TITAH
 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS
BERSAMA PENUNTUT-PENUNTUT BERSERTA RAKYAT DAN PENDUDUK
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI UNITED KINGDOM DAN EIRE
 
PADA:
07 REJAB, 1447/28 DISEMBER, 2025
 
TEMPAT:
ROYAL LANCASTER HOTEL,
LONDON, UNITED KINGDOM
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir ke majlis yang sangat bermakna ini untuk beramah mesra dengan Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, yang terdiri daripada para pelajar, pegawai Kerajaan yang bertugas di sini, dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Pertemuan ini memberi peluang kepada Beta untuk bersilaturrahim dengan rakyat di perantauan, khasnya dengan para pelajar yang sedang menuntut ilmu.

Beta gembira mengetahui mengenai kejayaan akademik yang diperolehi oleh para pelajar di sini. Kejayaan tersebut berupa jumlah pelajar yang meningkat di bawah skim Biasiswa Kerajaan Ke Luar Negeri dan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan kawalan Kementerian Pendidikan yang telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan sekurang-kurangnya klasifikasi Kedua Atas (Second Upper) dari institusi pengajian di United Kingdom. Kejayaan ini meningkat dari seramai 29 orang pelajar atau 36% daripada keseluruhan pelajar yang tamat pengajian pada tahun 2024, kepada 33 pelajar ataupun 60% pada tahun ini. Ini menunjukkan pembelajaran mereka yang berkesan dan mampu untuk menghasilkan prestasi yang tinggi.

Begitu juga turut meningkat ialah jumlah pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mengikuti pengajian di bawah skim Biasiswa Kerajaan Ke Luar Negeri ke universiti yang berkedudukan 10 Teratas Dunia, iaitu dari hanya seorang pelajar pada tahun 2021 kepada 5 orang pelajar pada tahun ini. Ini juga membuktikan para pelajar Brunei mampu untuk menembusi pengajian di universiti ternama. Beta berharap, kecemerlangan ini akan terus dijaga untuk menyuntik semangat pelajar-pelajar yang lain.

Menyelusuri proses pendidikan masa kini, ada cabaran di hadapan kita. Cabaran itu berpunca dari kemajuan digital. Kehidupan dalam era digital kini banyak memberi kemudahan kepada para pelajar dalam pembelajaran, penyelidikan, komunikasi dan perkembangan kemahiran. Namun perlu juga diingat, jika teknologi ini tidak digunakan dengan bijak, seimbang dan berhemah, maka risikonya mungkin tinggi, seperti risiko keletihan digital (digital fatigue) dan ketagihan digital (digital addiction) yang boleh menjejaskan perkembangan akademik dan mental para pelajar. Dengan demikian, para pelajar mestilah bijak mengurus masa, menghadkan penggunaan media sosial dan permainan dalam talian (online gaming), serta mengutamakan interaksi bersemuka dan beriadah di luar alam siber.

Selain itu, pelajar juga sangat disyorkan untuk mendekati atau berhubung dengan para pensyarah di universiti serta pegawai-pegawai di Unit Penuntut-Penuntut bagi sebarang khidmat nasihat dan bantuan, demi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terjaga. Nikmat kesejahteraan dan keamanan mesti terus disyukuri, dengan iringan do’a, semoga Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua dan negara.

Menyentuh mengenai kemampuan pula, Beta ingin menasihatkan para pelajar, bahawa dalam mengejar kelulusan yang lebih tinggi, mereka perlu bijak berbelanja mengikut keupayaan. Ijtihad untuk menambah ilmu memang digalakkan dalam Islam, namun ia perlu disusun dengan perancangan kewangan secara bijak. Jangan ia sampai membebankan diri dan keluarga dengan hutang yang tidak terkawal, semata-mata untuk mengejar status. Buatlah perancangan yang teliti bersama keluarga berdasarkan kepentingan, bukan mengutamakan keinginan.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendo’akan supaya para pelajar dan pegawai yang sedang berada di sini akan sentiasa dilindungi, diberkati dan diberikan kejayaan yang cemerlang serta Negara kita Brunei Darussalam juga kekal aman, sejahtera, makmur dan selamat di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

* * *​​