KDYMM Menerima Mengadap Ketua-Ketua Delegasi Bagi Persidangan Kehakiman Dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-4 Tahun 2026

KDYMM Menerima Mengadap Ketua-Ketua Delegasi Bagi Persidangan Kehakiman Dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-4 Tahun 2026

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Ketua-Ketua Delegasi daripada Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Republik Indonesia dan Republik Singapura bagi Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-Empat Tahun 2026.

Rombongan Ketua-Ketua Delegasi yang hadir terdiri daripada Yang Amat Arif Dato’ Haji Mohd. Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syar’ie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia; Yang Mulia Dr. H. Yasardin S.H., M. Hum., Ketua Muda / Ketua Kamar Agama Mahkamah Agung Republik Indonesia; dan Yang Amat Arif Dr. Irwan Hadi bin Mohd. Shuhaimy, Presiden Kanan Mahkamah Syariah Singapura.

Turut hadir menyertai rombongan tersebut ialah Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie Negara Brunei Darussalam; Yang Arif Dato Seri Setia Haji Johar bin Haji Muhammad, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Mulia Pengiran Mohammaddin bin Pengiran Haji Aliakbar, Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Negara Brunei Darussalam.

Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Ketua-Ketua Delegasi berbincang mengenai perkembangan dan isu-isu kehakiman dan perundangan Syariah semasa di rantau Nusantara.

Ketua-Ketua Delegasi berada di negara ini bagi menghadiri Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-Empat Tahun 2026 dan seterusnya Mesyuarat Sekretariat Perundangan dan Kehakiman Syariah yang berlangsung bermula 6 hingga 8 Oktober 2026 di Bandar Seri Begawan.

Majlis Mengadap berkenaan berlangsung di Istana Nurul Iman.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

KDYMM Mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat (BSP) Ke-420 Dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat (BSM) Ke-198

KDYMM Mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat (BSP) Ke-420 Dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat (BSM) Ke-198

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-420 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-198 bagi Suku Ketiga tahun 2026. Mesyuarat tersebut berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran) dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri Kewangan II, selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat BSP dan Syarikat BSM.

Pada mesyuarat berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah penutup. Baginda menekankan akan pentingnya untuk mengekalkan prestasi yang kukuh serta meneruskan usaha-usaha penambahbaikan bagi menyokong matlamat jangka panjang BSP dan BSM.

Baginda turut menegaskan kepentingan untuk terus mengekalkan tahap keselamatan dan prestasi operasi yang tinggi.

Baginda juga menekankan kepentingan memperkukuhkan kerjasama dalam dan antara Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture, termasuk memanfaatkan keupayaan, sumber dan kepakaran secara kolektif bagi meningkatkan kecekapan, memperkukuhkan daya tahan operasi serta menjana nilai yang lebih besar secara keseluruhan.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan perkara-perkara utama termasuk prestasi operasi dan kewangan, pembangunan tenaga manusia serta perancangan perniagaan bagi Syarikat BSP dan Syarikat BSM.

Mesyuarat tersebut juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc, serta ahli-ahli kepimpinan daripada BSP dan BSM.

Mesyuarat tersebut menandakan berakhirnya sesi Mesyuarat-Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah SyarikatSyarikat Brunei Shell Joint Venture Companies bagi Suku Ketiga Tahun 2026.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

KDYMM Mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat LNG (BLNG) Ke -231 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat (BGC) Ke-117

KDYMM Mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat LNG (BLNG) Ke -231 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat (BGC) Ke-117

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG) Ke-231 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Gas Carriers Sendirian Berhad (BGC) Ke-117 bagi Suku Ketiga Tahun 2026. Mesyuarat tersebut berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran) dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri Kewangan II, selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat BLNG dan Syarikat BGC.

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Doa. Pada permulaan mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Titah. Baginda turut mengiktiraf pencapaian yang menggalakkan oleh Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture setakat ini, di samping usaha penambahbaikan yang dilaksanakan secara berterusan.

Mesyuarat seterusnya membincangkan beberapa perkara utama termasuk prestasi operasi dan kewangan, keselamatan dan kebolehpercayaan operasi, pembangunan tenaga kerja serta perancangan perniagaan. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha untuk terus meningkatkan prestasi dan daya saing syarikat-syarikat berkenaan, di samping memperkukuhkan keupayaan bagi menjana nilai secara mampan dalam menghadapi perubahan persekitaran perniagaan dan tenaga.

Baginda turut menekankan kepentingan hala tuju yang jelas bagi mencapai potensi setiap syarikat, termasuk keutamaan dan pilihan strategik yang diperlukan bagi menyokong prestasi dan daya saing jangka panjang. Perhatian turut diberikan kepada kepentingan penyelarasan dan kerjasama yang berkesan dalam kalangan Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kepimpinan daripada BLNG dan BGC.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga PengarahPengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-420 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-198 bagi Suku Ketiga Tahun 2026 pada hari esok.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Berkenan menerima mengadap Ketua Hakim Mahkamah Besar Republik Filipina

Berkenan menerima mengadap Ketua Hakim Mahkamah Besar Republik Filipina

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan menerima mengadap Yang Amat Arif Alexander G. Gesmundo, Ketua Hakim Mahkamah Besar Republik Filipina dan delegasi.

Menyertai Yang Amat Arif semasa Majlis Mengadap tersebut ialah Mr. Edgardo L. Delos Santos, Chancellor of the Philippine Judicial Academy; Mr. Sedfrey M. Candelaria, Vice Chancellor of the Philippine Judicial Academy; Attorney Antonio Ceaser R. Manila, Judicial Staff Head, Office of the Chief Justice; dan Puan Bernadette A. Mendoza, Chargé d’ Affairés, Kedutaan Republik Filipina di Bandar Seri Begawan.

Turut hadir ialah Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon, Ketua Hakim Mahkamah Besar, Negara Brunei Darussalam; Yang Arif Dato Paduka Awang Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar; Yang Arif Awang Muhammed Faisal bin Pehin Datu Juragan Laila Diraja Kolonel (Bersara) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Kefli, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar; Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Mulia Dayang Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah, Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Besar.

Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Amat Arif Ketua Hakim Mahkamah Besar Republik Filipina berbincang mengenai dengan kerjasama kehakiman yang sedang berjalan diantara kehakiman Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina.

Yang Amat Arif Ketua Hakim Mahkamah Besar Republik Filipina berada di negara ini bagi lawatan kerja mulai 29 hingga 31 Ogos 2026 dan juga menghadiri Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman antara Unit Pendidikan Latihan Kehakiman Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam dan pihak Philippine Judicial Academy pada 30 Ogos 2026 di Bandar Seri Begawan.

Sumber berita Jabatan Penerangan
Sumber foto Infofoto

Berkenan berangkat ke Majlis Persantapan Rasmi

Berkenan berangkat ke Majlis Persantapan Rasmi

Sempena Perundingan Tahunan Ketua-ketua Kerajaan Kali Ke-27 antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Malaysia, Majlis Persantapan Rasmi telah berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman, di sini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bersama Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato Laila Utama Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Berangkat sama ke Majlis Persantapan Rasmi berkenaan ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri

Juga hadir, delegasi Malaysia dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Menteri Pengiring.

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

Sumber berita Jabatan Penerangan
Sumber foto Infofoto

Brunei, Malaysia meterai kerjasama dalam pengurusan bencana

Brunei, Malaysia meterai kerjasama dalam pengurusan bencana

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat bersama Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato Laila Utama Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ke Baitul Mesyuarah bagi menyaksikan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan Kerajaan Malaysia, iaitu Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Malaysia mengenai Kerjasama dalam Bidang Pengurusan Bencana.

Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Pemangku Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, manakala, Kerajaan Malaysia pula diwakili oleh Menteri Luar Negeri, Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan.

Sumber berita Jabatan Penerangan
Sumber foto Infofoto