KDYMM Menerima Mengadap Ketua-Ketua Delegasi Bagi Persidangan Kehakiman Dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-4 Tahun 2026

KDYMM Menerima Mengadap Ketua-Ketua Delegasi Bagi Persidangan Kehakiman Dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-4 Tahun 2026

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Ketua-Ketua Delegasi daripada Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Republik Indonesia dan Republik Singapura bagi Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-Empat Tahun 2026.

Rombongan Ketua-Ketua Delegasi yang hadir terdiri daripada Yang Amat Arif Dato’ Haji Mohd. Amran bin Haji Mat Zain, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syar’ie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia; Yang Mulia Dr. H. Yasardin S.H., M. Hum., Ketua Muda / Ketua Kamar Agama Mahkamah Agung Republik Indonesia; dan Yang Amat Arif Dr. Irwan Hadi bin Mohd. Shuhaimy, Presiden Kanan Mahkamah Syariah Singapura.

Turut hadir menyertai rombongan tersebut ialah Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar’ie Negara Brunei Darussalam; Yang Arif Dato Seri Setia Haji Johar bin Haji Muhammad, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Mulia Pengiran Mohammaddin bin Pengiran Haji Aliakbar, Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Negara Brunei Darussalam.

Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Ketua-Ketua Delegasi berbincang mengenai perkembangan dan isu-isu kehakiman dan perundangan Syariah semasa di rantau Nusantara.

Ketua-Ketua Delegasi berada di negara ini bagi menghadiri Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Kali Ke-Empat Tahun 2026 dan seterusnya Mesyuarat Sekretariat Perundangan dan Kehakiman Syariah yang berlangsung bermula 6 hingga 8 Oktober 2026 di Bandar Seri Begawan.

Majlis Mengadap berkenaan berlangsung di Istana Nurul Iman.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Berangkat meninggalkan Republik Singapura

Berangkat meninggalkan Republik Singapura

Setelah menamatkan lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat meninggalkan Republik Singapura.

Sebelum berangkat meninggalkan Republik Singapura, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Abdul Hamid.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia ialah Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam dan Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan selaku Menteri Pengiring Singapura; dan Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam.

Juga hadir ialah Puan Yang Terutama Noor Qamar binti Haji Sulaiman, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura.

Program Pemimpin-Pemimpin Muda Singapura-Brunei (YLP) terus menjadi wadah penting yang memperkukuh hubungan yang telah lama terjalin, kepercayaan yang mendalam, serta kerjasama erat antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura. Program YLP tahun ini mencatatkan hasil yang signifikan dalam pelbagai bidang strategik melangkaui interaksi peringkat tinggi.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Berkenan melawat Punggol Digital District, Singapore Institute of Technology

Berkenan melawat Punggol Digital District, Singapore Institute of Technology

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini menamatkan lawatan ke Republik Singapura bagi Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12. Sebelum berangkat balik, Duli Yang Teramat Mulia berkenan melawat Punggol Digital District (PDD) dan Singapore Institute of Technology (SIT).

Atur cara pada hari ini bermula di Punggol Digital District (PDD), di mana Duli Yang Teramat Mulia dijunjung untuk Majlis Sarapan Pagi yang dihoskan oleh Tuan Yang Terutama Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura. Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia disembahkan taklimat mengenai PDD dan Singapore Institute of Technology (SIT). Sembah taklimat antaralain mengetengahkan PDD sebagai kawasan perindustrian pintar dan lestari pertama di Singapura yang dibangunkan melalui model perkongsian, serta direka bentuk untuk mengintegrasikan sektor industri, perusahaan, dan akademik secara menyeluruh, dengan SIT berperanan sebagai rakan strategik dalam
kerjasama industri-akademia, pembangunan bakat, dan inovasi melalui kemudahan bersama serta pelbagai inisiatif penyelidikan.

Sebelum sesi pembentangan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia bersama dengan Tuan Yang Terutama telah meninjau kawasan PDD yang mempamerkan infrastruktur perkongsian, rangka kerja integrasi digital, dan ekosistem pendidikan inovatif yang menjadi ciri utama daerah pintar tersebut. Sebelum berangkat balik, Duli Yang Teramat Mulia berpeluang untuk berinteraksi dengan robot yang direka oleh para pelajar dan menaiki kenderaan autonomi bersama Tuan Yang Terutama. Lawatan ini mengetengahkan pertukaran ilmu yang berterusan antara pemimpin generasi masa hadapan kedua-dua negara, khususnya dalam bidang transformasi digital, inovasi teknologi, dan reka bentuk bandar yang mampan.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

DPMM berangkat ke Majlis Santap Malam

DPMM berangkat ke Majlis Santap Malam

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini berkenan melawat Singapore Oceanarium sebagai sebahagian daripada atur cara eksekutif Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12.

Sejurus keberangkatan tiba di Singapore Oceanarium, Duli Yang Teramat Mulia dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Perdana Menteri Republik Singapura.

Lawatan dimulakan dengan tinjauan sambil berjalan yang dipandu, dimana Duli Yang Teramat Mulia disembahkan taklimat mengenai kepelbagaian hidupan marin di galeri-galeri terpilih. Selepas lawatan itu, Perdana Menteri Lawrence Wong menganjurkan Majlis Santap Malam bagi meraikan lawatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota. Majlis tersebut diadakan di Ocean Gallery.

Majlis ini mencerminkan perkongsian dua hala yang kukuh serta hubungan rapat yang berkekalan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Lawatan DPMM Ke Malay Heritage Centre

Lawatan DPMM Ke Malay Heritage Centre

Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya melawat Pusat Warisan Melayu untuk menyaksikan pameran budaya di pusat berkenaan.

Sepanjang lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia disembahkan taklimat mengenai usaha gigih Republik Singapura dalam memelihara dan mempromosikan warisan, seni, serta budaya Melayu-Islam, yang turut menyerlahkan ikatan sosiobudaya yang erat dan akar umbi yang dikongsi bersama, yang menghubungkan masyarakat Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Lawatan DPMM ke Masjid Sultan

Lawatan DPMM ke Masjid Sultan

Pada sebelah petang, Duli Yang Teramat Mulia berangkat ke Kampong Glam untuk melawat Masjid Sultan yang bersejarah serta Pusat Warisan Melayu yang terletak bersebelahan dengannya. Sejurus keberangkatan tiba, Duli Yang Teramat Mulia dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam dan Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan Republik Singapura.

Atur cara lawatan budaya itu dimulakan dengan lawatan berpandu dan taklimat mengenai sejarah kaya Masjid Sultan, sebuah mercu tanda ikonik yang sedang meraikan peristiwa bersejarah ulang tahun ke-200 sejak penubuhannya pada tahun 1819. Lawatan tersebut turut mengetengahkan pencapaian seni bina bangunan semasa masjid tersebut yang mencecah usia satu abad.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto