TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
DI MAJLIS
SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN
BAGI TAHUN 1437H / 2016M
PADA
HARI RABU,
17 RAMADHAN 1437 / 22 JUN 2016
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita bersemuka lagi di dalam majlis yang berkat ini.
Telah menjadi tradisi kita umat Islam, pada setiap 17 Ramadhan, kita akan mengadakan Sambutan Nuzul Al-Qur’an. Boleh dikatakan, tradisi ini juga turut berlaku di mana-mana di seluruh dunia.
Nuzul Al-Qur’an adalah satu peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Nuzul ertinya, kitab suci Al-Qur’an diturunkan. Kitab ini adalah ‘kitab induk’ untuk menjadi panduan bagi seluruh umat manusia. Kitab agung ini juga diberi nama sebagai An-Nur, yang bererti cahaya yang menerangi, atau Al-Furqan, yang bererti kitab yang dapat memandu untuk membezakan antara hak dan yang batil atau Az-Zikr yang bermaksud kitab yang memberi peringatan.
Memperkatakan keagungan kitab suci Al-Qur’an ini, kita di negara ini Beta percaya, telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu di dalamnya sebagai panduan, sesuai dengan Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah Al-Baqarah ayat 2 tafsirnya : “Itulah kitab (Al-Qur’an) yang tidak ada keraguan padanya. Ia adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”.
Kerajaan Beta pula melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama, telah tidak kendur-kendur berusaha untuk mendekatkan masyarakat Islam di negara ini dengan Al-Qur’an, iaitu dengan memasukkan subjek Al-Qur’an itu di setiap sekolah rendah kerajaan dan swasta sehingga sampai ke peringkat tertinggi dan juga membukan kelas-kelas belajar Al-Qur’an di Masjid-Masjid, Surau-Surau dan Balai-Balai Ibadat serta kelas-kelas dewasa. Perkara ini dilaksanakan seupaya masyarakat Islam di negara ini sentiasa berpegang dengan Al-Qur’an sebagai panduan.
Untuk menghormati Ramadhan sebagai ‘bulan Al-Qur’an’, Kerajaan Beta memendekkan waktu bekerja dari jam 7.45 pagi sehingga 4.30 petang kepada 8.00 pagi sehingga 2.00 petang. Perkara ini juga dibuat, ialah untuk memberikan kemudahan dan keselesaan bagi kita semua menunaikan kewajipan berpuasa. Sementara pada malamnya pula, semua Masjid, Surau dan Balai Ibadat, mengadakan Sembahyang Tarawih dan bertadarus sebagai langkah menghayati ibadat-ibadat berkenaan, sambil mengharap-harap akan mendapat pahala Lailatul Qadar, yang lebih baik dari seribu bulan.
“Al-Qur’an sebagai Ubat dan Penawar Bagi Rohani dan Jasmani” adalah tema Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an pada tahun ini. Tema ini amat sesuai untuk kita praktikkan di dalam kehidupan kita, tidak kira samada kita dalam keadaan sihat ataupun sebaliknya. Ini adalah satu ungkapan supaya kita sentiasa membaca dan melaksanakan apa-apa jua yang terkandung di dalamnya.
Di antara ajaran Al-Qur’an ialah mengenai halal-haram makanan, yang juga turut diperjelas oleh hadits-hadits Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan para ulama.
Beta difahamkan, usaha kita sekarang ialah ke arah memproses untuk mempercepatkan tempoh kelulusan permohonan Sijil Halal dan Permit Halal.
Langkah ini memanglah wajar dari sudut pentadbiran, tetapi dari sudut yang menyangkut perkara hukum halal-haram, kita tidaklah wajar untuk mengambil jalan pintas, tetapi mesti kemas dan penuh teliti, berdasarkan garis panduan syara’ yang benar-benar syari’e bukannya setakat untuk melariskan sijil dan permit halal itu.
Hukum ‘halal-haram makanan’ adalah ia tersendiri, memerlukan orang-orang yang betul-betul tahu dan mengerti apa itu halal dan apa itu haram. Jika mereka tidak tahu atau faham semua ini, bagaimanakah boleh dijamin makanan atau hidangan yang dijual itu adalah halal?
Kita tidaklah mahu Brunei akan jadi seperti tempat-tempat lain, yang sering kedengaran ada yang berlaku penyelewengan atau pelanggaran hukum oleh premis-premis pemakanan dan perdagangan.
Mengambil sukut baik di bulan Ramadhan yang penuh berkat keberkatan ini, maka marilah kita memperbanyakkan amal kebajikan, yang dituntut untuk kita melakukannya. Semoga dengan itu, rahmat Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpah-limpah kepada kita dan juga kepada negara. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
