nilai ukhrawi hendaklah terus diusaha dan diperkasakan.
Oleh itu, perlu juga disedari peri mustahaknya mempelajari Al-Qur’an bukan hanya setakat menekuni cara membaca yang betul berserta tajwid, malahan cabang-cabang ilmu relevan berkaitan dengan Al-Qur’an juga perlu dipelajari bersungguh-sungguh.  Antaranya adalah ilmu yang membahaskan kaedah penulisan Al-Qur’an, iaitu Ilmu Rasmul Qur’an.

Dengan adanya pengajian dan pendedahan berkaitan ilmu-ilmu dimaksudkan, para pelajar berpeluang untuk lebih mendalami ilmu Al-Qur’an dari pelbagai sudut serta bermanfaat kepada usaha sejagat untuk khususnya memelihara keaslian dan keseragaman bacaan Al-Qur’an. Pembinaan kemahirannya akan dapat mengelakkan sebarang bentuk perubahan khasnya dalam sebutan tertentu dan kaedah ejaannya.

Perkara ini adalah selaras dengan titah saranan Paduka Ayahanda pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa bagi Tahun 1446 Hijrah:

“Adalah baik bagi agensi-agensi yang berkaitan memperkemaskan lagi Garis Panduan yang sedia ada dengan mewujudkan satu akta khas penerbitan, pencetakan dan pemuliaan mushaf Al-Qur’an bagi Negara Brunei Darussalam akan dapat dimanfaatkan dalam memastikan setiap mushaf yang akan diguna-pakai itu memenuhi kaedah Rasam Uthmani yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.”

Pada hemat Saya, di sinilah keperluannya bagi para huffaz hasil keluaran Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah, khususnya para graduan yang mendalami ilmu Qiraat dan Rasam Uthmani, selaku barisan generasi yang memiliki kelayakan untuk selanjutnya menggalas dan menanai tugas mulia ini. Tanggungjawab seumpamanya adalah relevan kepada usaha sejagat untuk memelihara kemampanan, kehormatan serta keluhuran Kalamullah yang agung.

Atas dasar tersebut, usaha untuk menjaga Al-Qur’an secara penulisan, penerbitan dan percetakan tidak boleh diambil ringan. Ia perlu diurus secara serius dengan penuh titih dan lutanan khasnya oleh mereka yang berkemahiran tinggi sebagai tanggungjawab fardhu kifayah dan wadah ketaatan kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Akhir kata, Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan termasuk merakamkan penghargaan kepada sumbangan dan sokongan berterusan ibubapa, penjaga, termasuk peranan tenaga pengajar, muallim-muallimah serta seluruh warga Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam bersama-sama membentuk sahsiah dan jati diri para huffaz.

Ucapan terima kasih juga di atas usaha semua pihak relevan terdiri daripada Ahli Lembaga Institut, Jawatankuasa Akademik dan Peperiksaan, dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi serta Jawatankuasa Kerja dalam menjayakan Majlis Haflut Takharruj ini. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala membalas segala usaha dan bakti semua pihak yang berkenaan dengan balasan yang sebaik-baiknya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

***​​