Berangkat meninggalkan Republik Singapura

Berangkat meninggalkan Republik Singapura

Setelah menamatkan lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat meninggalkan Republik Singapura.

Sebelum berangkat meninggalkan Republik Singapura, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Abdul Hamid.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia ialah Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam dan Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan selaku Menteri Pengiring Singapura; dan Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam.

Juga hadir ialah Puan Yang Terutama Noor Qamar binti Haji Sulaiman, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura.

Program Pemimpin-Pemimpin Muda Singapura-Brunei (YLP) terus menjadi wadah penting yang memperkukuh hubungan yang telah lama terjalin, kepercayaan yang mendalam, serta kerjasama erat antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura. Program YLP tahun ini mencatatkan hasil yang signifikan dalam pelbagai bidang strategik melangkaui interaksi peringkat tinggi.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Berkenan melawat Punggol Digital District, Singapore Institute of Technology

Berkenan melawat Punggol Digital District, Singapore Institute of Technology

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini menamatkan lawatan ke Republik Singapura bagi Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12. Sebelum berangkat balik, Duli Yang Teramat Mulia berkenan melawat Punggol Digital District (PDD) dan Singapore Institute of Technology (SIT).

Atur cara pada hari ini bermula di Punggol Digital District (PDD), di mana Duli Yang Teramat Mulia dijunjung untuk Majlis Sarapan Pagi yang dihoskan oleh Tuan Yang Terutama Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri Republik Singapura. Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia disembahkan taklimat mengenai PDD dan Singapore Institute of Technology (SIT). Sembah taklimat antaralain mengetengahkan PDD sebagai kawasan perindustrian pintar dan lestari pertama di Singapura yang dibangunkan melalui model perkongsian, serta direka bentuk untuk mengintegrasikan sektor industri, perusahaan, dan akademik secara menyeluruh, dengan SIT berperanan sebagai rakan strategik dalam
kerjasama industri-akademia, pembangunan bakat, dan inovasi melalui kemudahan bersama serta pelbagai inisiatif penyelidikan.

Sebelum sesi pembentangan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia bersama dengan Tuan Yang Terutama telah meninjau kawasan PDD yang mempamerkan infrastruktur perkongsian, rangka kerja integrasi digital, dan ekosistem pendidikan inovatif yang menjadi ciri utama daerah pintar tersebut. Sebelum berangkat balik, Duli Yang Teramat Mulia berpeluang untuk berinteraksi dengan robot yang direka oleh para pelajar dan menaiki kenderaan autonomi bersama Tuan Yang Terutama. Lawatan ini mengetengahkan pertukaran ilmu yang berterusan antara pemimpin generasi masa hadapan kedua-dua negara, khususnya dalam bidang transformasi digital, inovasi teknologi, dan reka bentuk bandar yang mampan.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

DPMM berangkat ke Majlis Santap Malam

DPMM berangkat ke Majlis Santap Malam

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini berkenan melawat Singapore Oceanarium sebagai sebahagian daripada atur cara eksekutif Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12.

Sejurus keberangkatan tiba di Singapore Oceanarium, Duli Yang Teramat Mulia dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Perdana Menteri Republik Singapura.

Lawatan dimulakan dengan tinjauan sambil berjalan yang dipandu, dimana Duli Yang Teramat Mulia disembahkan taklimat mengenai kepelbagaian hidupan marin di galeri-galeri terpilih. Selepas lawatan itu, Perdana Menteri Lawrence Wong menganjurkan Majlis Santap Malam bagi meraikan lawatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota. Majlis tersebut diadakan di Ocean Gallery.

Majlis ini mencerminkan perkongsian dua hala yang kukuh serta hubungan rapat yang berkekalan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Lawatan DPMM Ke Malay Heritage Centre

Lawatan DPMM Ke Malay Heritage Centre

Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya melawat Pusat Warisan Melayu untuk menyaksikan pameran budaya di pusat berkenaan.

Sepanjang lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia disembahkan taklimat mengenai usaha gigih Republik Singapura dalam memelihara dan mempromosikan warisan, seni, serta budaya Melayu-Islam, yang turut menyerlahkan ikatan sosiobudaya yang erat dan akar umbi yang dikongsi bersama, yang menghubungkan masyarakat Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Lawatan DPMM ke Masjid Sultan

Lawatan DPMM ke Masjid Sultan

Pada sebelah petang, Duli Yang Teramat Mulia berangkat ke Kampong Glam untuk melawat Masjid Sultan yang bersejarah serta Pusat Warisan Melayu yang terletak bersebelahan dengannya. Sejurus keberangkatan tiba, Duli Yang Teramat Mulia dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam dan Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan Republik Singapura.

Atur cara lawatan budaya itu dimulakan dengan lawatan berpandu dan taklimat mengenai sejarah kaya Masjid Sultan, sebuah mercu tanda ikonik yang sedang meraikan peristiwa bersejarah ulang tahun ke-200 sejak penubuhannya pada tahun 1819. Lawatan tersebut turut mengetengahkan pencapaian seni bina bangunan semasa masjid tersebut yang mencecah usia satu abad.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

DPMM berangkat melawat SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine (BD-MED)

DPMM berangkat melawat SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine (BD-MED)

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini meneruskan program rasmi sempena Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12 di Singapura.

Duli Yang Teramat Mulia memulakan program hari ini dengan melawat SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine (BD-MED) bagi meninjau kemajuan dalam penyelidikan perubatan translasi.

Duli Yang Teramat Mulia dijunjung sebaik keberangkatan tiba di Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS) oleh Tuan Yang Terutama Ong Ye Kung, Menteri Kesihatan Republik Singapura.

Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia disembahkan taklimat dan pembentangan mengenai kerjasama saintifik yang sedang dijalankan oleh institut tersebut bersama Universiti Brunei Darussalam (UBD). Bertempat di Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS), SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine (BD-MED) merupakan sebuah kemudahan penyelidikan bersama yang mengkaji tumbuhan rantau ini bagi menemui rawatan perubatan baharu. Melalui makmal genomik bersama dengan UBD, institut tersebut telah berjaya memetakan genom bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam, iaitu bunga Simpur, bagi membuka potensi sifat anti-kanser dan penyembuhannya.

Selepas sesi pembentangan, Duli Yang Teramat Mulia berangkat melawat makmal-makmal penyelidikan dan menyaksikan demonstrasi saintifik secara langsung yang mempamerkan teknologi perubatan moden. Di makmal, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan berinteraksi dengan seorang penuntut tahun akhir jurusan Farmasi dari UBD yang sedang menjalani program ‘Discovery Year’ di BD-MED.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto