TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL FITRI
BAGI TAHUN 1439H / 2018M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Di hari yang bersukut baik lagi mulia ini, marilah kita sama-sama merafa’kan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengurniakan kepada kita nikmat Islam dan Iman, sehingga dengan itu, jadilah kita, para hamba yang beruntung dapat menunaikan segala perintah-Nya termasuk perintah berpuasa.
Ibadat puasa adalah satu dari rukun Islam yang ke lima, di mana kita yang melakukannya adalah selaku hamba yang mematuhi tuntutan Islam itu. Oleh itu, wajarlah kita bersyukur kerana telah ditakdirkan menjadi orang Islam.
Selepas ibadat puasa, Allah mensyariatkan pula Hari Raya Fitrah, sebagai hari untuk bersukaria, setelah sebulan penuh kita menahan diri daripada perkara-perkara yang ditegah semasa berpuasa.
Hari Raya Fitrah sangat unik dan tersendiri sifatnya. Ia bukan semata-mata untuk bersukaria biasa, tetapi turut dituntut ialah untuk menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak. Inilah inti pati kita merayakan Hari Raya Fitrah itu.
Bukankah kemuncaknya, kita bergerak ke masjid untuk menunaikan Sembahyang Sunat ‘Idil Fitri? Di masjid sebelum sembahyang, kita beramai-ramai bertakbir, bertahlil, bertahmid dan bertasbih mengagungkan Allah. Inilah keraian yang unik itu. Impaknya tidak kosong, tetapi sarat dengan janji pahala daripada Allah.
Pada hemat Beta, senario hari ini, sangatlah mewajarkan kita orang-orang Islam untuk banyak-banyak berzikir atau mengingat Allah. Kerana dunia kini betul-betul sedang tenat dengan kemelut, dengan perkelahian-perkelahian di sana sini. Keamanan sudah tidak terjamin, diganti oleh huru-hara dan pembunuhan-pembunuhan kejam.
Ini semua, tidak terkecuali, turut berlaku dikalangan orang-orang Islam sendiri.
Perkara ini berlaku, kerana mungkin, kita ini sudah, atau semakin jauh daripada Allah. Orang sudah amat sedikit mengingat Allah, berbanding mengingat yang lain-lain. Kerana itulah musuh mudah masuk. Selain musuh syaitan, juga tidak terkecuali ialah musuh dari kalangan manusia.
Pada hemat Beta, usaha yang paling dharuri untuk mengubat penyakit ini ialah, kita mesti bersegera mendekati Allah, menyebut dan mengingati-Nya banyak-banyak, serta memohonkan petunjuk dan perlindungan-Nya.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Mengambil sempena bulan yang penuh berkat ini, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana saja mereka berada. Beta berdo’a semoga kita semua dikurniakan kesihatan dan peluang untuk merayakan hari yang berbahagia ini.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
