Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-62 Tahun

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI KE-62 TAHUN 2023 

TARIKH:

HARI RABU,
31 MEI 2023

 ​

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dapat hadir pada pagi ini untuk meraikan Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang ke-62 tahun. 

Sebentar tadi kita telah menyaksikan perbarisan raksasa yang sangat bermutu lagi kemas yang melambangkan tahap kecekapan dan kewibawaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. 

Dalam keadaan sekarang semua negara kecil dan besar, sama-sama perlu membina persekitaran dalaman, kawasan rantau dan sejagat yang aman dan damai. Oleh itu, ABDB perlu terus komited dalam menjaga kedaulatan dan keamanan Negara Brunei Darussalam sambil dalam masa yang sama menghormati dan memperbaiki hubungan dengan negara-negara lain. 

Kita sedia menyedari bahawa membina kekuatan bukanlah kerja yang mudah, ia sangat bergantung kepada keutuhan organisasi dan keberkesanan kepimpinan. Pada hemat Beta, ABDB yang kecil boleh menjadi kuat dengan adanya kesatuan yang kukuh dan berkebijaksanaan membentuk struktur serta mempunyai keupayaan tempur, kapasiti anggota, logistik dan kepimpinan yang berkualiti. 

Mengenai kepimpinan, Beta sangat berharap supaya model kepimpinan ABDB yang berpaksikan nilai-nilai teras ABDB, maqasith Syariah dan falsafah Melayu Islam Beraja akan benar-benar dapat difahami, dihayati dan diamalkan sebagai panduan utama oleh semua peringkat pemimpin ABDB. 

Dalam usaha memantapkan keupayaan dan mengambil sukut baik hari yang bersejarah ini, Beta sukacita memperkenankan penubuhan Skuadron Pesawat Taktikal Armada dan pembesaran Skuadron Peronda bagi Tentera Laut Diraja Brunei. Skuadron Pesawat Taktikal Armada ini akan mengawasi lebih jauh lagi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif negara. Manakala pembesaran Skuadron Kapal Peronda berikutan dengan pertauliahan KDB AS-Siddiq baru-baru ini adalah untuk menampung keperluan dan memperluaskan lagi skop operasi maritim khusus di perairan persisiran pantai negara. 

Dalam konteks keberkesanan pertahanan, Beta gembira dengan pencapaian operasi sepadu sekuriti dan sempadan darat dibawah teraju Markas Angkatan Bersama ABDB yang dilaksanakan melalui pendekatan seluruh kerajaan ‘Whole of Government Approach’ dan pendekatan senegara ‘Whole of Nation’, dengan keterlibatan langsung Unit Batalion Trop Risik, Skuadron Bot Tempur Tentera Darat Diraja Brunei, Squadron Unmanned Aerial System (UAS) Tentera Udara Diraja Brunei, Tentera Laut Diraja Brunei serta agensi-agensi penguatkuasa undang-undang kebangsaan lainnya serta tidak terkecuali juga penglibatan institusi mukim dan kampung melalui pengawasan kejiranan di seluruh negara. 

Hasil operasi sepadu telah mencapai banyak kejayaan dalam menyumbang penurunan trend kes-kes tangkapan sejak penubuhan Kawasan-kawasan operasi Area of Operations (AOP) di beberapa tempat strategik dan hotspots seluruh negara sejak April tahun 2020 apabila negara berhadapan dengan gelombang pandemik COVID-19. 

Dalam pembangunan modal insan kita boleh berbangga dengan Institusi Pendidikan dan Latihan di ABDB telah mencapai kejayaan-kejayaan signifikan. Kursus-kursus dan program yang dijalankan di Akademi Pertahanan Institut Latihan ABDB, Sekolah-sekolah Latihan Tentera Darat, Tentera Laut, dan Tentera Udara telah memperolehi pengiktirafan kebangsaan dan antarabangsa. 

Ini dapat dilihat dari permintaan yang tinggi oleh angkatan-angkatan tentera sahabat bagi mengikuti kursus-kursus profesional di ABDB. Pada tahun ini sahaja, Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan, Sekolah Infantri Tentera Darat Diraja Brunei dan Pusat Latihan Tentera Laut Diraja Brunei telah menerima penuntut daripada luar negara buat pertama kalinya. 

Beta gembira bahawa mulai tahun ini, ABDB melalui Institut Latihan ABDB akan berupaya menghasilkan seramai 960 anggota tentera yang terlatih berbanding sebelumnya hanya 540 anggota setahun. Beta percaya dengan perkembangan ini, ABDB mampu untuk mengisi jawatan-jawatan yang sudah lama kosong sejak beberapa tahun ini dan mengukuhkan lagi bilangan tentera yang terlatih,  di samping memberi peluang pekerjaan kepada belia-belia dan beliawanis yang mencari pekerjaan. 

Di sambutan Hari Ulang Tahun ABDB pada hari ini, Beta gembira dengan penglibatan angkatan-angkatan Tentera Udara negara sahabat dalam mempamerkan pesawat-pesawat strategik mereka. Semua ini mencerminkan perpaduan dan hubungan diplomasi pertahanan yang kukuh di antara negara-negara sahabat dan Negara Brunei Darussalam. Sementara itu, turut memeriahkan lagi ialah penglibatan syarikat-syarikat pertahanan tempatan dan luar negara mempamerkan produk-produk industri pertahanan masing-masing. Syabas dan diucapkan setinggi-tinggi penghargaan. 

Beta juga sangat teruja dan bangga dengan komitmen berterusan di kalangan mantan-mantan perajurit ABDB dalam sama-sama membangun dan menjaga kesejahteraan negara. Walaupun mereka sudah bersara dari perkhidmatan tentera, namun masih aktif dengan kerja-kerja berkebajikan seperti menjadi sukarelawan dalam pertubuhan-pertubuhan tertentu, malah ada juga yang berjaya dalam perniagaan, dilantik sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dalam institusi kampung dan mukim, dan dilantik menjadi Ahli di dalam Majlis Mesyuarat Negara mewakili zon-zon tertentu. Ini adalah contoh-contoh terbaik yang boleh menjadi inspirasi kepada generasi penerus di masa hadapan. Beta ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka, dan berharap Persatuan PERWIRA akan terus berperanan menyatupadukan pesara-pesara atau veterans ABDB dalam usaha memelihara keselamatan dan keamanan negara. 

Di hari yang berbahagia ini juga, kita tidak lupa mendoakan pegawai-pegawai dan perajurit yang telah kembali kerahmatullah semoga roh-roh mereka ditempatkan bersama-sama para syuhada. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin. 

Akhirnya, Beta mengucapkan tahniah dan selamat meraikan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-62 tahun kepada seluruh warga ABDB yang masih berkhidmat dan mereka yang telah bersara yang berada di dalam atau sedang bertugas di luar negara. 

Sekian Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri 1444H / 2023M Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA ‘IDIL FITRI

1444H / 2023M

 

ANJURAN

YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

 

PADA HARI ISNIN:

10 SYAWAL 1444H / 01 MEI 2023M

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Mula-mula kita rafa’kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua dapatlah kita merayakan ‘Idil Fitri yang mulia ini. 

Dalam suasana kemeriahan meraikan ‘Idil Fitri, kita hendaknya tidak melupakan cabaran penularan wabak koronavirus di fasa endemik ini. Kita perlu terus menghormati dan mengamalkan protokol kesihatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memelihara kesejahteraan bersama. 

Kita juga perlu menyedari, bahawa selain penularan dan kesan wabak koronavirus, dunia kita juga sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks. Maka di sinilah semua pihak perlu membuat perancangan yang strategik untuk meneruskan kelangsungan pembangunan dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat. 

Beta menyambut baik tema Sambutan Hari Raya anjuran Yayasan kali ini iaitu “Memperkasakan Penglibatan Masyarakat Dalam Mencapai Wawasan Brunei 2035″. Wawasan ini adalah aspirasi masa depan bagi Negara Brunei Darussalam untuk menjadi sebuah negara yang dikenali mempunyai penduduk berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya serta mempunyai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan. 

Dalam kita sama-sama merealisasikan Wawasan Negara, semua pihak termasuk sektor kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan serta seluruh rakyat dan penduduk, perlulah serentak berusaha untuk menjayakan matlamat Wawasan Brunei 2035 dengan semangat dan pendekatan senegara “Whole of Nation Approach” yang mantap. 

Sehubungan itu, Beta gembira mengalu-alukan kehadiran para peserta sambutan tahun ini yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government Linked Companies – GLC) dan Syarikat Swasta termasuk Badan-Badan Berkebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan. Beta difahamkan bahawa Syarikat GLC dan syarikat swasta yang dijemput adalah mereka yang aktif melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibilities – CSR). Keprihatinan mereka mengambil berat terhadap kebajikan rakyat tentu saja memberi impak positif kepada matlamat Wawasan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara. 

Beta juga sukacita mengalu-alukan kehadiran sebahagian golongan warga emas, para belia dan generasi muda yang terdiri daripada para pelajar, yang mewakili seluruh lapisan penduduk. Inilah yang kita harapkan supaya semua lapisan bukan hanya setakat mengambil tahu malah juga menjiwai matlamat Wawasan, bukannya asyik leka dengan keseronokan yang melalaikan. 

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam untuk mencapai Wawasan Brunei 2035, bukanlah semata-mata diasaskan kepada kemajuan fizikal dan pencapaian pendidikan serta kemahiran, termasuk pendapatan per kapita yang ditakrifkan sebagai maju. Tetapi turut paling utama ialah keberkatan dalam semua aspek kehidupan menurut landasan Ugama Islam yang suci, kerana inilah kunci kejayaan yang hakiki disertai dengan pengamalan falsafah Melayu Islam beraja yang telah kita sebatikan. 

Akhirnya, Beta merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada semua lapisan warga Yayasan dan semua mereka yang terlibat mengungkayahkan Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. ​​

 

Titah Perutusan KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Fitri

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd. 

Marilah kita sama-sama merafa’kan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dikurniakan nikmat menyambut Hari Raya. 

Sesungguhnya Hari Raya adalah detik yang ditunggu-tunggu setelah kita berjaya melaksanakan kewajipan berpuasa. 

Inilah kejayaan paling agung, yang namanya kejayaan melawan hawa nafsu. Perjuangan ini tidak boleh putus atau terhenti setakat cuma sebulan Ramadhan sahaja, tetapi perjuangan melawan hawa nafsu dikehendaki mesti berterusan untuk selama-lama. 

Disinilah ‘ujian’ sebenar bagi kita umat Islam. 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd. 

Demikian juga ketika kita merayakan Hari Raya, perjuangan melawan hawa nafsu mesti diteruskan, seperti melawan hawa nafsu yang menyuruh kita membazir dan melawan hawa nafsu yang menyuruh kita lari daripada ugama ketika merayakan Hari Raya. 

Kita merayakan Hari Raya tidak sama dengan orang lain merayakan Hari Raya. Kita merayakan Hari Raya tetap terikat kepada ugama. Ketika berhari raya, kita tidak boleh meninggalkan atau terlepas dari kewajipan sembahyang, ketika berhari raya kita juga tidak boleh terlalu lalai atau asyik sehingga terjebak kepada dosa. 

Inilah unik dan sucinya Hari Raya kita. Mula-mula perayaan dibuka ialah dengan takbir, dengan kalimat suci “ALLAHU AKBAR”, dan kemudian dengan tahlil “LAILAHA ILLALLAH”, dan ditutup pula sekali lagi dengan “ALLAHU AKBAR” dan “WALILLAHIL HAMD“.

Kemudian kita bergerak ke masjid untuk terus melakukan takbir dan seterusnya sembahyang sunat Hari Raya. 

Lihatlah, betapa suci dan indahnya Hari Raya kita. 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd. 

Selepas itu kita akan bergerak menemui ibu bapa untuk memohonkan kema’afan mereka, menemui sanak saudara, sahabat handai dan kawan-kawan. Semua pertemuan ini berkonsepkan ziarah menziarahi yang sangat-sangat digalakkan oleh Islam, dan juga satu cara untuk menjalinkan silaturahim. 

Beta gembira dengan keadaan dan suasana dalam negara kita yang cukup mengizinkan untuk rakyat dan penduduk dapat menikmati Hari raya dengan penuh keriangan dan kebahagiaan. Mudah-mudahan keadaan seperti ini akan terus berkekalan hendaknya.

Untuk akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan hati yang jernih putih serta sukacita mengucapkan selamat Hari Raya ‘Idil Fitri  kepada semua lapisan rakyat dan penduduk dimana sahaja mereka berada, semoga kita sama-sama didalam aman sejahtera, Amin ya rabbal ‘alamin. 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

Titah Perutusan KDYMM Sempena Menyambut Awal Bulan Ramadhan 1444H/2023M

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MENYAMBUT AWAL BULAN RAMADHAN
BAGI TAHUN 1444H/2023M
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Dengan amat sukacita, Beta mengajak seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam untuk sama-sama merafa’kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat-Nya menemukan kita lagi dengan bulan Ramadhan yang mubarak, yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Ramadhan adalah bulan istimewa, yang menguji kesabaran kita untuk berpuasa selama sebulan. Ganjaran beribadat dalam bulan Ramadhan, melebihi ganjaran beribadat di dalam bulan-bulan yang lain.

Menurut sebuah hadits Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, bahawa satu fardhu yang ditunaikan pada bulan Ramadhan adalah umpama menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan yang lain.

Demikian, betapa hebatnya penghormatan Allah Subhanahu Wata’ala terhadap bulan Ramadhan.

Alhamdulillah, kita di negara ini mempunyai peluang amat luas untuk merebut fadhilat Ramadhan. Dengan keadaan negara aman dan ekonomi mantap, akan membolehkan kita untuk menghayati Ramadhan dengan lebih selesa.

Ini adalah kurnia istimewa kepada kita dan negara, berbanding di setengah-setengah tempat di dunia, mereka bergelut dengan pelbagai musibah, seperti peperangan, gempa bumi, banjir besar yang menjejaskan harta benda dan nyawa.

Bayangkan bagaimana umat Islam berpuasa sambil menghadapi kemelut peperangan, musibah gempa dan banjir besar. Kita, Cuma mampu membayangkannya sahaja sambil bersimpati dan berdo’a untuk mereka.

Berbalik lagi kepada keadaan negara kita. Jutaan syukur kita rafa’kan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, kerana ancaman koronavirus telahpun semakin menipis dan sekatan juga dilonggarkan.

Ini juga adalah satu rahmat yang membolehkan kita dapat memeriahkan masjid dengan sembahyang-sembahyang fardhu, bertadarus Al-Quran dan sembahyang sunat tarawih tanpa sekatan.

Seyogia rahmat ini janganlah diabaikan untuk kita dapat meraih lebih banyak pahala. Pahala adalah rezeki hebat untuk kita jawat di akhirat nanti.

Marilah kita sama-sama berharap, semoga rahmat Allah ini akan berpanjangan hendaknya untuk kita dapat menunaikan kewajipan berpuasa sebulan penuh dalam keadaan sihat ‘afiat dan sejahtera.

Demikian juga diharapkan untuk kita mendapat Lailatulqadar yang penuh berkat yang hanya berlaku dalam bulan Ramadhan sahaja.

Bagi tujuan ini, kita perlulah mengikut panduan-panduan yang telah digariskan oleh ulama, seperti menghidupkan sepuluh malam-malam terakhir di bulan Ramadhan dan lain-lain yang berkaitan dengannya.

Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata’ala tidak akan menghampakan kita dari memperolehi pahala Lailatulqadar itu.

Untuk akhirnya, Beta dan keluarga Beta sukacita mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di negara ini, semoga kita sama-sama dapat menunaikan kewajipan berpuasa tanpa sebarang halangan atau gangguan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

​***

Titah KDYMM Sempena Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan ke-19 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Bagi Tahun 1444H/2023M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita berkumpul di Majlis Persidangan yang mulia ini bagi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-19 Majlis Mesyuarat Negara pada pagi ini.

Beta terlebih dahulu, mengucapkan tahniah kepada Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, di atas perlantikan semula sebagai Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara.

Beta juga mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara yang baharu dilantik. Ucapan penghargaan dan ucapan terima kasih juga Beta tujukan kepada mantan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara di atas sumbangan mereka di dalam persidangan-persidangan Majlis yang lalu.

Beta berharap Ahli-Ahli baharu yang dilantik  akan dapat menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas bagi memberikan apa jua pandangan serta bersikap terbuka dengan anak buah ketika mendapatkan pendapat dan maklum balas daripada mereka masing-masing.

Begitu juga ketika membahas sesuatu perkara, sikap ini juga penting, sambil pemikiran jangan lari dari mencari impak positif untuk negara. Inilah masanya untuk berbincang tanpa terikat dengan syarat-syarat yang merugikan.

Beta mahu semua Ahli hendaklah berfikiran terbuka tetapi bebas daripada sebarang pengaruh luar. Kerana kita sesungguhnya tidak mahu sebarang anasir mungkin mencemari kemurnian Calak Brunei kita.

Secara khusus, Beta juga berharap supaya Ahli-Ahli Majlis dari kalangan Orang-Orang Bergelar, yang mempunyai pengalaman luas, akan dapat menjadi teladan terbaik dalam menyuarakan isu-isu yang berbentuk strategik. Manakala perkara-perkara yang bersifat operasi dan taktikal bolehlah dibincangkan bersama agensi-agensi  yang berkenaan di luar Dewan Majlis dari masa ke semasa.

Sangat penting diambil kira ialah cabaran untuk meningkatkan Hasil Kerajaan Beta dan dalam masa yang sama, perbelanjaan yang akan dibahas dan diluluskan dalam Mesyuarat M.M.N nanti akan benar-benar memberi impak positif kepada negara dan rakyat tanpa terlalu banyak membebankan kerajaan Beta.

Janganlah lupa, antara isu penting yang perlu diberikan perhatian ialah isu pengangguran. Beta yakin dengan adanya kerjasama dan sokongan padu dari semua pihak yang berkepentingan, maka kadar pengangguran boleh dikurangkan, sebagaimana telah dicapai sebelum ini, iaitu kadar pengangguran menurun kepada 4.9 peratus pada tahun 2021 berbanding 7.3 peratus pada tahun 2020.

Kerajaan Beta melalui Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (M.P.E.C) sentiasa merancang dan melaksanakan beberapa strategi melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation supaya kebajikan dan kepentingan para pencari kerja tempatan diperkasa dengan latihan semula, dan peningkatan ilmu pengetahuan untuk memudahkan mendapat pekerjaan.

Dalam meningkatkan kemahiran profesional anak-anak tempatan di syarikat swasta di Sektor Pembinaan dan Tenaga, H.S.E Competency Apprentice Program telah diperkenalkan untuk membolehkan mereka layak mendaftar sebagai workplace safety and health officer (WSHO) atau penyelaras di tempat kerja mengikut piawaian Safety, Health and Environmental National  Authority atau SHENA.

Kerajaan juga telah memperkenalkan Program SkillsPlus untuk memberikan peluang kepada anak-anak tempatan meningkatkan kemahiran dan kebolehanpasaran, dan program ini telah dilaratkan kepada empat (4) sektor baharu iaitu Sektor Tenaga, Pembinaan, Pengangkutan dan Logistik, dan H.S.E.

Semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-18 Majlis Mesyuarat Negara yang lalu, Beta telahpun bertitah mengenai Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan kajian yang dilaksanakan bagi penambahbaikan skim persaraan dalam usaha Kerajaan beta mengukuhkan perlindungan sosial dan inklusif dan mampan, yang merupakan salah satu tunjang utama Strategi jaminan Sosial Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam.

Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) yang baharu ini akan dapat memberikan pendapatan persaraan yang lebih baik daripada skim ‘TAP’ yang ada pada masa ini dan juga akan menggalakkan ahli-ahli SPK untuk terus berusaha mencari dan mendapatkan pekerjaan sama ada di sektor swasta, Kerajaan atau secara persendirian di mana hasil dari sumbangan ke dalam SPK akan menampung pada hari persaraan nanti. SPK ini Insya Allah, akan dilancarkan pada bulan Julai tahun ini.

Mengenai Komitmen negara ke arah Perubahan Iklim, Beta telah memperkenankan Negara Brunei Darussalam untuk menjadi Tuan Rumah bagi Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ASEAN Centre for Climate Change) yang akan menempatkan pakar-pakar dari dalam dan luar negara untuk menjalankan kegiatan penyelidikan, berkaitan dengan perubahan iklim.

Ini selaras dengan Dasar Perubahan Iklim Negara, pada mana satu direktif, Inventori Karbon menggunakan Centralised Inventory System, yang akan diperkenalkan dalam usaha negara melaksanakan pemantauan dan mengesahkan data gas rumah hijau secara telus, konsisten dan tepat.

Dengan maklumat tersebut, pada penghujung tahun 2023, pelan kebangsaan adaptasi perubahan iklim akan dirangka sebagai usaha penyelarasan dan penyesuaian dengan perubahan iklim.

Menyentuh mengenai Bidang Ekonomi, mengikut Laporan Ringkasan Annual Census of Enterprises 2021 yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik bagi tahun 2020, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (P.M.K.S) membentuk 97.2% daripada jumlah keseluruhan perusahaan aktif di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2020.

Dengan demikian, peranan P.M.K.S adalah sangat penting dalam menggiatkan ekonomi negara, dan dengan itu, persekitaran perniagaan, harus pula terus diperbaiki untuk menggalakkan lebih ramai lagi usahawan untuk menceburi bidang perniagaan dan perusahaan, serta menggalakkan perusahaan yang sedia ada untuk terus berkembang. P.M.K.S juga perlu  berani merebut peluang bagi mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara, kerana ini akan menghasilkan high-value add kepada ekonomi Negara.

Pihak Darussalam Enterprise (DARe) telah dan akan terus menyediakan skim bantuan dan program latihan serta khidmat nasihat untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh P.M.K.S.

DARe juga telah memudahcara beberapa projek strategik di berbagai sektor utama ( priority sectors) yang dikenalpasti seperti sektor agrimakanan dan sektor pembangunan bagi meningkatkan persekitaran kondusif ke arah menjana lebih banyak aktiviti perekonomian yang mendokong sara diri dan berorientasikan eksport.

Akhirnya, Beta ingin mengingatkan sekali lagi kepada Ahli-Ahli Majlis supaya akan dapat menggunakan persidangan di sini dengan sebaiknya, dengan membentangkan isu-isu utama yang strategik dan penting, serta sama-sama memberikan buah fikiran dan mencari jalan-jalan penyelesaian yang berpatutan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***