TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU NEGARA
BRUNEI DARUSSALAM KE-26
TAHUN 1437 HIJRAH / 2016 MASIHI
PADA HARI KHAMIS
27HB ZULHIJJAH 1437
29HB SEPTEMBER 2016

BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN
ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta merafa’kan syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di Majlis Sambutan hari Guru ke-26 tahun 2016 pada pagi ini.

Kepada semua para guru dan pendidik, di sektor kerajaan dan swasta, Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Guru.

Sambutan Hari Guru pada tahun ini bertema: “Guru Bijaksana Pembina Masyarakat Berwawasan”. Begitu besar peranan guru itu. Sebagai agen pelaksana pendidikan, guru adalah dituntut untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran dan pemikiran bernas.

Peranan guru adalah sejajar dengan keperluan negara dan hasrat kita manusia. Apa pun zaman, faktor ini adalah sama. Kerana itu, penyediaan dan peningkatan    guru-guru perlulah dilihat dari aspek ini.

Para guru adalah penyumbang kepada kualiti pendidikan dan pemangkin kepada produktiviti tenaga sumber manusia Negara Brunei Darussalam.

Kualiti pendidikan boleh dicapai melalui pendekatan ‘whole of nation’, serta boleh diukur menerusi beberapa Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan yang telah dikenal pasti di bawah strategi Pendidikan Wawasan Brunei 2035 iaitu:

(i) Peratus guru-guru yang berkelayakan dan berkualiti tinggi,
(ii) Peratus institusi pendidikan yang berada di bawah tahap minima mengikut standard institusi pendidikan,
(iii) Peratus pelajar Tahun 1 dan Tahun 3 yang berada di tahap minima literasi BC GCE Peringkat ‘O’ dengan 5 ‘O’ Levels dan ke atas,
(v) Kemasukan ke pasca menengah dan
(vi) Kadar Pengijazahan (Pengajian Tinggi dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional).

Dalam hal ini, Beta mencadangkan agar Kementerian Pendidikan dapat menyediakan satu pelan komprehensif bagi mewujudkan satu ekosistem itu akan bertindak proaktif dalam menyertai semua aktiviti, yang kemudiannya mampu untuk menjadikan mereka sebagai guru-guru yang berprestasi tinggi.

Selain itu, Beta adalah menyambut baik inisiatif Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan program Literasi dan Numerasi di peringkat awal persekolahan lagi. Ini akan membantu para pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran mereka di peringkat seterusnya.

Sehubungan dengan ini, sokongan pelbagai pihak adalah diperlukan untuk sama-sama memastikan bahawa anak-anak bangsa kita akan menjadi rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi. Disini, peranan para ibubapa adalah satu faktor utama.

Sistem pendidikan hendaklah sentiasa relevan. Beta gembira mengetahui bahawa Kementerian Pendidikan sentiasa mengambil langkah positif dalam memastikan Sistem Pendidikan Negara Abad ke 21 (SPN21) benar-benar dapat memberi inspirasi ke arah merealisasikan Wawasan 2035. Beta berpendapat SPN21 mestilah bersifat lebih besar dan berfungsi secara bersepadu dengan perancangan-perancangan negara. Ini penting, kerana teras kepada Pelan Pembangunan Negara adalah pendidikan.

Beta juga amat gembira apabila mengetahui, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama telah dan akan terus bekerjasama dengan Unit PENGGERAK, Jabatan Perdana Menteri dalam memfokus beberapa bidang utama bagi membantu pencapaian pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah. Semoga usahasama ini akan membuahkan hasil yang memuaskan.

Akhir kata, Beta sekali lagi mengucapkan Selamat hari Guru kepada semua warga guru di negara ini, semoga segala usaha mereka dalam mendidik anak bangsa akan menerima ganjaran setimpal daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Kepada para penerima Anugerah Hari Guru, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan semoga penganugerahan ini akan menjadi pencetus semangat dan motivasi kepada sekalian warga guru.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.