TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS RAMAH MESRA
BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
YANG BERADA DI AUSTRALIA
PADA HARI SABTU
17HB. MAC, 2018
BERTEMPAT
SYDNEY, AUSTRALIA
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah Beta pada hari ini bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di Australia, terutama para pelajar, pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di sini dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.
Majlis ini memberi peluang kepada Beta untuk mengetahui secara dekat kesejahteraan rakyat dan penduduk, terutama sekali para pelajar yang sedang mengikuti pengajian mereka di sini, sama ada melalui Skim Biasiswa Kerajaan, Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan mahupun melalui pembiayaan sendiri.
Kepada para pelajar sayugia Beta ingatkan akan kepentingan ilmu pengetahuan, terutama dalam usaha kerajaan Beta menjayakan Wawasan Negara 2035. Generasi muda yang berpendidikan tinggi adalah sebenar-benarnya sumber asli negara yang tiada ternilai. Dengan rakyat berilmu dan berkemahiran akan mampu untuk memacu ekonomi dan kemakmuran negara.
Harapan Beta ialah, supaya generasi muda lebih berani menyahut cabaran. Para belia perlu tampil menyumbangkan buah fikiran dan usaha membangunkan negara. Sebagai aset masa depan, para belia mestilah kaya dengan semangat dan cita-cita.
Oleh itu, para pelajar selaku belia perlu merebut setiap peluang yang disediakan oleh kerajaan, khasnya dalam bidang pengajian tinggi. Peluang ini bukan saja untuk pengajian di luar negara malahan juga untuk meningkatkan lagi nilai dan jati diri para pelajar. Apa jua ilmu dan kemahiran adalah ia nadi untuk kecemerlangan.
Beta minta kepada para pelajar, supaya menghargai kemudahan-kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan. Setiap penerima Biasiswa, mestilah menunjukkan komitmen dan kesetiaan mereka terhadap tanahair, dengan cara, apabila telah selesai menamatkan pengajian kelak, mereka tidak akan mungkir untuk menabur bakti kepada negara. Inilah namanya semangat patriotisme.
Di samping itu, para pelajar juga janganlah mudah lupa diri, bahawa mereka adalah anak-anak Brunei sejati. Selaku orang Brunei, mereka adalah dengan pegangan, budaya dan identitinya sendiri. Bawa dan peganglah kuat-kuat pegangan, budaya dan identiti ini, jangan ia dilepaskan atau ditukar ganti. Inilah aset kita. Inilah ‘harga’ diri kita.
Dengan bahasa yang mudah, kita adalah pemilik MIB. MIB itulah sistem kita, MIB itulah identiti kita. Jika kita membuang MIB, bererti, sama dengan kita menolak sistem dan mengaburi identiti sendiri. Jadi, siapa kita pada ketika itu?
Namun Beta yakin, para pelajar kita tidaklah perlu untuk diragui lagi, kerana mereka sudahpun matang, dengan banyaknya membaca dan mendengar tentang sejarah bangsa dan tanahair, Brunei Darussalam.
Brunei, Beta yakin, tidak miskin dengan warga pelajarnya yang bersemangat keBruneian. Demikian juga, Brunei boleh berbangga dengan warga pelajarnya yang berdisiplin tinggi. Tidak seperti di tempat lain, ada pelajar-pelajar yang lemah disiplin, sehingga jadi duri kepada masyarakat. Mereka menubuhkan kumpulan-kumpulan samseng, membuli dan mendera sesama mereka, belum lagi termasuk yang terlibat dengan dadah dan seumpamanya.
Ini semua, Beta tidak mahu berlaku kepada pelajar-pelajar kita. Tetapi sebaliknya, pertahankanlah Brunei untuk terus mempunyai rekod bersih mengenai pelajar-pelajarnya. Janganlah dihitamkan rekod ini untuk selama-lamanya.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
