KDYMM Menerima Mengadap Ketua-Ketua Delegasi 16th CAPGC

KDYMM Menerima Mengadap Ketua-Ketua Delegasi 16th CAPGC

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap 13 Ketua-Ketua Delegasi ASEAN dan dari Republik Rakyat China yang menyertai “16th China-ASEAN Prosecutor’s General Conference (CAPGC)” yang telah berlangsung mulai 20 hingga 22 Oktober 2026.

Berangkat sama ke Majlis Mengadap tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Ketua-Ketua Delegasi adalah:
1. Tuan Yang Terutama Ying Yong, Ketua Pendakwa Raya China;
2. Puan Yang Terutama Chea Leang, Ketua Pendakwa Raya Kemboja;
3. Tuan Yang Terutama Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar, Peguam Negara Malaysia;
4. Puan Yang Terutama Dr. Thida Oo, Menteri Kesatuan dan Peguam Negara Republik Kesatuan Myanmar;
5. Tuan Yang Terutama Lucien Wong, Peguam Negara Republik Singapura;
6. Tuan Yang Terutama Dr. Nelson De Carvalho, Ketua Pendakwa Raya Republik Demokratik Timor-Leste;
7. Tuan Yang Terutama Nguyen Huy Tien, Ketua Pendakwa Raya Republik Sosialis Viet Nam;
8. Tuan Yang Terutama Dr. R. Narendra Jatna, Timbalan Peguam Negara Indonesia;
9. Tuan Yang Terutama Bounthanh Bounthavilay, Timbalan Ketua Pendakwa Raya Republik Demokratik Rakyat Lao;
10. Puan Yang Terutama Rohairah Ampuan Lao, Pendakwa Raya Wilayah Republik Filipina;
11. Tuan Yang Terutama Chart Chaidejsuriya, Timbalan Peguam Negara Thailand;
12. Tuan Yang Terutama Paul Lam Ting-kwok, Setiausaha Kehakiman Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong; dan
13. Tuan Yang Terutama Dr. Tong Hio Fong, Ketua Pendakwa Raya Wilayah Pentadbiran Khas Macao.

Turut hadir ialah Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Muhammed Taib, Peguam Negara selaku Pengerusi Persidangan “16th China-ASEAN Prosecutor’s General Conference (CAPGC)” dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) selaku Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang); Yang Mulia Dayang Hajah Zuraini binti Haji Sharbawi, Peguamcara Negara dan Dayang Hajah Suriana binti Haji Radin, Penolong Peguamcara Negara.

Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Ketua-Ketua Delegasi telah berbincang mengenai perkembangan dan isu-isu perundangan di rantau ASEAN dan Republik Rakyat China khas nya Hong Kong dan Macau.

16th China-ASEAN Prosecutor’s General Conference (CAPGC) merupakan sebuah platform pertukaran maklumat pelbagai hala di peringkat tinggi diantara pihak berkuasa pendakwaan Republik Rakyat China dan Negara-Negara ASEAN berkenaan isu-isu kepentingan bersama, yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dalam membanteras jenayah rentas negara, melindungi kesejahteraan hidup rakyat dan mengekalkan kestabilan serantau. Persidangan pada tahun ini diadakan di bawah tema “Protecting Children in the Digital Age: Harmonizing Legal Frameworks and International Cooperation”.

Majlis Mengadap tersebut telah berlangsung di Istana Nurul Iman.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN (AMMTC) Kali Ke-20

Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN (AMMTC) Kali Ke-20

Negara Brunei Darussalam telah menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime – AMMTC) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan Kali Ke-20 yang berlangsung di Makati City, Republik Filipina pada 19 hingga 21 Oktober 2026. Majlis Pembukaan Mesyuarat AMMTC Kali Ke-20 telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Juanito Victor C. Remulla Jr., Secretary of the Department of the Interior and Local Government, Republik Filipina selaku Ketua AMMTC – Republik Filipina pada 20 Oktober 2026.

Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) dengan disertai oleh Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri selaku Ketua Senior Officials’ Meeting on Transnational Crime (SOMTC) Negara Brunei Darussalam, serta pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Perdana Menteri.

Mesyuarat AMMTC dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan merupakan sebuah platform tahunan yang signifikan bagi Menteri-Menteri ASEAN yang bertanggungjawab dalam hal ehwal jenayah rentas sempadan untuk membincangkan trend semasa aktiviti jenayah serta situasi keselamatan serantau. Mesyuarat ini didahului oleh Mesyuarat Persediaan SOMTC (Preparatory SOMTC) bagi AMMTC Kali Ke-20 yang diadakan pada 19 Oktober 2026.

Dalam ucapannya di sidang Plenari AMMTC Kali Ke-20 pada 20 Oktober 2026, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) telah menegaskan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam dalam menangani jenayah rentas sempadan, khususnya pemerdagangan orang (Trafficking in Persons – TIP), pengganasan dan ekstremisme ganas, pengubahan wang haram dan penipuan dalam talian, serta pengedaran dadah haram. Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) turut mengongsikan pencapaian signifikan Negara Brunei Darussalam yang telah dinaiktaraf kepada Tahap 2 (Tier 2) daripada Senarai Pemerhatian Tahap 2 (Tier 2 Watch List) dalam Laporan Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat Tahun 2026, sekali gus mencatatkan peningkatan bagi dua (02) tahun berturut-turut, dan menyatakan keyakinan bahawa perkongsian amalan terbaik oleh Republik Filipina selaku SOMTC Lead Shepherd bagi TIP dan Negara-Negara Anggota ASEAN turut menyumbang kepada kemajuan tersebut. Menurut Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), menegaskan bahawa pencapaian ini bukan sebagai titik akhir, tetapi sebagai dorongan untuk melakukan lebih banyak usaha.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) juga menegaskan bahawa ancaman pengganasan tidak lagi bersifat konvensional, dengan kebimbangan utama kini tertumpu kepada pelaku tunggal (lone actor), khususnya golongan belia yang terdedah kepada radikalisasi kendiri dalam talian. Mengenai pembersihan wang haram, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) menjelaskan bahawa hasil penipuan dalam talian dipindahkan ke luar negara dengan lebih pantas daripada siasatan yang dijalankan maka rentas sempadan yang lebih pantas bagi penyiasatan.

Mengenai isu dadah, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) menyuarakan kebimbangan terhadap cubaan sindiket untuk mengeksploitasi Negara Brunei Darussalam sebagai negara transit, serta menegaskan pendirian tegas negara dan tidak berkompromi terhadap kanabis, memandangkan trend normalisasinya di sesetengah negara boleh menimbulkan tanggapan salah dalam kalangan generasi muda bahawa kanabis tidak berbahaya, sedangkan hakikatnya ia membawa risiko serius terhadap kesihatan dan kesejahteraan. Mengakhiri ucapan, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) menyatakan sokongan Negara Brunei Darussalam terhadap Kenyataan Bersama Mesyuarat serta komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan Negara-Negara Anggota ASEAN ke arah rantau yang lebih selamat dan terjamin.

Seterusnya pada 21 Oktober 2026, AMMTC juga telah mengadakan konsultasi dengan Negara-Negara Rakan Dialog ASEAN iaitu konsultasi AMMTC + 3 Kali Ke-16; AMMTC + China Kali Ke-13; AMMTC + Jepun Kali Ke-11 dan AMMTC + Republik Korea Kali Ke-7. Dalam sesi-sesi konsultasi berkenaan, Yang Berhormat Menteri telah menyuarakan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Negara-Negara Rakan Dialog ASEAN, serta merakamkan penghargaan atas sokongan yang dihulurkan dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan.

Semasa berada di Republik Filipina, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) juga telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri, Malaysia selaku Ketua AMMTC – Malaysia dan Tuan Yang Terutama Juanito Victor C. Remulla Jr. Pertemuan-pertemuan tersebut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam menangani penipuan dalam talian, pemerdagangan orang, pengedaran dadah serta jenayah rentas sempadan yang lain.

Mesyuarat AMMTC Kali Ke-20 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan telah dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Juanito Victor C. Remulla Jr. dan disertai oleh Menteri-Menteri, Ketua-Ketua Delegasi dan Pegawai-Pegawai Kanan dari Negara-Negara Anggota ASEAN. Mesyuarat turut dihadiri oleh Puan Yang Terutama Dato’ Astanah Abdul Aziz, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Jabatan Perdana Menteri

KDYMM berkenan mengurniakan watikah pelantikan, menerima surat tauliah

KDYMM berkenan mengurniakan watikah pelantikan, menerima surat tauliah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada Ketua-ketua Perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan daripada Ketua-ketua Perwakilan Asing ke Negara Brunei Darussalam yang baharu.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada Tuan Yang Terutama Dato Seri Paduka Awang Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China dan Tuan Yang Terutama Sheikh Abdul Mahdani bin Dato Paduka Sheikh Haji Abdul Gani, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Peranchis.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan daripada Ketua-ketua Perwakilan Asing yang menetap ke Negara Brunei Darussalam iaitu Tuan Yang Terutama Chen Shaochun, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam; Puan Yang Terutama Do Thuy Duong, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Viet Nam ke Negara Brunei Darussalam; Tuan Yang Terutama Soe Thet Naung, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Kesatuan Myanmar ke Negara Brunei Darussalam; dan Puan Yang Terutama Melanie Barlow, Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam.

Baginda kemudian berkenan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan daripada seramai 20 orang Ketua-ketua Perwakilan Asing yang tidak menetap ke Negara Brunei Darussalam, iaitu:

  • Tuan Yang Terutama Mario Masuyuki Toyotoshi, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Paraguay ke Negara Brunei Darussalam;
  • Tuan Yang Terutama Mohamed Trabelsi, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Tunisia ke Negara Brunei Darussalam;
  • Puan Yang Terutama Tanya Dimitrova, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Bulgaria ke Negara Brunei Darussalam;
  • Puan Yang Terutama Yadira Ledesma Hernandez, Pesuruhjaya Tinggi Republik Cuba ke Negara Brunei Darussalam;
  • Tuan Yang Terutama Abdelouahab Osmane, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Algeria ke Negara Brunei Darussalam;
  • Tuan Yang Terutama Karim Mohamed Elsadat Abdelkarim Abdelkhalek, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Arab Mesir ke Negara Brunei Darussalam;
  • Tuan Yang Terutama Dr. Karomidin Gadoev, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Uzbekistan ke Negara Brunei Darussalam;
  • Puan Yang Terutama Dr. Mariyam Shabeena Ahmed, Pesuruhjaya Tinggi Republik Maldives ke Negara Brunei Darussalam;
  • Puan Yang Terutama Daniella Ortega de Paiva Menezes, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Brazil ke Negara Brunei Darussalam;
  • Tuan Yang Terutama Sudqi Al-Omoush, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Hasyimiyah Jordan ke Negara Brunei Darussalam;
  • Tuan Yang Terutama Floréncio de Conceiçāo e Almeida, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Angola ke Negara Brunei Darussalam;
  • Tuan Yang Terutama Irakli Asashvili, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Georgia ke Negara Brunei Darussalam;
  • Tuan Yang Terutama Gerhard Eisl, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Austria ke Negara Brunei Darussalam;
  • Tuan Yang Terutama Zada Seidou, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Niger ke Negara Brunei Darussalam;
  • Tuan Yang Terutama Serob Bejanyan, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Armenia ke Negara Brunei Darussalam;
  • Tuan Yang Terutama Sebastián Breton Pérez, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Panama ke Negara Brunei Darussalam;
  • Puan Yang Terutama Ivana Golubović-Duboka, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Serbia ke Negara Brunei Darussalam;
  • Puan Yang Terutama Marianne Fosland, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Norway ke Negara Brunei Darussalam;
  • Tuan Yang Terutama Petr Kopřiva, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Czech ke Negara Brunei Darussalam;
  • Tuan Yang Terutama Innocent Bagamba Muhizi, Pesuruhjaya Tinggi Republik Rwanda ke Negara Brunei Darussalam.

Selesai Selepas Majlis-majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima mengadap Ketua-ketua Perwakilan Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan Ketua-ketua Perwakilan Asing ke Negara Brunei Darussalam yang baharu.

Turut hadir di Majlis-majilis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang); Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II; Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Hamiddon bin Haji Ibrahim, Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Awang Haji Muhammad Fakhri bin Haji Mohd Taib, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; dan Yang Mulia Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali, Pemangku Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri selaku Pemangku Grand Chamberlain.

Majlis tersebut telah berlangsung di Istana Nurul Iman.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Mesyuarat menteri-menteri ASEAN mengenai isu dadah Kali Ke-9 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan (AMMD)

Mesyuarat menteri-menteri ASEAN mengenai isu dadah Kali Ke-9 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan (AMMD)

Negara Brunei Darussalam telah menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Isu Dadah Kali Ke-9 (9th ASEAN Ministerial Meeting on Drug Matters – AMMD) yang diadakan secara atas talian pada 15 Oktober 2026 dan dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Oscar F. Valenzuela, Pengerusi Dangerous Drugs Board, Republik Filipina.

Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), yang menegaskan bahawa dadah bukan sekadar isu sosial atau penguatkuasaan undang-undang; ia merupakan ancaman keselamatan negara yang menghakis daya tahan keluarga, menjejaskan keselamatan awam dan menyuburkan jenayah terancang rentas negara.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) turut menarik perhatian bahawa 42 peratus daripada jumlah tangkapan berkaitan dadah di sepanjang tahun lalu melibatkan individu berumur di bawah 35 tahun. “Mereka adalah generasi muda kita, dan ini menunjukkan bahawa kita mesti bertindak lebih awal dan dengan lebih tepat” ujar Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang). Menekankan bahawa “tiada negara yang mampu menangani ancaman ini secara bersendirian” Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) turut mengetengahkan operasi bersama tujuh (07) agensi penguatkuasaan dari lima (05) buah negara termasuk Negara Brunei Darussalam yang berjaya merampas hampir 110 kilogram methylamphetamine pada tahun 2025. Dalam hubungan ini, beliau menyatakan bahawa “pemulihan adalah sesuatu yang boleh dicapai, dan setiap individu yang memilih jalan tersebut wajar mendapat sokongan kita serta peluang kedua yang sebenar untuk membina semula kehidupan.”

Mesyuarat turut menyokong pelanjutan tempoh pelaksanaan ASEAN Work Plan on Securing Communities Against Illicit Drugs 2016–2025 bagi membolehkan aktiviti-aktiviti yang masih belum diselesaikan dilengkapkan, sementara Kajian Semula Akhir (Final Review) yang diterajui oleh Republik Filipina dimuktamadkan. Mesyuarat juga mengambil maklum penyampaian Kenyataan Bersama ASEAN oleh Republik Filipina semasa Sesi Ke-69 Commission on Narcotic Drugs di Vienna, yang mencerminkan pendirian dan komitmen bersama ASEAN dalam menangani ancaman dadah di peringkat global.

Antara hasil utama mesyuarat ialah pengesahan Concept Note on Updating Annex I of the ASEAN Charter concerning the Nomenclature of ASOD dan Guidelines of Practices and Protocols for the AMMD and Its Subsidiary Mechanisms. Mesyuarat turut mengadakan acara memperingati Hari Memperingati Mangsa Dadah ASEAN (ASEAN Drug Victims Remembrance Day) buat julung kalinya sebagai tanda penghormatan kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat penyalahgunaan dadah.

Mesyuarat AMMD Kali Ke-9 telah didahului oleh Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Isu Dadah (Preparatory-ASOD) pada 14 Oktober 2026. Mesyuarat AMMD Kali Ke-10 akan dipengerusikan oleh Myanmar.

Turut menyertai delegasi Negara Brunei Darussalam ialah Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri; Yang Mulia Dato Paduka Haji Mohd Zalani bin Haji Ismail, Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengarah Biro Kawalan Narkotik; serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri dan Biro Kawalan Narkotik.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Jabatan Perdana Menteri

Menerima mengadap Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam

Menerima mengadap Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, berkenan menerima mengadap Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura. Majlis tersebut berlangsung di Qashr Al-Meezan.

Menyertai Tuan Yang Terutama semasa majlis mengadap tersebut ialah Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam dan Tuan Kadir Maideen, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Turut hadir pada majlis mengadap berkenaan ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama, dan Yang Mulia Dr. Haji Mohamed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Tuan Yang Terutama mengadakan Lawatan Pengenalan ke Negara Brunei Darussalam selama tiga (3) hari, mulai 11hb. hingga 13hb. Oktober 2026.

Sumber berita Kementerian Hal Ehwal Ugama
Sumber foto Infofoto

Berangkat mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Republik Singapura

Berangkat mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Republik Singapura

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam, malam ini berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Perdana Menteri Republik Singapura dan isteri, Puan Loo Tze Lui serta rombongan Republik Singapura yang akan menghadiri Sambutan Jubli Emas Hubungan Pertahanan Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Hadir bagi mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama dan isteri ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, selaku Menteri Pengiring, dan isteri; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, dan isteri.

Juga hadir ialah Yang Mulia Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; dan Setiausaha-Setiausaha Tetap dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan, dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri bersama pasangan masingmasing.

Sambutan Jubli Emas Hubungan Pertahanan Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura akan diadakan pada 10hb. Oktober 2026 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) di Muara.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto