TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KE-28
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)
PADA:
HARI SABTU
14HB MUHARRAM 1438
15HB OKTOBER 2016
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen kali ke-28 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.
Beta dengan sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing di universiti ini. Beta berharap dengan kejayaan ini, para graduan akan dapat menjadikannya sebagai pendorong untuk terus memperolehi kejayaan dalam bidang-bidang yang diceburi pada masa akan datang.
Beta mengambil maklum bahawa pada tahun ini jumlah graduan adalah paling besar sejak penubuhan UBD, meningkat sebanyak 31 peratus berbanding jumlah graduan pada tahun lepas. Ini termasuk bilangan tertinggi penerima ijazah kedoktoran iaitu seramai 28 orang. Peningkatan bilangan di peringkat pengajian tinggi ini penting, untuk menjana knowledge-based economy dan daya saing negara.
Adalah perlu bagi UBD dan institusi-institusi pengajian tinggi lain, untuk memastikan program-program mereka sentiasa relevan dan berkualiti, bagi pengeluaran para graduan yang marketable dan future ready. Ini termasuk kerjasama padu dengan stakeholders yang relevan, seperti Majlis Perancangan Tenaga Manusia Kebangsaan yang baru ditubuhkan dan juga pelbagai industri untuk meningkatkan employability para graduan.
Mengenai employbility ini, Beta sangat gembira mengetahui, bahawa UBD telah merintis kerjasama dengan beberapa industri dari dalam dan luar negara. Pada pagi ini, Beta difahamkan, terdapat pengeluaran pertama program Bachelor of Engineering bidang Chemical and Process Engineering hasil daripada salah satu kerjasama tersebut, dan kesemua graduan yang berkenaan itu telah pun ditawarkan pekerjaan.
Mengenai pekerjaan ini, faktor kelayakan pasti berbangkit. Faktor kelayakan yang dimaksudkan itu ialah pembelajaran sepanjang hayat atau lifelong learning. Beta difahamkan bahawa UBD telah mengambil inisiatif untuk menyediakan peluang pembelajaran secara fleksibel kepada masyarakat umum. Beta berharap, ini semua akan dapat menyediakan akses yang lebih besar ke dalam pendidikan tinggi bagi semua rakyat dan penduduk tanpa perlu menangguhkan pekerjaan atau perniagaan mereka.
Dalam hubungan ini, Beta sudah pun memperkenankan penubuhan Centre for Lifelong Learning atau singkatannya C3L yang akan menjadi pemangkin kepada pengajaran dan pembelajaran peringkat tinggi, meliputi pendidikan berterusan dan profesional. Beta percaya laluan atau akses ke arah ini, akan memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan negara dan ekonomi berteraskan pengetahuan atau knowledge-based society and economy.
Menyentuh mengenai ekonomi, kita adalah tidak terlepas dari impak ekonomi global yang mencabar. Namun kita tidak boleh berkompromi mengenai kepentingan pendidikan. Bagi pengajian tinggi, penyelidikan dan penemuan ilmu pengetahuan atau knowledge discovery adalah juga yang utama. Penyelidikan itu penting untuk menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan bersama. Maka ke arah ini, Beta sangat ingin melihat bagi UBD menghasilkan penyelidikannya.
Selain dari aspek kualiti pendidikan dan hasil penyelidikan, perancangan hala tuju universiti secara keseluruhannya juga perlu mencapai sasarannya. UBD dan institusi-institusi pendidikan tinggi adalah mustahak untuk melibatkan diri dalam proses perancangan strategik.
Sebagaimana Beta difahamkan, pada tahun ini, UBD telah pun memulakan inisiatif-inisiatif di bawah pelan strategik 5 tahunnya dari tahun 2016 ke tahun 2020 yang dinamakan Towards 2020. Beta berharap inisiatif-inisiatif ini akan membawa UBD ke tahap yang lebih tinggi di masa hadapan.
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang berjaya. Dalam pada itu, mustahak juga diingat, bahawa setia graduan adalah perlu untuk memupuk jati diri yang baik serta mengekalkan identiti keBruneian yang berpaksikan Melayu Islam Beraja (MIB). Selain itu, Beta juga ingin menekankan, supaya kejayaan yang dicapai tidaklah akan disia-siakan, tetapi hendaklah digunakan untuk kebaikan dunia dan akhirat para graduan.
Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Brunei Darussalam, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala juga akan membalas mereka dengan ganjaranNya yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
