TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


SEMPENA
MAJLIS MENYAMBUT

AWAL TAHUN HIJRAH 1439

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Marilah kita sama-sama bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wata'ala yang telah melimpahkan rahmat-Nya, sehingga kita dapat memasuki gerbang Tahun Baru Hijrah 1439.

Menyambut dan mengalu-alukan kedatangan Tahun Baru Hijrah pada kali ini, dirasakan lebih bererti lagi, kerana kebetulan beberapa hari sahaja lagi negara akan menyambut jubli emas, 50 tahun Beta menaiki takhta.

Pada hemat Beta, ini adalah petanda baik, kerana sebagaimana kita sama-sama maklum, peristiwa hijrah adalah satu peristiwa suci dan agung, kerana ia bukan dirancang oleh sesiapa, melainkan satu perintah langsung daripada Allah kepada rasul-Nya.

Sebab itulah, apa jua yang berkaitan atau dikaitkan dengan hijrah, adalah ia tidak kosong, melainkan ada saja manfa'at dan berkatnya, termasuklah langkah kita mengadakan sambutan Awal Tahun Hijrah pada setiap tahun.

Hijrah dalam bahasa, maknanya 'pindah'. Tetapi pindah di sini adalah semata-mata untuk memperolehi 'kebajikan'.

Begitulah dengan hijrah Nabi
Shallallahu 'Alaihi Wasallam adalah bertujuan untuk menyelamatkan akidah ummah. Kerana akidah adalah segala-galanya.

Nabi
Shallallahu 'Alaihi Wasallam bukan berhijrah untuk mendapatkan kesenangan dunia, tetapi Baginda berhijrah untuk keselamatan kita dan di akhirat. Kerana hanya umat yang berakidah sahaja yang akan selamat itu.

Ini, telah pun menjadi ketentuan Allah sendiri, bukan ketentuan kita. Sesungguhnya ketentuan Allah itu, tidak siapapun yang boleh mengubah atau memindanya.

Pengajaran hijrah yang sebenar-benarnya, untuk menyelamat dan menguatkan akidah kita.

Adapun cara menyelamat dan menguatkan akidah itu ialah dengan amal salih. Amal salihlah tuntutan tertinggi untuk dilakukan. Ia adalah semata-mata perkara suci di sisi Allah.

Demikian itulah harga amal salih. Ia merujuk kepada perbuatan orang berakidah. Adapun orang tidak berakidah atau yang rosak akidah, mereka tidak mungkin untuk melazimi amal salih.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menginsafi akan kepentingan akidah, dan sekali gus menyedari akan rahsia amal salih sebagai jambatan menuju keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.

Maka dengan itu, sentiasalah kita berawas dari terjebak kepada penyelewengan akidah.

Kepada pihak-pihak bertanggungjawab yang berkaitan, jadikanlah ini keutamaan. Jangan pejamkan mata kalau nampak penyelewengan sudah atau sedang berlaku. Ataupun ia baru didengar atau dihidu berlaku, maka pihak-pihak bertanggungjawab itu hendaklah sesegera mungkin mengambil langkah dan bertindak.

Banyak cara untuk bertindak itu, diantaranya melalui kaedah dakwah atau nasihat, ataupun kalau perlu, melalui akta. Jika akta belum wujud lagi, maka kita adakan akta.

Pada hemat Beta, menangani penyelewengan dengan akta, mungkin saja lebih efektif dari yang lain-lain.

Berbalik lagi mengenai hijrah Nabi Muhammad
Shallallahu ' Alaihi Wasallam untuk menyelamatkan akidah, maka mengenang ini semua, kita merasa amat hiba apabila mengetahui bahawa di zaman moden ini masih berlaku lagi penghijrahan untuk menyelamatkan nyawa dan akidah.

Penghijrah-penghijrah itu terpaksa lari meninggalkan tempat tinggal sendiri, yang namanya tanah air, kerana dizalimi dengan pelbagai bentuk kezaliman.

Kalau dahulu kita hanya mendengar atau membaca tentang orang-orang yang dizalimi, tetapi sekarang dengan kecanggihan teknologi, kita juga sudah dapat melihat dengan mata kepala bagaimana penzaliman itu dilakukan, seperti dengan membunuh atau menyeksa atau membakar kampung dan rumah para mangsa itu. Semua ini turut muncul di dalam media sosial, termasuk melalui kaca-kaca TV.

Brunei Darussalam adalah bersama-sama 'suara sedunia' mengesali apa yang berlaku di Myanmar dan meminta pihak yang berkuasa, di negara tersebut supaya menyelesaikan krisis kemanusiaan ini dengan seadil-adilnya.

Untuk mengakhiri perutusan ini, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini
Selamat Menempuh Tahun Baru Hijrah 1439.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.