TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL FITRI
BAGI TAHUN 1438H / 2017M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Pada ‘Hari Besar’ yang diagungkan ini, marilah kita sama-sama membesarkan Allah dengan takbir dan tahmid, sambil banyak-banyak bersyukur ke hadrat-Nya, kerana kita telah berjaya melaksanakan kewajipan berpuasa selama sebulan penuh.

Adapun Beta menggunakan perkataan ‘berjaya’ di sini, ialah sebagai mengambil kira, bahawa ibadat berpuasa itu adalah merupakan satu perjuangan besar melawan hawa nafsu, dan barang siapa yang berjaya melaksanakannya, tidak diragukan lagi, orang itu adalah seorang pejuang yang hebat yang telah berjaya dalam perjuangannya yang sangat mencabar itu.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Mengambil sukut baik di hari yang mulia ini, Beta dan keluarga Beta tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana saja mereka berada. Beta berdo’a semoga mereka berada dalam sejahtera dapat merayakan hari yang bahagia ini dengan aman dan selesa.

Kita wajib bersyukur, kerana Negara Brunei Darussalam dapat menikmati keamanan dan ketenteraman, sedang dalam era masa ini, bukanlah mudah untuk orang dapat mengecap nikmat keamanan dan ketenteraman itu.

Kita sudah pun menyaksikan atau mendengar, bahawa situasi tidak aman dan tidak tenteram itu berlaku di sana sini tanpa mengira bahagian mana di dunia ini.

Ini menandakan dunia kita sekarang sedang mengalami musibah pertentangan atau pertelagahan yang sangat teruk, yang telah dan sedang merosakkan keamanan dan ketenteraman itu, di mana kita sangat sukar untuk meramalkan, bilakah musibah itu mungkin berakhir?

Bagaimanapun, kewajipan utama kita ialah memastikan bahawa negara kita sendiri sentiasa berada dalam selamat serta terpelihara daripada sebarang bahang kemelut yang tidak diingini.

Disamping itu, kita juga tidak akan membiarkan sebarang anasir untuk membawa dan menyebarkan ‘kudis’ ke dalam negara ini. Lalu untuk itu, kita semua mesti berazam untuk melindunginya dengan izin Allah.

Nikmat keamanan dan ketenteraman adalah segala-galanya. Ia mengatasi nikmat yang lain-lain.

Walaupun wang kita banyak atau negara berstatus ‘gergasi ekonomi’, namun jika tidak aman atau tidak tenteram, maka semua itu akan jadi kurang bererti.

Demikian kepentingan keamanan dan ketenteraman itu.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Berbalik kita kepada Hari Raya. Alhamdulillah, pada setiap tahun, Hari Raya dapat kita sambut dalam suasana aman damai dan penuh kegembiraan bersama-sama dengan kaum keluarga dan rakan taulan.

Beta berharap keadaan seperti ini akan terus berkekalan, di mana semua orang akan dapat sama-sama berkongsi bahagia tanpa ada kecualinya.

Munasabah kita berhari raya, Beta ingin berpesan ‘dua’ perkara, pertama: Betapa perlunya kita menjaga kesihatan, dan kedua: Diperlukan juga untuk mengawal perbelanjaan.

Ketika musim puasa, sistem makan minum kita adalah terkawal. Dan ini, tentu saja baik untuk kesihatan. tetapi  apabila menjelang Syawal, sistem itu mungkin berubah dan sekali gus membawa impak sebaliknya.

Oleh itu, situasi ini mewajarkan kita, supaya bersikap terus sederhana, apabila memilih dan mengambil makanan, sebagai langkah atau cara kita memelihara kesihatan. negara boleh saja kekal maju dan malah kuat apabila warganya sihat.

Sementara dalam perkara berbelanja pula, kita orang-orang Islam adalah dikehendaki supaya lebih berhemah, dalam makna, perlu berjimat dan tidak membazir.

Sifat boros dan membazir, selain menyalahi ajaran ugama, ia juga adalah satu tabi’at yang merugikan. Ia perlu diatasi. Jika tidak, rezeki kita dikhuatiri tidak akan berkat. Macam-macam keburukan boleh terjadi jika rezeki tidak berkat.

Bagaimanapun, Beta optimis, ibadat puasa yang baru saja kita lalui, Insya Allah, dapat mengubah atau memperbaiki segala sikap atau tabi’at yang perlu berubah.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.