SABDA
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
DI MAJLIS PERASMIAN MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1447 / 2026 (MALAM PERTAMA)
BERTEMPAT DEWAN PLENARY
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
PADA
HARI ISNIN MALAM SELASA
10HB ZULKAEDAH 1447
BERSAMAAN 27HB APRIL 2026
Assalamu ’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillah Hir Rahman Nir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, setinggi puji dan syukur dipanjatkan ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin serta limpah rahmat-Nya jua, kita dapat hadir dan berhimpun malam ini bagi mendengarkan dan menghayati bersama lantunan kalam Allah dalam Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah.
Majlis Musabaqah ini merupakan wadah penting dalam usaha berterusan negara untuk memartabatkan Al-Qur’an sebagai syiar serta pegangan dan panduan hidup yang syumul. Musabaqah yang kini memasuki tahun ke-67 membuktikan pemerkasaannya yang terus subur dengan peredaran masa.
Tema tahun ini, “Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur’an dan Menghayati Ajarannya”, menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama menjunjung dan menanai tanggungjawab serta amanah yang sangat besar ini.
Ayat-ayat suci Al-Qur’an bukan untuk dilafazkan semata-mata. Kalamullah diturunkan untuk dibaca dengan hati yang hadir, difahami dengan akal yang terbuka, dan dihidupkan dalam setiap tindak-tanduk kehidupan. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Shad, ayat 29, tafsirnya:
“(Al-Qur’an ini ialah) sebuah kitab yang Kami telah turunkan kepadamu (Wahai Nabi Muhammad), yang mengandungi berkat, supaya mereka memikirkan dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang mempunyai akal dapat mengambil pengajaran.”
Justeru, Majlis Musabaqah ini bukan semata-mata tentang pertandingan. Ia adalah usaha bersama untuk menyemai dan memperkukuh kecintaan hakiki terhadap Al-Qur’an, membentuk sahsiah dan kerohanian generasi muda menjadi pewaris yang berpegang teguh kepada tauhid.
Di sebalik membaca dengan tartil, Allah Subhanahu Wata’ala juga memperingatkan kita dalam Surah Muhammad, ayat 24, iaitu tentang hikmah serta tuntutan yang lebih besar dalam menyantuni kitabullah sepertimana tafsirnya:
“Maka tidakkah mereka memperhatikan Al-Qur’an ataukah hati mereka terkunci?”
Paduka Ayahanda memperingatkan sempena Majlis Musabaqah tahun lalu bahawa “Al-Qur’an bukan sekadar bacaan, tetapi sebuah manual kehidupan yang mendidik akal-budi untuk mengenal hikmah dan kebenaran”.
Titah Paduka Ayahanda itu menegaskan bahawa penghayatan Al-Qur’an bukan sahaja membentuk insan yang bertaqwa, bahkan turut melahirkan akal yang tajam dan jiwa yang berilmu.
Pada hemat Saya, “Celik Al-Qur’an” bermaksud lebih daripada sekadar keupayaan membaca. Ia menuntut generasi yang memahami apa yang dibacanya, lidah serta hatinya sentiasa tergerak oleh kehalusan kalam Allah, dan yang menjadikan Al-Qur’an sebagai pegangan terunggul dalam mendepani sebarang bentuk cabaran kehidupan. Perkara ini seiring dengan aspirasi negara, iaitu untuk secara berterusan memelihara kesejahteraan rakyat dan tanah air tercinta melalui gagasan pembangunan yang menyeluruh merangkumi aspek spiritual, intelektual, ekonomi, dan sosial.
Dalam hubungan ini, Saya menyambut baik dan menghargai komitmen berterusan semua pihak khasnya ke arah mempergiat serta mengembangkan pelbagai program “Celik Al-Qur’an” termasuk kelas-kelas tadabbur untuk seluruh peringkat masyarakat. Insiatif sepadu pelbagai pihak berkepentingan ini telah semakin dipermudahkan melalui berbagai kemudahan digital, termasuk rakaman audio bacaan Al-Qur’an dan rancangan televisyen berkonsepkan pembelajaran Al-Qur’an yang boleh diakses melalui saluran media rasmi Kerajaan RTBGo menurut kesesuaian masa setiap pencinta ilmu.
Mereka yang berpegang teguh kepada Al-Qur’an adalah juga mereka yang lebih kukuh dalam berhadapan dengan pengaruh negatif luar, serta lebih terdidik untuk mengenal dan memperkasa nilai-nilai falsafah negara Melayu Islam Beraja. Di sinilah peranan kita semua untuk terus berusaha mengisi kehidupan dengan mendidik akal-budi yang berupaya mengenal “hikmah dan kebenaran” yang dimaksudkan.
Akhir kata, dengan lafaz kalimah agung “Bismillah Hir Rahman Nir Rahim”, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Saya sukacita merasmikan Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1447 Hijrah.
Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
