
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat mengadakan Mesyuarat Dua Hala dengan Tuan Yang Terutama Presiden Persekutuan Rusia.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah mengimbas kembali mengalu-alukan Tuan Yang Tertutama Presiden ke Negara Brunei Darussalam untuk menghadiri APEC pada tahun 2000, dan layanan yang diberikan semasa Keberangkatan Negara pertama Baginda ke Moscow pada tahun 2005.
Baginda juga bertitah bahawa mesyuarat baru-baru ini di Kazan dan Shenzhen telah mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara, yang mana Baginda menggalakkan hubungan berterusan antara pegawai kedua-dua negara, dan peluang untuk memperdalam lagi kerjasama dalam pendidikan, tenaga dan perdagangan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah menzahirkan penghargaan atas kerjasama dengan Persekutuan Rusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan forum antarabangsa lain, serta komitmen bersama terhadap dialog yang membina dan menekankan bahawa Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia di Kazan pada bulan Jun lalu menandakan ulang tahun ke-35 hubungan dan memberi peluang untuk memperkembangkan perkongsian tersebut.
Pada mengakhiri titah, Baginda menzahirkan penghargaan atas penglibatan berterusan Persekutuan Rusia dengan ASEAN dan sokongan terhadap ASEAN Centrality dan berkongsi pandangan bahawa dialog dan kerjasama yang berterusan adalah penting pada masa ketidakpastian antarabangsa dalam memajukan keamanan, kestabilan dan kemakmuran.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
