TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
DI MAJLIS MUSABAQAH
MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT KEBANGSAAN
PADA HARI KHAMIS MALAM JUMAAT
13 REJAB, 1437H / 21 APRIL 2016M
(MALAM KETIGA)
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat bersama-sama dalam majlis yang berkat pada malam ini.
Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1437H/2016M ini adalah untuk kali yang ke-56 ia dianjurkan. Ertinya sudah lebih setengah abad negara kita memusabaqahkan bacaan Al-Qur’an peringkat dewasa.
Selama lima puluh enam tahun itu kita telah melahirkan qari’ dan qari’ah. Diantara mereka ada yang berpeluang mewakili negara ke musabaqah-musabaqah di luar negara.
Kita berasa bangga apabila ada diantara mereka yang mencapai mutu bacaan yang baik dan menggalakkan.
Lebih dari bangga, kita juga bersyukur kerana semua peringkat musabaqah membaca Al-Qur’an yang diadakan di negara ini, khasnya di peringkat murid-murid sekolah dan belia-belia, adalah memberi makna bahawa Kitab Suci Al-Qur’an itu benar-benar kita hayati dan tidak diabaikan.
Maksud Beta ialah kita di negara ini sangat memberikan perhatian kepada Al-Qur’an. Kita tidak meringan-ringankannya, malah terus memelihara dan memartabatkannya. Cara kita memartabatkan itu termasuk melalui pelbagai program mengenai Al-Qur’an.
Kita adakan program mempelajarinya menerusi sistem persekolahan ugama. Kita juga adakan program menghafaznya, sehingga membawa kepada mempelajari ilmu qira’at Al-Qur’an di Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang melayakkan lepasannya melanjutkan pengajian ilmu qira’at ke peringkat yang lebih tinggi.
Sebagai langkah mengembang dan menyebar luaskan lagi ilmu dan amalan menghafaz Al-Qur’an itu, kita juga ada menganjurkan Program Huffaz, yakni program melahirkan penghafaz dan pengamal hafazan Al-Qur’an di kalangan orang ramai. Setakat ini ada seramai 163 orang telah diperakukan sebagai huffaz, iaitu penghafaz dan pengamal hafazan Al-Qur’an dalam kategori hafazan sepuluh juz, dua puluh juz dan tiga puluh juz. Mereka itu diperiksa menerusi ujian tasmi’e pada setiap tahun sebelum mereka layak untuk menerima elaun galakan.
Sambil itu kita juga telah menerbitkan Mushaf Brunei Darussalam tulisan tangan yang disusuli dengan penerbitan Tafsir Mushaf Brunei Darussalam dan terjemahannya.
Pada hemat Beta, perhatian kita terhadap Al-Qur’an setakat ini adalah sebagai tanda kita menunaikan tanggungjawab berugama dengan sempurna.
Dalam masa yang sama kita juga bertabarruk atau mengambil berkat daripadanya. Kerana Kitab Suci Al-Qur’an itu adalah pembawa keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Dalam hubungan ini, Beta ingin menekankan, supaya perhatian berat terhadap Al-Qur’an hendaklah diteruskan. Maksud Beta, supaya ada usaha-usaha yang berterusan untuk memikir, merancang dan melaksanakan program-program yang bersesuaian.
Pada hemat Beta, adalah juga mustahak difikirkan tentang bagaimana untuk meningkatkan keberkesanan mata pelajaran Al-Qur’an itu di sekolah-sekolah ugama. Kerana setahu umum, pencapaian bacaan Al-Qur’an di sekolah-sekolah ugama itu masih saja di tahap memerlukan pembaikan dan peningkatan.
Apa yang mustahak di peringkat kanak-kanak ini ialah, untuk menjadikan mereka itu “betul-betul pandai” membaca Al-Qur’an. Inilah yang lebih mustahak disempurnakan sebelum berbangkit tentang pemahaman ayat-ayatnya dan lain-lain.
Disamping pembaikan bacaan Al-Qur’an di peringkat rendah, pada hemat Beta, elok juga diselajurkan untuk membuat kajian tentang kemampuan penuntut-penuntut sekolah menengah dalam bidang membaca Al-Qur’an. Kerana walaupun mereka sudah belajar membaca Al-Qur’an melalui persekolahan ugama sehingga darjah enam, namun ada tanda-tanda yang mutu bacaan Al-Qur’an mereka itu juga belumlah sebaik yang diharapkan.
Apabila mutu bacaan Al-Qur’an mereka itu belum sampai ke tahap seperti yang diharapkan, maka bererti kajian yang segara dan realistik perlulah dijalankan.
Seyogia diingat, keperluan untuk memperbaiki sistem pembelajaran Al-Qur’an, terutama bagi sekolah-sekolah ugama, sangatlah mendesak, kerana persekolahan ugama itu merupakan asas dan teras dalam sistem pendidikan negara pada keseluruhannya. Oleh itu, asas ini perlulah kuat untuk memperkemas pendidikan bangsa.
Akhirnya, mengenai Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan pada malam ini, Beta berharap ia akan menampilkan Qari’ dan Qari’ah yang terbaik di antara semua peserta. Kerana selepas ini, mereka akan berhadapan pula dengan keadaan yang lebih mencabar.
Beta sukacita dengan ini mengucapkan selamat bermusabaqah, sambil juga kita bersyukur kerana dapat meraih pahala dari membaca dan mendengar bacaan Al-Qur’an itu.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
