TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS PEMBUKAAN RASMI MESYUARAT PERTAMA
DARI MUSIM PERMESYUARATAN KETIGA BELAS
MAJLIS MESYUARAT NEGARA 2017
PADA
ISNIN, 6 MAC 2017 BERSAMAAN
DENGAN 7 JAMADILAKHIR 1438
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula bersama-sama di Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Bagi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-13 Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.
Beta terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada Ahli-Ahli di atas pelantikan semula dan juga Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang baru dilantik.
Beta juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bekas Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara di atas sumbangan mereka di dalam persidangan-persidangan majlis yang lalu.
Beta berharap dengan pelantikan Ahli-Ahli baru, akan membawa kesan yang baik dan positif kepada persidangan ini. Beta percaya Ahli-Ahli akan dapat menanai tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas dan jujur serta bersikap terbuka dan bebas dalam memberikan apa jua pandangan.
Dalam persidangan inilah Ahli-Ahli akan berpeluang untuk membincang atau membahas isu-isu yang dianggap mustahak.
Diantara isu mustahak itu ialah yang berkaitan dengan ekonomi. Kita semua sudah maklum, bahawa keadaan ekonomi dunia terus mengalami ketidaktentuan, walaupun pada akhir-akhir ini harga minyak dunia menunjukkan tanda-tanda positif.
Namun begitu, kita masih saja, perlu terus berwaspada, kerana harga minyak dunia dijangka berada pada paras yang rendah tanpa mungkin dianggarkan tempohnya. Maka kerana itu, Kerajaan Beta perlu terus giat untuk mempelbagaikan ekonomi negara.
Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini, usaha ke arah ini sudah mula menampakkan kesannya, walaupun hasil yang diraih masih memerlukan masa.
Dari segi pelaburan, kita mula mendapati, banyak pelabur-pelabur asing telah memberikan perhatian mereka terhadap potensi negara sebagai destinasi pelaburan yang berdaya maju.
Beberapa projek pelaburan langsung asing akan memulakan operasi mereka, sementara ada juga yang sudah di tahap perlaksanaan, sedang beberapa cadangan pelaburan baru lagi masih dalam penelitian.
Perkembangan ini tentunya positif, ia bukan saja dari sudut pengukuhan ekonomi, malahan juga kesan limpahannya akan dapat kita perolehi. Dari peningkatan aktiviti ekonomi akan membawa lebih banyak lagi wujudnya peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan untuk warga tempatan.
Namun, dengan perkembangan ini, janganlah pula kita cepat-cepat berpuas hati. Tetapi usaha pembaharuan adalah masih perlu diteruskan, kerana transformasi ekonomi memerlukan perancangan jangka panjang.
Matlamat kita ialah untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang menarik.
Selaras dengan ini, Beta telah pun memperkenankan untuk diwujudkan Zon Perdagangan bebas (Free Trade Zone). Dengan wujudnya Zon ini, akan memudahkan lagi aktiviti pelaburan, terutama dalam sektor pembuatan.
Satu lagi keutamaan Kerajaan Beta ialah meningkatkan nilai dan prestasi Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs). Syarikat-syarikat ini, termasuk syarikat-syarikat yang ditubuhkan melalui usaha sama dengan pelabur-pelabur asing, akan mampu untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, khasnya di sektor bukan minyak dan gas.
Disamping itu, sektor swasta juga akan terus diberi keutamaan untuk membina keupayaan dalam aktiviti-aktiviti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME). Selaras sebagai usaha menyediakan asas yang kukuh bagi perkembangan perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana ini, Beta telah pun memperkenankan penubuhan SME Bank.
Penubuhan Bank ini dapatlah diharapkan untuk menyediakan kemudahan pinjaman kewangan yang mudah (accessible financing), bagi mendukung aktiviti-aktiviti perniagaan di negara ini. Bank ini akan beroperasi berdasarkan konsep Syariah (Shariah-Compliant).
Apa pun rancangan, semuanya turut bergantung kepada sumber tenaga manusia. Inilah masalah kita. Di Brunei, sumber tenaga tempatan masih saja bermasalah. Disamping masalah terlalu memilih kerja, juga jadi masalah ialah, sudah dapat kerja di sektor swasta, tetapi tidak kekal lama, hanya sebulan atau seminggu dua sahaja sudah berhenti, balik semula memilih jadi penganggur.
Berkaitan ini, Beta telah memperkenankan satu program Apprenticeship untuk diwujudkan khusus bagi graduan-graduan yang masih mencari pekerjaan. Program ini akan dilancarkan pada bulan April 2017 insya-Allah. Ia akan dikenali sebagai Program I-RDY (i-ready), khusus sebagai platform bagi para graduan memasuki alam pekerjaan, samada di sektor swasta atau sektor awam.
Menyentuh mengenai keperluan tenaga manusia, penyediaan asas ilmu pengetahuan adalah utama.
Maka ke arah ini, pencapaian penuntut-penuntut dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat menengah adalah perlu untuk diberikan penekanan.
Maka untuk itu, agensi-agensi berkenaan, perlulah merangka perancangan yang ‘actionable’ dan realistik serta ‘cost-effective’, agar semua isu dapat ditangani secara berkesan dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Juga perlu diambil perhatian, bahawa pendidikan masa kini, tidak hanya terhad di bilik-bilik darjah sahaja, tetapi banyak ilmu, maklumat dan kemahiran boleh diperolehi melalui penggunaan teknologi Internet, yang boleh diakses dengan mudah dan cepat.
Namun dalam keghairahan memanfa’atkan teknologi canggih ini, kita juga dikehendaki supaya jangan lalai dari anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab, yang menggunakan teknologi untuk tujuan-tujuan keburukan, termasuk penggunaan media sosial untuk menyebarkan berita-berita palsu dan fitnah. Semua ini boleh mengundang kepada bencana.
Beta berharap, semua pihak perlu turut menyedari dan mengambil perhatian serius mengenainya.
Akhirnya, Beta berharap Persidangan Majlis Mesyuarat Negara tahun ini akan memberikan lebih tumpuan kepada perkara-perkara strategik untuk mengukuhkan lagi kemajuan sosio-ekonomi negara.
Ahli-ahli Yang Berhormat juga diharapkan dapat mengemukakan pandangan-pandangan dan saranan-saranan bernas tanpa takut-takut atau ragu-ragu untuk kepentingan masyarakat dan negara.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
