TITAH 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
DI MAJLIS 
SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ
BAGI TAHUN 1437H / 2016M
PADA
HARI KHAMIS, 
27 REJAB 1437 / 05 MEI 2016
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Kita sangat bersyukur, kerana Allah Subhanahu Wata’ala terus mengurniakan kepada kita rahmat-Nya, berupa nikmat sihat dan panjang umur, sehingga dengan itu dapatlah kita menunaikan ibadat dengan penuh selesa. 
Dapat beribadat dengan selesa, terutama ibadat sembahyang, tidak syak lagi adalah satu nikmat. Kerana bukankah sembahyang itu tiang ugama dan malah “Kunci Syurga”?
Tidak diragukan lagi, orang yang mampu mendirikan sembahyang adalah orang yang beruntung. 
Oleh itu, peliharalah sembahyang itu. Cara yang paling utama memelihara sembahyang, ialah melakukannya dengan konsisten pada awal waktunya. 
Di samping itu, adalah juga menjadi perkara asasi, ialah melakukan ibadat ini dengan betul, dengan menjaga segala rukun dan kaifiatnya (cara-caranya). Jika ini dapat dipenuhi dengan baik, maka barulah sembahyang itu dianggap sempurna. Jika tidak, maka selama itulah kita tetap dituntut untuk memperbaikinya. 
Jarang orang bercakap mengenai membaiki ibadat sembahyang. Yang banyak diperkatakan ialah, tentang membaiki bacaan Al-Qur’an. 
Pada hemat Beta, kedua-duanya itu patut diberikan perhatian seimbang, kerana bukan tidak pernah berlaku kekurangan atau kepincangan dalam perkara melakukan ibadat sembahyang itu. 
Hanya kita di Brunei, mungkin belum ada statistik tentang sembahyang, tetapi di luar negara, kita sudah baca, bahawa penuntut-penuntut, bahkan mereka yang di peringkat menengahpun, masih ramai yang tidak atau belum sempurna sembahyang mereka. 
Apakah perkara seumpama ini tidak mungkin berlaku di negara kita? Siapakah yang boleh berkata “TIDAK”, sedangkan kita belum lagi pernah mengkajinya? Atau belum pernah menyediakan sebarang statistik mengenainya?
Maka melalui majlis yang penuh berkat pada hari ini, Beta sukacita mengharapkan, supaya pihak-pihak yang berkenaan akan tampil untuk membuat kajian-kajian terperinci, bukannya setakat kajian rambang, mengenai pencapaian masyarakat, khasnya penuntut-penuntut kita pada keseluruhannya, termasuk juga para mahasiswa di pusat-pusat pengajian tentang mutu bacaan Al-Qur’an dan sembahyang mereka. 
Perlu diingat, kesalahan atau kekurangan di peringkat awal atau di peringkat kanak-kanak, adalah lebih mudah untuk memperbaikinya daripada setelah umur tua, di mana kesalahan atau kekurangan itu telah menjadi sebati. 
Bersempena dengan meraikan sambutan Isra’ dan Mi’raj ini, marilah kita sama-sama memuhasabah diri. Mana-mana yang masih kurang akan kita tambah dan apa jua yang belum disempurnakan akan kita sempurnakan dengan izin Allah.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
***