TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-28
PADA HARI ISNIN
14 MUHARRAM 1440 / 24 SEPTEMBER 2018
BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula hadir di Majlis Sambutan Hari Guru kali ke-28, Tahun 2018 pada pagi ini. Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru dan pendidik di Negara Brunei Darussalam.
‘Guru Dedikasi Pendidikan Cemerlang’ adalah tema sambutan Hari guru pada tahun ini. Rakyat dan penduduk yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi adalah teras kepada pembangunan dan daya saing negara. Oleh itu, langkah utama untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang berjaya adalah melalui sistem pendidikan yang berkualiti. Di sinilah peranan guru itu diperlukan, kerana melalui pengaruh keguruanlah keperibadian anak bangsa dapat dibentuk.
Dunia sekarang sedang mengalami perkembangan pesat teknologi, yang membawa perubahan besar bagi setiap aspek kehidupan. Kemajuan industri digital yang memfokus kepada Internet of Things, Artificial Intelligence dan pembinaan robot-robot pintar adalah diantara yang membawa kepada perubahan tersebut, terutama di segi pekerjaan, struktur industri, interaksi sosial dan sistem urus tadbir.
Dengan ini, kita perlu untuk turut mendepaninya. Jika tidak. Kita akan ketinggalan.
Dalam konteks ini, bidang pendidikan turut menerima impak besar dan mendalam. Oleh itu, sistem pendidikan dan latihan perguruan diperlukan untuk melakukan sebarang perubahan penting, khasnya di segi penyediaan kurikulum dan kemahiran-kemahiran baru yang diperlukan.
Para guru bukan sahaja untuk mengajar atau membimbing anak-anak bagi menghadapi peperiksaan, tetapi juga menunjuk cara bagaimana persediaan dibuat untuk menempuh era globalisasi dan teknologi yang serba pesat. Dalam makna, para guru juga diperlukan untuk memberikan pengajaran kompetensi abad ke-21, dari peringkat rendah sampai peringkat tinggi. Melalui pengajaran demikian, barulah mungkin akan berkembang pemikiran-pemikiran kreatif dan kepekaan budaya (cultural sensitivity) dikalangan pelajar.
Berdasarkan ini, kerjaya guru dapat dilihat sebagai makin mencabar dan kompleks. Hanya guru yang mempunyai kebolehan dan kewibawaan sahaja, yang mampu untuk mendepani cabaran ini. Oleh itu, kriteria dan proses pengambilan bakal guru melalui Master of Teaching di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam sangatlah perlu dikemaskinikan, sebagai usaha untuk memastikan guru-guru kita adalah benar-benar berkelayakan.
Ini termasuk juga perisian kurikulum Master of Teaching sangat mustahak diperingkatkan, meliputi turut memikirkan bagaimana cara melatih yang berkesan. Kita memang memerlukan guru-guru yang benar-benar terlatih, yang diharap mampu untuk membentuk keperibadian (character) yang baik.
Adalah menjadi harapan Beta, supaya kerjaya guru menjadi antara pilihan utama di negara ini. Maka untuk itu, kesejahteraan para guru perlulah diberikan perhatian. Ekosistem perguruan yang meliputi pengambilan dan juga pembangunan Professional adalah memerlukan pelaksanaan lebih kemas dan teratur, supaya guru-guru dapat sentiasa memberikan pengajaran yang terbaik dan berkualiti.
Dalam hubungan ini, diharapkan para guru akan dapat juga meningkatkan dedikasi dan komitmen mereka untuk lebih bersedia memberikan pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang kepada para pelajar.
Dedikasi para guru juga boleh dilihat melalui kerjasama mereka dengan para ibu-bapa dan penjaga. Beta dalam hal ini, adalah menyambut baik mengenai Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang julung-julung kali diadakan pada awal tahun ini.
Ianya boleh diperluaskan kepada masyarakat mahupun agensi-agensi bukan Kerajaan (NGOs) yang sama-sama dapat menyumbang ke arah kecemerlangan pendidikan.
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini, semoga segala usaha mereka dalam mendidik anak bangsa kita akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Kepada para penerima Anugerah Hari Guru pula, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan semoga penganugerahan ini akan menjadi pencetus semangat bagi seluruh warga guru untuk merealisasikan ‘Guru Dedikasi Pendidikan Cemerlang’.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
