TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
SEMPENA
HARI RAYA 'IDIL FITRI
TAHUN 1437H/2016M
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Dengan segala syukur dan sukacita, Beta dan keluarga terlebih dahulu merakamkan ucapan Selamat Hari Raya 'Idil Fitri kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam di mana saja mereka berada. Semoga sekaliannya berada dalam keadaan sihat 'afiat, selepas berjaya menunaikan salah satu rukun Islam, puasa pada bulan Ramadhan.
Mulai malam ini sehingga imam mengangkat takbiratulihram bagi Sembahyang Hari Raya pada keesokannya, kita disunatkan bertakbir, dan esok pagi juga kita bergerak ke masjid atau surau atau balai ibadat untuk menunaikan Sembahyang Sunat 'Idil Fitri.
Demikianlah indahnya urutan ibadat yang telah disyari'atkan oleh Allah ini, dengan kita mula-mula berhempas pulas memenuhi tuntutan berpuasa, diikuti sembahyang tarawih, bertadarus Al-Qur'an dan Qiyamullail.
Dalam jangka waktu yang agak panjang sebulan penuh, kita sebenarnya adalah diuji, sama ada mampu ataupun tidak untuk bersabar memenuhi titah perintah Allah dengan berpuasa. Jika kita mampu bersabar, maka kitalah orang yang berjaya, sedang kalau tidak, maka kitalah orang yang kekal kecewa di hari akhirat kelak.
Oleh itu berhaklah bagi siapa saja yang sanggup bersabar, untuk bergembira pada hari ini, sebagai tanda kejayaan mereka melalui "ujian besar" berpuasa pada bulan Ramadhan.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Sangat biasa kita mendengar orang menyebut, bahawa puasa itu adalah "terapi ketuhanan" untuk kesihatan. Ia sangat berkesan untuk mengatasi pelbagai masalah, seperti masalah glukosa tinggi dalam darah, tekanan darah tinggi, berlebihan berat badan, obesiti dan sebagainya.
Kesihatan adalah faktor yang paling penting untuk semua. Jika badan sihat, semua kerja boleh dibuat dengan baik, sebaliknya jika tidak sihat, maka segala aktiviti tidak akan dapat berlaku dengan sempurna.
Inilah rahsia atau harga kesihatan.
Ugama Islam sangat mementingkan kesihatan. Diantara langkah paling berkesan untuk mengekalkan kesihatan ialah melalui pemakanan. Al-Qur'an dan Hadits Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam sendiri tidak ketinggalan menyebut tentang pemakanan. Al-Qur'an mengungkap: bahawa makan minum itu boleh saja, tetapi jangan sampai berlebih-lebihan. Sementara Hadits Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam pula sampai menyebutkan sukatan: satu pertiga untuk makanan, satu pertiga lagi untuk minuman dan satu pertiga pula untuk bernafas.
Inilah kaedah pemakanan bagi kesihatan. Kita umat Islam dituntut untuk memakai kaedah ini, di mana sebagai pelengkapnya ialah ibadat berpuasa.
Baru-baru ini kita mendengar atau membaca laporan Global Nutrition Report 2016 yang menempatkan Brunei Darussalam sebagai negara 'ranking' tertinggi bagi obesiti dikalangan orang dewasa di rantau ASEAN.
Manakala, hasil Kajian Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam sendiri pula, telah mendapati, bahawa tahap peningkatan berat badan berlebihan dan obesiti adalah sangat tinggi, mencapai sehingga 61 peratus dewasa. Sementara kesan dari masalah ini, telah pula dibutirkan sebagai: lebih dari 30 peratus penghidap tekanan darah tinggi, 12.4 peratus penghidap diabetes dan 70 peratus penderita dari kolesterol tinggi.
Perangkaan ini amatlah mencemaskan. Kita tidak dapat memandang ringan lagi, melainkan dari sekarang, kita perlu mendisiplinkan diri untuk mengatasi gejala ini dari terus meningkat.
Caranya, kita mestilah cepat bertindak memupuk kesedaran, supaya semua orang menjalani gaya hidup sihat dan gaya pemakanan sihat. Ke arah ini, pihak-pihak yang berkenaan dalam Kerajaan tidaklah boleh lengah lagi dari memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada masyarakat.
Promosi dan motivasi mesti ditingkatkan, tidak memadai hanya sekali dua sahaja dilakukan, tetapi perlu berterusan, sehingga kefahaman yang mendalam dapat benar-benar diresapi kepada masyarakat.
Akhirnya, Beta berharap, semua kita di negara ini akan mengambil perhatian terhadap apa jua perkembangan semasa, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan perkara kesihatan, kerana kesihatan itu tidak syak lagi, adalah satu rukun untuk memperolehi segala kebaikan.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
