TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA
MAJLIS MENYAMBUT
AWAL TAHUN BARU HIJRAH 1438

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Bismillaahir Rahmaanir Raheem


Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.


Alhamdulillah, kita berada pula dalam tahun baru 1438 Hijrah. Pelbagai usaha dan cara dilakukan orang, di merata tempat di muka bumi, untuk menyambut dan membesarkan kedatangan tahun baru ini.

Sambutan tahun baru Hijrah bertujuan untuk mengajak umat Islam menghayati konsep hijrah yang pernah dilalui oleh Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam, yang memberi impak besar kepada penyebaran Ugama Islam.

Keazaman Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam berhijrah meninggalkan tanah tumpah darah dengan menempuh segala kesukaran, adalah satu strategi untuk menyelamatkan akidah. Strategi ini tidak diragukan lagi adalah strategi ketuhanan, kerana bukankah, berlakunya hijrah itu atas perintah Allah?

Hijrah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam membawa sinar kepada seluruh alam. Dengan berlakunya hijrah, Ugama Islam telah selamat dan dapat menyumbang kepada kemanusiaan sejagat.

Dalam Islam, terdapat “Maqasid Syar’iyah,” bagi menjaga atau memelihara lima perkara asasi yang diperlukan oleh semua orang. Lima perkara tersebut ialah: menjaga atau memelihara ugama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Di dalam lain-lain akidah tidak ada semua ini. Kalau adapun, mungkin tidak semua. Tetapi Islam adalah meliputi, kelima-lima itu mesti dipenuhi untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Salah satu elemen penting yang ditekankan oleh Islam ialah menjaga dan memelihara nyawa. Kerana itu, Islam adalah melarang keras Umat Islam membunuh diri dan sekali gus mengharamkan segala bentuk pembunuhan terhadap sekalian hamba Allah dan makhluk yang tidak berdosa.

Inilah diantara ajaran suci Ugama Islam. Ajaran ini sangat menyumbang kepada keamanan dan kerukunan hidup sesama insan, tidak kira apa jua pegangan atau anutan. Jika ia benar-benar diamalkan, sudah barang tentu, tidak akan wujud jenayah pembunuhan atau kekejaman atau keganasan.

Jadi adalah dusta dan tidak berasas sama sekali melibatkan Islam dengan keganasan.

Brunei sangat memahami perkara ini, dan telah pun sekian lama menikmati kehidupan yang selamat di bawah panji-panji Islam tanpa sebarang masalah.

Brunei sudah benar-benar matang dalam kehidupan berugama. Rakyatnya juga tidak perlu lagi diajar bagaimana memilih yang terbaik untuk dirinya. Semuanya itu sudah sempurna dilalui dan malah telah menjadi pegangan yang mantap.

Kerana itu kita terkejut, apabila baru-baru ini, akhbar online, Saudi Gazette menyiarkan berita penahanan seorang lelaki warga Brunei Darussalam yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengganasan di Riyadh, Arab Saudi, Siaran itu bertarikh pada 16 September 2016.

Setelah semuanya diteliti, pada 20 September 2016, akhbar Saudi Gazette telah mengakui kesilapannya membabitkan warga Negara Brunei Darussalam dalam laporannya, dan telah membetulkan laporan tersebut.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Negara Brunei Darussalam melalui Kedutaan Besar kita di Riyadh, Arab Saudi telah memaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi telah mengesahkan tidak ada warga Negara Brunei Darussalam yang terlibat dalam penangkapan, seperti yang dilaporkan itu.

Beta sendiri secara peribadi, dari awal-awal lagi adalah sukar untuk mempercayai kesahihan berita tersebut berdasarkan, TIDAK MUNASABAH orang Brunei boleh terlibat dengan aktiviti seperti itu.

Orang-orang Brunei, di samping sudah matang untuk membuat penilaian, mereka juga memang tidak ada masa atau keinginan untuk terbabit dengan sebarang anasir di mana saja. Mereka lebih sibuk membangun Brunei yang aman di bawah kepimpinan yang telus dan adil berpandukan undang-undang dan ajaran Islam tulen.

Alhamdulillah, apa yang Beta duga sebagai tidak boleh berlaku itu, pada akhirnya, telah terbukti benar. Segala puji-pujian bagi Allah jua, yang telah memelihara Brunei dan rakyatnya dari terlibat dengan perkara-perkara yang kita sendiri tidak ada kena mengenainya.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta adalah dengan sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru hijrah 1438, semoga dengan kedatangannya, akan membawa sinar kepada bangsa dan negara. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.