
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman, hari ini telah berangkat mengadakan beberapa lawatan ke institusi-institusi sosial dan penjagaan kesihatan terkemuka di Doha, yang mencerminkan komitmen bersama yang semakin berkembang terhadap kebajikan sosial dan kecemerlangan perubatan antara Negara Brunei Darussalam dan Negara Qatar.

Lawatan ke Shafallah Center for Persons with Disabilities
Pada sebelah pagi, Yang Teramat Mulia telah berangkat melawat Shafallah Center for Persons with Disabilities bertempat di Lusail. Berangkat bersama Yang Teramat Mulia ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Sejurus berangkat tiba, Yang Teramat Mulia telah dialu-alukan oleh Puan Yang Terutama Buthaina Bint Ali al-Jabr al-Nuaimi, Minister of Social Development and Family dan Mr. Rashid Mohammed Al Naimi, Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Foundation for Social Work. Lawatan ini menunjukkan usaha-usaha Qatar dalam memperkasakan individu kelainan upaya melalui pendidikan khas yang disesuaikan, pemulihan terapeutik, latihan vokasional, dan program-program inklusi sosial yang strategik.
Semasa lawatan tersebut, Yang Teramat Mulia berpeluang menyaksikan aktiviti-aktiviti terapeutik di pelbagai unit khusus, termasuk Bilik Taman (Garden Room), Bilik Lukisan, dan Studio Fotografi. Sebelum mengakhiri lawatan, Yang Teramat Mulia berkenan menyertai sesi bergambar bersama para pelajar dan pegawai pusat tersebut.

Lawatan ke Sidra Medicine
Pada sebelah petang, Yang Teramat Mulia berangkat melawat Sidra Medicine, sebuah hospital terkemuka khusus untuk wanita dan kanak-kanak. Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Mohammed Khalid Al Mana, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sidra Medicine.
Berangkat bersama Yang Teramat Mulia ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.
Yang Teramat Mulia telah disembahkan taklimat terperinci mengenai kerangka kerja bertaraf dunia di Sidra Medicine, yang menyepadukan perkhidmatan klinikal khusus, penyelidikan saintifik termaju, dan pendidikan perubatan bagi memperkukuh keupayaan penjagaan kesihatan nasional Qatar. Seterusnya, Yang Teramat Mulia telah melawat kemudahan tersebut yang termasuk Wad Kanak-kanak, Taman Pemulihan (Healing Garden) serta Wad Wanita yang dilengkapi dengan kemudahan terkini.
Lawatan-lawatan peringkat tinggi ini mengukuhkan lagi hubungan erat serta kerjasama dua hala yang semakin berkembang antara Negara Brunei Darussalam dan Negara Qatar, merangkumi sektor-sektor penting seperti pembangunan insan, kesihatan, dan kebajikan sosial.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
