TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


BERSEMPENA
SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
BAGI TAHUN 1440H/2018M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita sama-sama bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala  kerana dapat pula menyambut dan memperingati Hari Besar Maulid Ar-Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wassallam.

Sambutan ini, tidak jemu-jemu dilakukan, bahkan sentiasa ditunggu-tunggu untuk kita memperbaharui ingatan kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Baginda itu memang wajar diperingati, kerana tanpa Baginda, dunia ini akan selama-lamanya gelap, sehinggalah Baginda diutus, barulah nampak cahaya itu.

Kita pada hari ini, turut menikmati cahaya tersebut: Cahaya Islam dan cahaya Iman.

Cahaya Islam dan cahaya Iman bukanlah calang-calang cahaya. Selain berfungsi membersihkan lahiriah manusia, cahaya ini juga adalah berfungsi menerangi jiwa yang gelap gelita.

Jiwa yang gelap gelita adalah warisan jahiliah, yang menjadi punca kepada kehidupan serba keji dan buruk. Tetapi manakala datang Islam yang dibawa oleh Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam, maka kehidupan yang keji dan buruk itupun, dengan serta merta bertukar menjadi kehidupan yang baik dan mulia.

Demikian kemampuan Islam membawa perubahan. Dan kita kini, bahkan seluruh umat di dunia, adalah sedang menikmati perubahan tersebut. Kalau sebelum Islam, dunia ini dipenuhi dengan perhambaan, maka sesudah Islam, dunia adalah bebas daripada perhambaan. Demikian juga kalau sebelum Islam, manusia dengan sesuka hati berbunuh-bunuhan, maka sesudah Islam, pembunuhan yang sewenang-wenang, sama sekali telah diharamkan.

Maka benarlah perkhabaran Allah Subhanahu Wata’ala mengenai Nabi Muhammad  Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, yang diutus untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.

Marilah kita mensyukuri rahmat ini, yang bererti juga kita menghargai jasa Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Sementara penghargaan tersebut, tidaklah memadai hanya setakat kata-kata sahaja, malah mesti dibuktikan dengan amalan juga.

Adapun amalan yang dimaksudkan ialah melakukan apa-apa yang disukai oleh Nabi dan meninggalkan apa-apa yang tidak disukai oleh Baginda.

Jika kita mampu melaksanakan semua ini, bererti tandanya kita adalah mencintai Baginda. Maka dengan itu sempurnalah tanggungjawab kita terhadap Baginda.

Inilah tujuan utama kita menyambut dan memperingati Maulid Ar-Rasul itu, supaya kecintaan kita terus subur terhadap Baginda, dan supaya kita tidak lupa siapa dan apa ajaran-ajaran Baginda itu.

Manakala semua ini sudah menjadi pakaian kita, maka itulah matlamat dari tarbiah atau pendidikan Rasulullah. Kita sama sekali tidak boleh menolak tarbiah atau pendidikan Rasulullah, kerana jika kita menolaknya, bererti kita adalah menolak rahmat, sedang menolak rahmat itu padahnya sama dengan mengundang musibah.

Setiap kita, adalah digalakkan untuk menjadi pencetus rahmat ke dalam rumah tangga kita, ke dalam masyarakat dan negara. Kerana rahmat itulah punca bahagia. Tanpa rahmat, kebahagiaan akan menyepi dari kita.

Inilah makanya kita dikehendaki benar-benar untuk menghayati tarbiah Rasulullah, sebagai prasyarat untuk memperoleh rahmat itu.

Beta amat gembira, kerana kita mempunyai tradisi yang mantap dalam merayakan Hari-Hari Kebesaran Islam, termasuk Maulid Ar-Rasul. Tradisi ini pada hemat Beta, adalah tradisi mengundang rahmat, yang perlu diteruskan, dan jika perlu, dipertingkatkan lagi.

Kita melakukan ini ialah untuk mengilhami kehidupan berugama dikalangan kita. Kehidupan berugama tidak boleh layu atau lembik, tetapi perlu sentiasa segar dan kental. Maka kerana itulah kita digalakkan menyambut Hari-Hari Kebesaran Islam, untuk menyuntik kesedaran berugama kita. Kesedaran berugama adalah amat penting untuk mengekalkan kelangsungan umat.

Akhirnya, Beta mengucapkan selamat menyambut dan memperingati Maulid Ar-Rasul, semoga kita beroleh syafa’at kerananya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.