​TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


SEMASA MAJLIS BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK
NEGERA BRUNEI DARUSSALAM
DI UNITED KINGDOM DAN EIRE
BAGI TAHUN 1439H / 2017M


PADA HARI AHAD, 28 RABIULAWAL 1439
BERSAMAAN DENGAN 17 DISEMBER 2017

Beta bersyukur ke hadhrat Allah
Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah Beta pada hari ini bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, terutama para pelajar, pegawai-pegawai kerajaan yang sedang bertugas di sini dan juga mereka yang sedang bercuti bersama-sama keluarga.

Bagi para pelajar, Beta ingin mengingatkan bahawa Kerajaan Beta akan terus memberikan keutamaan kepada pendidikan, termasuk penyediaan skim-skim biasiswa dan skim bantuan pinjaman pendidikan.  Oleh yang demikian, para pelajar adalah dikehendaki supaya memberikan fokus terbaik kepada pembelajaran, sambil bersikap sentiasa ingin mempertingkatkan diri masing-masing.

Begitu juga mereka yang mengikuti pengajian melalui perbelanjaan sendiri, sewajarnya, lebih gigih lagi.  Kerana perbelanjaan yang dilabur oleh keluarga untuk menampung kos pengajian setiap pelajar bukanlah kecil.  Kerana itu, ianya mestilah dihargai.

Selain dari aspek pembelajaran, para pelajar juga diharapkan untuk mempertingkatkan keupayaan diri. Dalam makna, pelaburan yang tinggi ini bukan hanya untuk meraih kejayaan akademik semata-mata, malahan juga untuk menyumbang kepada pembangunan negara apabila kembali ke tanah air kelak.

Mengenai pembangunan negara ini, para graduan boleh memainkan peranan penting ke arah itu.  Ilmu dan kepakaran yang mereka perolehi adalah salah satu asas atau foundation untuk merealisasikan matlamat pembangunan tersebut. Namun ini hanya baru satu persiapan dalam menempuh alam pekerjaan.

Selain itu, rukun pembangunan juga mengambil kira kualiti dalaman, iaitu syakhsiyah dan sikap yang hebat dalam membangun.

Kita orang-orang Brunei, syakhsiyah dan sikap itu calaknya adalah MIB.  Maka selain MIB, ia bukan Brunei.

Ini mustahak untuk difahami oleh para pelajar sekalian.  Mereka adalah pewaris MIB, anak kandung kepada MIB.  Mereka tidak boleh berpaling tadah daripada MIB, walau apapun bidang pendidikan yang mereka pilih atau ambil.

Seyogia diingat, MIB bukanlah hanya untuk disandarkan kepada mata benda, seperti ada yang menyebut: “Kueh MIB” atau “Pakaian MIB” atau “Rekabentuk MIB” dan seumpamanya.  Tetapi yang lebih utama untuk difahami  di sini, bahawa MIB itu juga adalah sistem atau dasar atau nilai sistem bagi Brunei Darussalam.

Lalu kerana itu, janganlah ada yang sampai terbabas daripada landasan atau yang cuba meminati yang lain dari MIB.  Jika ada ini, sikap sedemikian itu adalah tidak patriotik selaku warga Brunei.

Di kesempatan ini, Beta sukacita mengucapkan tahniah kepada dua orang pelajar yang terpilih untuk menerima anugerah biasiswa
The Chancellor’s Scholar Universiti Brunei Darussalam bagi sesi 2017/2018 dalam pengajian di institusi-institusi ternama di United Kingdom.  Beta difahamkan, antara 9 orang penerima biasiswa berprestij ini, dari tahun-tahun yang lepas, 5 daripada mereka telahpun memulakan perkhidmatan di Universiti Brunei Darussalam.

Beta berharap, penerima-penerima anugerah ini akan terus mempertingkatkan lagi diri masing-masing sebagai
role model kepada pelajar-pelajar yang lain.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendo’akan agar semua pelajar dan pegawai yang bertugas di sini akan sentiasa berada dalam sejahtera dan perlindungan Allah
Subhanahu Wata’ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.