TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

BERSEMPENA
MENYAMBUT AWAL TAHUN BARU
MASEHI 2018

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem


Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.


Alhamdulillah, marilah kita sama-sama bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat melaksanakan sebahagian besar daripada rancangan-rancangan negara pada tahun lalu.


Kita juga bernasib baik telah menikmati detik gemilang Sambutan Jubli Emas Beta Menaiki Takhta. Dengan tulus ikhlas Beta sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, baik secara langsung ataupun tidak, dalam menjayakan Sambutan Jubli Emas dan semua acara di dalamnya.


Kemeriahan sambutan oleh semua lapisan rakyat dan penduduk, termasuk para pengunjung daripada luar negara, adalah mencerminkan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.


Ini perlu dipertahankan, supaya negara terus kekal dalam aman dan makmur untuk diwarisi oleh generasi demi generasi.


Dari tahun ke tahun, kita adalah semakin hampir kepada tempoh sasaran bagi Wawasan 2035. Tempoh itu semakin ia menghampiri kita, maka semakin besarlah tanggungjawab untuk kita mempastikan bahawa, langkah kita tidaklah ke mana-mana, melainkan hanya terarah kepada sasaran sahaja, sehingga tercapainya matlamat “Brunei Maju”.


Tentu saja, dalam mendokong “Brunei Maju” ini, negara memerlukan kerjasama erat di antara pihak kerajaan, swasta dan rakyat seumumnya. Kerana dengan kerjasama itulah akan menjadikan iklim perniagaan dan perusahaan bertambah mudah, dan sekali gus akan menjadikan negara juga lebih menarik di mata pelabur-pelabur asing.


Jika suasana begini mampu dikekalkan, maka itulah satu kelebihan bagi Brunei, dimana Brunei perlu memilikinya.


Di bidang pendidikan, negara adalah berhak untuk berbangga dengan kejayaan Universiti Teknologi Brunei meraih 4 bintang pada penilaian Keseluruhan QS, dan juga dengan beroperasinya Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, Universiti Islam Sultan Sharif Ali.


Ditambah lagi dengan pembukaan Pusat Global UBD-FPT di Republik Sosialis Vietnam baru-baru ini. Ini semua adalah bukti kecemerlangan jua.


Di bidang sosio-ekonomi, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana, untuk melangkah lebih jauh, sehingga ke pasaran antarabangsa. Ini termasuk penubuhan Bank Usahawan yang akan memulakan operasinya pada awal tahun 2018 ini.


Di bidang yang sama, kita juga menyedari, bahawa setiap insan itu mempunyai keupayaan dan kelebihan yang berbeza-beza. Maka dalam hal ini, demi kesejahteraan Orang-Orang Kelainan Upaya, Beta telah memperkenankan bagi pindaan ke atas Akta dan Peraturan Pencen dan Elaun Kurang Upaya. Melalui pindaan ini, elaun kurang upaya akan juga dapat dihulurkan kepada mereka yang berumur di bawah 15 tahun, yang layak pada kadar tertentu. Pindaan ini akan berkuatkuasa mulai 1hb Januari 2018.


Dengan pindaan ini, diharapkan kebajikan dan kesejahteraan penerima-penerima elaun tersebut akan lebih terjamin.


Di arena antarabangsa, kita akan terus memupuk dan mengeratkan hubungan serta kerjasama dengan negara-negara sahabat, disamping turut menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan kepada pihak-pihak yang memerlukan, selaras dengan kemampuan kita.


Dalam hal ini, Beta merasa bangga atas inisiatif dan sambutan orang ramai yang telah menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya dan kepada  mereka yang memerlukan.


Baru-baru ini, Brunei Darussalam adalah antara 57 buah negara anggota OIC telah menyuarakan sokongan penyelesaian bagi sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur menjadi ibu negaranya.


Beta juga menegaskan dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC di Istanbul itu, tentang betapa pentingnya perpaduan umat Islam pada masa ini berbanding sebelumnya.

Pendirian kita adalah tegas untuk melihat dunia ini dipenuhi dengan keadilan, tanpa sesiapapun merasa teraniaya oleh sebarang bentuk penindasan dan pencerobohan.


Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta, serta pasukan-pasukan keselamatan, di atas usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing di sepanjang tahun 2017.


Beta dan keluarga Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masehi 2018 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmatNya kepada kita semua. Amin.


Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***