TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ
PERINGKAT NEGARA
BAGI TAHUN 1438H / 2017M
PADA
HARI ISNIN
27HB. REJAB 1438
24HB APRIL 2017
BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya dapatlah kita hadir di Majlis yang berkebajikan ini, kerana memperingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang tidak pernah pudar di hati kita.
Bulan Rejab datang lagi. Di dalam bulan inilah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Di antara hikmah peristiwa ini ialah untuk menguji keimanan kita. Kita diuji dengan perkara yang sangat luar biasa, yang tidak mungkin terjangkau oleh akal kita. Dalam makna, ujian ini bukanlah untuk di fikir, tetapi semata-mata untuk diyakini. Siapa yang yakin akan beruntung, sementara yang tidak yakin akan rugi.
Demikian itulah harga ‘iman’. Imanlah yang menentukan ‘kedudukan’ kita, sama ada baik atau buruk.
Dalam hubungan ini, kita boleh perhatikan, siapa Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘Anh dan siapa pula Abu Lahab. Dua-dua itu sangat berbeza kedudukan. Bersabit dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj, keimanan Sayyidina Abu Bakar dalam membenarkan peristiwa ini adalah penuh dan mutlak, sementara dipihak Abu Lahab pula adalah kosong sekosong-kosongnya.
Jadi di mana nilai dua individu ini di sisi Allah? Seorang, Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘Anh telah pun dikhabarkan oleh Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai salah seorang calon penghuni syurga, sedang Abu Lahab pula akan menderita dibakar oleh api neraka (lihat Surah Al-Masad, ayat 3).
Begitu peranan iman, menjadi penentu kepada kedudukan kita di sisi Allah.
Dalam zaman penuh pancaroba ini, keimanan terhadap Allah adalah sangat mustahak. Kerana jika tidak, hidup akan jadi liar dan terumbang-ambing.
Jika ada iman, hati kita pasti jinak dan tawadhuk, dan tidak akan sewenang-wenang untuk melakukan perkara-perkara yang buruk yang menyalahi ugama.
Hati yang kaya dengan iman adalah hati yang tenang dan mesra Allah. Ia sangat mengenali siapa Allah, sehingga setakat menyebut nama Allah sahaja pun, hati itu akan gementar, dan apabila dibaca pula ayat-ayatNya, akan bertambah-tambah lagilah takut dan keimanan pemilik hati tersebut.
Kerana itu, jangan ambil ringan perkara iman. Pupuk dan gilaplah ia selalu. Cara menggilapnya, termasuk memperkasa pendidikan ugama. Pastikan kesempurnaan pendidikan ugama dari semua aspek.
Pendidikan ugama, janganlah ia indah di atas kertas sahaja, tetapi hendaklah juga bagus pada amalinya, seperti cara belajar, jadual belajar, masa persekolahan, mata pelajaran, guru dan lain-lain. Ini semua sangat penting untuk menjamin keberkesanan pembelajaran.
Bahkan mesti diambil kira juga kebajikan penuntut di dalam sekolah, seperti pemakanan dan amali jasmani mereka, kerana kedua-dua faktor ini juga menjadi penentu kepada kesihatan dan pertumbuhan.
Ketiadaan keduanya, atau jika kedua-dua itu diabaikan, tidakkah ini boleh mengundang risiko buruk kepada pertumbuhan penuntut? Kalau pertumbuhan lemah, maka pencapaian juga pastinya lemah.
Kita tidak mahu pendidikan ugama lemah, kerana kesannya sangat buruk bagi masa depan. Kita adalah mahu untuk melahirkan ramai para ulama, selaku tonggak untuk memelihara akidah. Akidah amat perlu dipelihara untuk kebaikan bersama. Tanpa pemeliharaan, akidah boleh saja luntur dan lemah.
Dalam usaha untuk memelihara akidah, selain melalui pendidikan, langkah memperkasa dakwah juga adalah mustahak. Kerana dakwah berperanan besar untuk menyuntik kesedaran berugama atau kesedaran berakidah. Sebab itu kalau dakwah lemah, maka akan lemah pula kesedaran ummah.
Jadi pihak berkenaan, hendaklah menjadikan pendidikan ugama dan dakwah itu sebagai keutamaan, bukannya sebagai rutin semata-mata, tetapi keduanya memerlukan penumpuan serius untuk sentiasa diperkemas dan diperkasa.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
