TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS
KONVOKESYEN KALI KE-6
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI (UTB)

PADA HARI SABTU
19 MUHARRAM 1440 / 
29 SEPTEMBER 2018

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah  Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) Tahun 2018.
 
Di kesempatan ini, Beta sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang sentiasa memupuk semangat cintakan ilmu kepada para graduan sehingga mereka itu beroleh kejayaan. 
Dalam era revolusi industri ke empat (fourth industrial revolution), teknologi adalah memainkan peranan sangat penting dalam mengatur cara hidup dan cara kita bekerja. Sebagai sebuah universiti teknologi, Beta melihat, era ini adalah merupakan cabaran kepada UTB untuk melengkapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.
 
Memang, kecemerlangan sesebuah universiti banyak bergantung kepada kejayaannya mengeluarkan para graduan dan menghasilkan hasil-hasil penyelidikan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. 
Dalam konteks ini, Beta mengucapkan tahniah kepada UTB kerana pada julung kalinya pada tahun ini, telah termasuk dalam QS World University Rankings pada tangga 442, dan juga tangga ke-57 dalam Young Global University  bagi universiti di bawah umur 50 tahun. Pencapaian terkini pula ialah penarafan bintang (Star rating), di mana UTB telah berjaya meraih 5 bintang pada penilaian keseluruhan. 
Ini tidak diragukan lagi merupakan pencapaian penting bagi UTB, sebagai sebuah universiti muda, yang baru berusia 10 tahun. 
Bagaimanapun, Beta ingin mengingatkan UTB supaya tidak cepat berpuas hati, tetapi masih perlu pro-aktif dalam membuat pelan-pelan tindakan untuk pengajaran termasuk menggiatkan usaha-usaha penyelidikan di UTB. 
Satu lagi keutamaan bagi UTB dan malah semua institusi pengajian tinggi untuk memberikan tumpuan kepada tenaga akademik masing-masing. Beta berharap, supaya semua institusi pengajian tinggi menyediakan perancangan sumber manusia secara terperinci, selaras dengan keperluan universiti dan pembangunan negara.
 
Beta difahamkan, perancangan dan hala tuju UTB ke fasa seterusnya ialah melaksanakan Pelan Strategik bagi 5 Tahun akan datang dengan visi baru iaitu “A Global University Impacting Society”. Prestasi UTB akan sentiasa dinilai, antaranya melalui kualiti graduan, kebolehpasaran, keberkesanan terhadap masyarakat dan penyelidikan.
 
Mengenai penyelidikan, Beta gembira dengan kejayaan Pusat Kejuruteraan Inovatif UTB yang mendapat dana daripada ICT Virtual Organization of ASEAN Institute and NCT (ASEAN IVO), sebuah organisasi ICT Virtual yang mempunyai keahlian daripada beberapa institut penyelidikan, universiti-universiti ASEAN  dan National Institute of Information and communications Technology Jepun, di mana UTB telah diberi kepercayaan untuk mengetuai projek teknologi pintar berasaskan aplikasi visi komputer dan Artificial Intelligence  dalam industri pelancongan. Manakala dua buah projek lain pula bertujuan untuk mengintegrasikan teknologi pintar di dalam bidang perlindungan alam sekitar dan industri pertanian.
 
Berhubung dengan penyelidikan dalam bidang pertanian, Beta menyambut baik penubuhan Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Agri-Makanan atau Centre for Research on Agri-Food Science and Technology, ringkasnya CrAFT. Beta difahamkan bahawa Pusat ini berperanan untuk meningkatkan keupayaan pertanian melalui penggunaan teknologi, misalnya penggunaan Internet of Things atau IOT dalam bidang pengurusan ladang atau Smart Farm. Beta juga difahamkan bahawa Pusat ini juga akan menjalankan penyelidikan untuk menyokong dan mengembangkan lagi industri makanan. Beta berharap CrAFT akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, institusi-institusi pengajian tinggi, dalam dan luar negara.
 
Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli-Ahli Akademik, pegawai dan kakitangan, di atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan mengurniakan mereka dengan keberkatan, Amin. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.