Berangkat ke Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48

Berangkat ke Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Mactan Expo, Cebu City, Republik Filipina.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dialu-alukan oleh Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos Jr. dan isteri, First Lady Louise Araneta-Marcos.

Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48, yang juga dihadiri oleh para pemimpin ASEAN ini dimulakan dengan lagu tema ASEAN, ‘The ASEAN Way’, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Tuan Yang Terutama Presiden Republik Filipina selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, di mana Tuan Yang Terutama mengalu-alukan kehadiran para pemimpin dan delegasi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu City.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Berangkat ke Majlis Santap Malam

Berangkat ke Majlis Santap Malam

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos Jr. dan isteri, First Lady Louise Araneta-Marcos yang berlangsung di Cowrie Cove, Shangri-La Mactan Resort, Cebu, malam tadi.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Presiden Republik Filipina dan isteri.

Turut hadir pada Majlis Santap tersebut ialah para pemimpin ASEAN lain yang berada di Cebu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 pada Jumaat, 8 Mei 2026. 

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Pelantikan, penetapan pegawai kanan kerajaan

Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff untuk dilantik dan ditetapkan dalam jawatannya sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan.

Tarikh pelantikan dan penetapan jawatan pegawai kanan berkenaan berkuat kuasa mulai hari Isnin, 4 Mei 2026 bersamaan 16 Zulkaedah 1447.

Sumber berita Pelita Brunei

PM Republik Demokratik Timor-Leste tiba di NBD

PM Republik Demokratik Timor-Leste tiba di NBD

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Wakil Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Kay Rala Xanana Gusmão, dan rombongan yang mengadakan Lawatan Rasmi selama tiga hari ke Negara Brunei Darussalam (NBD).

Turut hadir bagi mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Menteri Pengiring.

Juga berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke NBD, Tuan Yang Terutama Abel Guterres.

Majlis Sambutan Rasmi dimulakan dengan Lagu Kebangsaan kedua-dua buah negara.

Tuan Yang Terutama kemudiannya memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Tuan Yang Terutama seterusnya diperkenalkan kepada Menteri-menteri Kabinet; Timbalan-timbalan Menteri; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Ketua-ketua Perwakilan Asing di NBD; dan Setiausaha-setiausaha Tetap daripada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah disembahkenalkan kepada rombongan rasmi Republik Demokratik Timor-Leste.

Ini adalah merupakan Lawatan Rasmi Tuan Yang Terutama kali ketiga ke NBD, dengan Lawatan Rasmi pertama pada tahun 2014 dan lawatan seterusnya pada tahun 2017.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Doa Selamat raikan bakal jemaah haji JPM

Doa Selamat raikan bakal jemaah haji JPM

Jabatan Perdana Menteri (JPM) petang tadi mengadakan Majlis Doa Selamat bagi meraikan seramai 32 bakal jemaah haji yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan JPM serta jabatan-jabatan di bawahnya yang akan menunaikan Fardu Haji bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, bertempat di Bangunan JPM, di sini.

Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat majlis ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.

Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji dari JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya oleh tetamu-tetamu kehormat.

Ia diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis untuk memohon keselamatan dalam perjalanan serta urusan menunaikan ibadah haji dipermudahkan bagi bakal-bakal jemaah haji dan mendapat haji yang mabrur.

Turut hadir, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di JPM serta pegawai-pegawai kanan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto