TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI
OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
SAMBUTAN HARI PERKHIDMATAN AWAM
KALI KE-25

HARI RABU, 22 SAFAR 1440 / 31 OKTOBER 2018

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Bismillahir Rahmanir Raheem
Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen,
Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya
Waddeen Wassalaatu Wassalaamu
‘AlaaAsyrafil Mursaleen, Sayyidinaa
Muhammadin Wa’alaa ‘Alihie Wasahbihee
Ajma’een, Waba’du.

Marilah kita sama-sama bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita berkumpul pada pagi ini di Majlis Kemuncak Hari Perkhidmatan Awam.

Pada tahun ini adalah merupakan kali ke-25 tahun kita menyambut Hari Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam. Selaras dengan tema ‘Transformasi Ke Arah Perkhidmatan Awam Yang Progresif’, Beta berharap usaha-usaha menggerakkan Perkhidmatan Awam dengan penglibatan sektor swasta akan terus digiatkan. Beta mahu Perkhidmatan Awam akan meneroka pendekatan lebih berkesan dalam tugasnya memberikan perkhidmatan kepada orang ramai dan negara.

Perkhidmatan Awam selaku jentera pembangunan negara, tidak boleh berhenti dari mencari jalan ke arah menambahbaikkan lagi mutu perkhidmatan untuk rakyat dan negara. Memang keadaan sekarang semakin kompleks dan mencabar. Namun inilah juga masanya untuk kita melihat Perkhidmatan Awam mampu untuk mengatasi sebarang tengkarah atau kesulitan.

Para pemimpin yang berjiwa besar dalam Perkhidmatan Awam, perlu lebih peka terhadap orang bawahan mereka. Tugas dan tanggungjawab mereka bukan sekadar menjadi ketua di dalam jabatan atau bahagian atau unit, tetapi juga bersedia untuk memberikan tunjuk ajar atau bimbingan kepada orang bawahan jika mereka itu berhadapan dengan sebarang kesulitan. Inilah namanya keperihatinan pemimpin terhadap anak buah.

Disamping mempunyai sifat timbang rasa, pemimpin juga tentunya memiliki kelebihan-kelebihan lain seperti ilmu dan pengalaman. Maka sehubungan ini, Beta menyambut baik usaha Jabatan Perdana Menteri menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam, untuk mengenalpasti pegawai-pegawai muda di dalam Perkhidmatan Awam yang mempunyai bakat kepimpinan. Mereka akan diasuh di bawah Program Eksekutif Muda iaitu “Young Executive Programme (YEP)”. Beta mahu pihak yang berkenaan akan sentiasa memastikan program ini berjalan dengan teratur sehingga mencapai objektif yang dihasratkan.

Ini semua kita rancang ialah untuk menghasilkan ‘Modal Insan Perkhidmatan Awam’ yang mempunyai nilai moral yang tinggi berpaksikan Islam, yang mencakupi sifat jujur, ikhlas, amanah dan cekap.

Ini juga ada hubungannya dengan usaha melalui ‘Program Penggredan Prestasi Sektor Awam Melalui Penarafan Bintang’ yang telah dilaksanakan penilaiannnya oleh Jabatan Perkhidmatan Pengurusan. Dengan adanya penarafan ini, Beta berharap agensi-agensi kerajaan akan terus mempertingkatkan lagi urus tadbir agensi masing-masing demi kecemerlangan Perkhidmatan Awam.

Menyentuh inovasi dalam Perkhidmatan Awam, Beta menyambut baik inisiatif yang telah diambil oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Perkhidmatan Pengurusan dan Institut Perkhidmatan Awam yang meneliti semula Program Inovasi dalam Perkhidmatan Awam dengan memperkenalkan satu anugerah baru yang dikenali sebagai ‘Anugerah Inovasi Perdana’, seperti yang digariskan dalam Rangka Kerja Perkhidmatan Awam, Negara Brunei Darussalam.

Beta percaya dengan adanya anugerah ini nanti, dapatlah meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan pentadbiran awam. Inilah harapan semua dan harapan negara.

Akhirnya kepada penerima-penermia Anugerah 3PSA, Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam dan Anugerah Penghargaan Khas Kakitangan Perkhidmatan Awam, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Beta berharap penganugerahan dan penghargaan ini akan dapat memberikan motivasi dan sumber inspirasi kepada semua warga Perkhidmatan Awam untuk bekerja lebih gigih mempertingkatkan tahap kecemerlangan Perkhidmatan Awam.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.