TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
HARI KEPUTERAAN YANG KE 71 TAHUN
PADA
HARI SABTU
21HB. SYAWAL 1438
15HB JULAI 2017
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah
Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula merayakan hari keputeraan Beta pada tahun ini dalam suasana aman dan sejahtera.
Mula-mula ingin Beta merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para tetamu khas Beta yang sudi hadir, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga bersempena dengan perayaan ini.
Tiada nikmat yang sangat bernilai yang telah dan sedang dinikmati oleh Brunei Darussalam, melainkan nikmat aman, bersatu padu serta makmur. Oleh itu, semua pihak hendaklah berazam sambil memohon kepada Allah, supaya nikmat ini dikekalkan dan terus subur.
Dalam bidang pertumbuhan ekonomi, Beta gembira menyaksikan pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan ke arah itu. Dua pendekatan utama sedang di fokus bagi memastikan bahawa pertumbuhan adalah benar-benar berlaku. Pendekatan pertama ialah meningkatkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan kedua, menyokong serta menggalakkan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana untuk mampu menembusi pasaran-pasaran serantau dan antarabangsa. Dan untuk ini Beta mahu, supaya sektor awam dan swasta sama-sama berganding bahu mempertingkat daya inovasi dan kreativiti masing-masing, sehingga mampu menghasilkan produk atau perkhidmatan berkualiti.
Dalam konteks ini, pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan adalah diharapkan untuk membentuk persekitaran kondusif bagi kemajuan perkapalan dan logistik sebagai usaha memenuhi keperluan import / export.
Selain itu, satu usahasama atau
‘joint-venture’ juga sudah dijalin antara Darussalam Assets dengan sebuah syarikat luar negara bagi mengendalikan secara profesional Pelabuhan Muara. Ini juga diyakini dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Di akhir-akhir ini kita wajar berbangga, dengan bertambahnya para belia tempatan yang berani muncul menceburi bidang-bidang perniagaan dan perusahaan. Bukan setakat menceburi sahaja, malah berupaya menawarkan produk-produk mereka melalui pelbagai kemudahan atau platform terkini, disamping tidak ketinggalan memanfaatkan kemudahan bangku-bangku jualan yang disediakan oleh Kerajaan.
Ini tidak syak lagi adalah satu perkembangan memberangsangkan.
Perkembangan lain, Kerajaan Beta juga, kini sedang melipatgandakan usaha untuk melengkapkan para belia dengan kemahiran-kemahiran yang bersesuaian. Ini berlaku melalui beberapa program tertentu, disamping, Unit Tenaga Manusia, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, juga secara khusus, telah mengenalkan kursus berasaskan Rangka Kemahiran Industri atau
Industry Competency Framework (ICF).
Bagi maksud ini, Beta telah pun memperkenankan satu inisiatif tambahan, Penubuhan Pusat Pembangunan Kapasiti (PPK), yang akan menawarkan latihan-latihan kepada anak-anak tempatan bagi melayakkan mereka menjawat pelbagai pekerjaan di sektor swasta termasuk syarikat-syarikat Pelaburan Langsung Asing.
Kita adalah menyedari, bahawa pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih dalam keadaan ‘perlahan’. Oleh itu, sangat penting bagi Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan mensasarkan usaha-usaha mereka ke arah mempercepatkan pertumbuhan keluaran syarikat-syarikat di bawah jagaan masing-masing, sama ada syarikat-syarikat itu milik swasta atau kerajaan, terutamanya syarikat-syarikat dari sektor bukan minyak dan gas.
Peningkatan produktiviti dijangka mampu untuk memperbaiki daya saing keluaran syarikat-syarikat, dan sekali gus membolehkan mereka menembusi pasaran export. Meneroka pasaran export oleh pengusaha-pengusaha tempatan boleh menyumbang kepada pertumbuhan KDNK dan memperbaiki kedudukan fiskal kerajaan.
Satu lagi perkembangan dan pencapaian membanggakan, ialah dalam bidang pengajian tinggi. Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menempah rekod mengekalkan kedudukannya dalam
ranking universiti Asian atau
‘Asian QS University Rankings’.
Perlu diingat, bidang pengajian juga adalah satu pelaburan sepanjang hayat. Ia juga berstatus lambang dan suluh kehidupan. Sebab itu pendidikan tidak boleh layu atau lemah, tetapi untuk selamanya, ia perlu segar dan cemerlang.
Namun kecemerlangan itu di sini, masih saja tertakluk kepada kemampuan kita mengadakan pendidikan seimbang, ukhrawi dan duniawi. Lebih-lebih lagi sekarang, dunia sudah terbuka luas kepada budaya ‘bercampur-campur’, budaya baik dan budaya buruk, di mana pendidikan ukhrawi sahaja yang mampu untuk membezakan antara dua budaya ini untuk kita membuat pilihan. Kerana itu pendidikan Islam sangatlah perlu untuk lebih mantap dan menyerlah.
Dalam amalan antarabangsa, kita akan terus memupuk dan mempertingkatkan kerjasama dengan negara-negara sahabat, sama ada melalui hubungan biasa mahupun melalui keahlian kita dalam pertumbuhan-pertumbuhan serantau dan antarabangsa.
Dalam era yang tidak menentu ini, persahabatan antara negara-negara di dunia adalah perlu wujud dan berkekalan. Kerana jika tidak, inilah punca keamanan boleh tergugat, di mana kita selaku negara dan orang Islam, sepatutnya lebih memahami perkara ini, berdasarkan, ugama Islam sendiri telah menganjurkan hidup berbaik-baik dengan siapa saja, dan khusus bagi sesama Islam pula, kita telah pun diajar untuk tidak memutuskan tali
silatur rahim.
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.
Penghargaan yang setinggi-tingginya juga disampaikan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di kedua peringkat kebangsaan dan daerah, atas segala khidmat mereka menjayakan Perayaan ini.
Beta berdo’a semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan senantiasa kekal aman dan makmur, dikurniakan rahmat dan perlindungan oleh Allah
Subhanahu Wata’ala. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
