TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
PADA:
HARI ISNIN
12HB RABIULAWAL 1438
12HB DISEMBER 2016
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Marilah kita sama-sama bersyukur, kerana dapat lagi menyambut Maulid Ar-Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wassalam, iaitu suatu detik bersejarah untuk dunia dan manusia.
Al-Qur’an sendiri telah memberitahu, siapa dia Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam itu. Baginda adalah lampu yang terang benderang dan rahmat bagi seluruh alam.
Apakah yang lebih bermakna dari lampu untuk menerangi keadaan gelap gelita dan rahmat untuk mengeluarkan manusia dari azab sengsara?
Andainya tanpa Baginda, dunia ini memang akan terus gelap. Sementara rahmat pula akan tetap jauh daripada kita.
Tetapi Allah Maha Pengasih lagi Maha Pemurah, diutus-Nya Nabi dan Rasul terakhir, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam untuk menjadi suluh dan rahmat bagi alam semesta.
Tidak diragukan lagi, Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam adalah benar-benar kekasih Allah, dengan Baginda itu dikurniakan banyak kelebihan dan keistimewaan yang tidak pernah diberikan kepada orang lain.
Di antara kelebihan dan keistimewaan tersebut, terdapat dalam lafaz “syahadah” di mana nama Baginda telah disebut beriringan selepas Nama Allah sendiri : “Asyhadu An Laa Illaha Illallah, Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah”.
Selain daripada itu, Allah dan para malaikat-Nya juga adalah berselawat Keatas Baginda, sebagaimana disebut oleh Al-Qur’an, Surah-Ahzab, ayat 56.
Kemudian, yang sangat-sangat kita hajati, Baginda itu juga pada hari akhirat kelak akan diizinkan oleh Allah, untuk memberi syafa’at kepada kita umat Islam. Syafa’at ertinya, ialah pertolongan Nabi untuk meringan atau melepaskan kita daripada kesusahan.
Walaupun Baginda sudah tiada, namun hubungan intim dengan Baginda itu tetap saja wujud. Ini berlaku, ketika kita melakukan azan atau mendirikan sembahyang atau berselawat ke atas Baginda di luar sembahyang. Semua ini membawa makna, bahawa hubungan kita dengan Baginda itu adalah tidak putus.
Inilah untungnya kita orang Islam, di setiap ketika dapat mengaut pahala, hanya dengan menyebut-nyebut nama Baginda sahaja. Sekali berselawat Keatas Baginda, Allah akan membalas selawat kita itu dengan sepuluh selawat.
Maka memang wajarlah bagi kita memperingati Maulid Ar-Rasul itu sebagai tanda kasih kita kepada Baginda, dan sambil itu kita juga dapat memperbaharui azam untuk lebih kuat bagi berpegang kepada Islam yang telah dibawa oleh Baginda.
Di zaman yang serba rosak ini, banyak anasir yang suka memprovok Islam dan umat Islam, supaya Islam dan umatnya lemah. Provokasi itu pula pelbagai bentuknya, bukan satu dua tetapi banyak.
Pada ketika ini, kita mendengar laporan-laporan mengenai tindakan-tindakan yang diambil ke atas orang-orang Islam yang menjadi penduduk minoriti kepada negara tersebut.
Beta berharap pihak-pihak yang berkenaan akan mencari resolusi aman bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan bagi semua penduduk.
Atas nama Islam ugama rahmat dan atas nama kemanusiaan serta semangat solidarity serantau, maka kita berharap isu ini akan segera ditangani dengan seadil-adilnya.
Pada hemat Beta, untuk umat Islam ini selamat, mereka mestilah menguatkan akidah, iaitu ajaran yang dibawa oleh Nabi kita, Sayyidina Muhammad
Shallallahu ‘Alaihi Wassalam.
Shallallahu ‘Alaihi Wassalam.
Umat Islam di zaman keemasan dahulu, lebih mengutamakan akidah daripada yang lain-lain. Kerana itulah mereka selamat dan bahkan kuat, digeruni oleh kawan dan lawan.
Maka bersukut dengan Maulid Ar-Rasul yang sedang kita sambut kini, Beta berseru, terutama kepada pihak-pihak berkenaan yang sedia dibebankan dengan tanggungjawab dakwah, supaya mengambil pendekatan lebih bersungguh-sungguh ke arah memperkukuh dan memperkasa akidah. Kita tidak boleh menunggu lama-lama, kerana jika kita lambat, anasir akan mengambil kesempatan daripada kelambatan kita itu.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
