DPMM berangkat melawat SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine (BD-MED)

DPMM berangkat melawat SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine (BD-MED)

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini meneruskan program rasmi sempena Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12 di Singapura.

Duli Yang Teramat Mulia memulakan program hari ini dengan melawat SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine (BD-MED) bagi meninjau kemajuan dalam penyelidikan perubatan translasi.

Duli Yang Teramat Mulia dijunjung sebaik keberangkatan tiba di Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS) oleh Tuan Yang Terutama Ong Ye Kung, Menteri Kesihatan Republik Singapura.

Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia disembahkan taklimat dan pembentangan mengenai kerjasama saintifik yang sedang dijalankan oleh institut tersebut bersama Universiti Brunei Darussalam (UBD). Bertempat di Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS), SingHealth Duke-NUS Institute of Biodiversity Medicine (BD-MED) merupakan sebuah kemudahan penyelidikan bersama yang mengkaji tumbuhan rantau ini bagi menemui rawatan perubatan baharu. Melalui makmal genomik bersama dengan UBD, institut tersebut telah berjaya memetakan genom bunga kebangsaan Negara Brunei Darussalam, iaitu bunga Simpur, bagi membuka potensi sifat anti-kanser dan penyembuhannya.

Selepas sesi pembentangan, Duli Yang Teramat Mulia berangkat melawat makmal-makmal penyelidikan dan menyaksikan demonstrasi saintifik secara langsung yang mempamerkan teknologi perubatan moden. Di makmal, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan berinteraksi dengan seorang penuntut tahun akhir jurusan Farmasi dari UBD yang sedang menjalani program ‘Discovery Year’ di BD-MED.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Berkenan melawat Temasek Shophouse

Berkenan melawat Temasek Shophouse

Mengakhiri program sebelah petang itu, Duli Yang Teramat Mulia berangkat ke Temasek Shophouse dimana keberangkatan tiba dijunjung oleh Puan Ho Ching, Pengerusi Temasek Trust. Dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Trust, lawatan berpandu tersebut mengetengahkan aspek pemeliharaan warisan, reka bentuk lestari, serta ciri-ciri impak sosial yang dipacu oleh komuniti di lokasi berkenaan.

Temasek Shophouse merupakan hab impak sosial milik Temasek Trust, iaitu cabang filantropi bagi Temasek Holdings. Bangunan tersebut menggabungkan warisan tempatan yang bersejarah dengan ruang moden bagi projek-projek komuniti, sosial, dan alam sekitar. Setelah menjalani kerja-kerja pengubahsuaian besar, hab tersebut dibuka semula pada bulan September 2025. Ia kemudiannya menambah ruang hijau terbuka baharu pada bulan Mac 2026 yang menampilkan ciri-ciri mesra alam seperti panel solar dan sistem pengumpulan air hujan.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Berkenan melawat Temasek Holdings

Berkenan melawat Temasek Holdings

Pada sebelah petang, Duli Yang Teramat Mulia berangkat ke pejabat korporat Temasek Holdings, di mana Duli Yang Teramat Mulia dialu-alukan oleh Teo Chee Hean, Pengerusi Temasek Holdings.

Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia mengadakan perjumpaan empat mata dengan Pengerusi Teo Chee Hean bagi bertukar-tukar pandangan mengenai perkara-perkara yang menjadi kepentingan bersama. Susulan perjumpaan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkesempatan mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli Temasek Holdings sebelum disembahkan taklimat yang menumpukan kepada inisiatif institusi program strategik organisasi berkenaan.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

DPMM berangkat melawat SAFTI City

DPMM berangkat melawat SAFTI City

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini meneruskan program rasmi Duli Yang Teramat Mulia sempena Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12 di Singapura.

Duli Yang Teramat Mulia memulakan program hari ini dengan keberangkatan ke SAFTI City, diikuti dengan majlis perjumpaan dengan Teo Chee Hean, Pengerusi Temasek Holdings. Mengakhiri acara hari itu, Duli Yang Teramat Mulia berangkat melawat Temasek Shophousebagi meninjau projek-projek impak sosial yang mampan dan dipacu oleh komuniti.

Semasa lawatan ke SAFTI City, Duli Yang Teramat Mulia telah disembahkan taklimat yang mengetengahkan kerjasama pertahanan yang erat dan telah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura, serta integrasi teknologi canggih dalam metodologi latihan moden. Lawatan tersebut turut menampilkan demonstrasi peralatan simulasi medan pertempuran khusus dan sistem udara tanpa pemandu (dron) generasi baharu. Bagi mengetengahkan tumpuan SAFTI City terhadap kesiapsiagaan operasi yang realistik, Duli Yang Teramat Mulia menyaksikan penggunaan peralatan instrumentasi pintar, turut mengendalikan dron, serta mengambil bahagian secara aktif dalam latihan praktikal menembak sasaran menggunakan senapang penembak tepat (sniper).

Dilancarkan pada bulan Mac 2025, SAFTI City merupakan kemudahan pintar generasi akan datang milik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk latihan operasi bandar yang realistik. Ia menyediakan persekitaran kawasan binaan bagi tujuan keselamatan dalam negeri, antipengganas, dan bantuan bencana.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Majlis Perjumpaan bersama Perdana Menteri Republik Singapura

Majlis Perjumpaan bersama Perdana Menteri Republik Singapura

Semasa majlis perjumpaan antara Duli Yang Teramat Mulia dan Perdana Menteri Republik Singapura, Singapura dan Negara Brunei Darussalam menekankan semula hubungan kukuh antara kedua buah negara serta membincangkan peristiwa penting yang bakal tiba, termasuk ulang tahun ke-50 kerjasama pertahanan dan ulang tahun ke-60 Perjanjian Pertukaran Mata Wang (CIA) pada tahun hadapan. Perbincangan turut merangkumi keberangkatan negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Singapura pada tahun 2027, yang mana Singapura akan menjadi Pengerusi ASEAN.

Kedua-dua negara sedang memajukan beberapa projek ekonomi dan sosial, dengan perjanjian bagi menjamin rantaian bekalan sedang dimuktamadkan, zon makanan agriteknologi sedang dibangunkan, dan program pensijilan makanan Halal bersama sedang diwujudkan. Kedua-dua pihak juga menyambut baik peningkatan berterusan dalam pemberian biasiswa pelajar dan program pertukaran penjawat awam yang terus memperkukuh hubungan antara kedua-dua buah negara.

Perbincangan juga menumpukan kepada aspek teknologi dan automasi, di mana Tuan Yang Terutama Perdana Menteri berkongsi pandangan mengenai usaha Singapura menguji kenderaan pandu sendiri bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja. Beralih kepada aspek keselamatan, Perdana Menteri Lawrence Wong mengetengahkan peranan penting teknologi pertahanan dan menegaskan bahawa meningkatkan keupayaan ketenteraan tanpa rangka kerja keselamatan yang mantap adalah sangat bahaya.

Menyentuh mengenai kerjasama ekonomi, Perdana Menteri Lawrence Wong menekankan kepentingan kritikal untuk memperkukuh kesalingoperasian antara Singapura dan Negara Brunei Darussalam (SG-BD). Dalam ekonomi global yang semakin berpecah, pembinaan jambatan struktur dan digital antara kedua-dua negara adalah penting untuk menjana pertumbuhan generasi akan datang serta memastikan kestabilan kewangan bersama.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Majlis Perjumpaan bersama Presiden Republik Singapura

Majlis Perjumpaan bersama Presiden Republik Singapura

Pada sebelah petang, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat ke Istana untuk majlis perjumpaan dengan Tuan Yang Terutama Tharman Shanmugaratnam, Presiden Republik Singapura. Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Tuan Yang Terutama Presiden dan menandatangani buku pelawat sebaik sahaja berangkat tiba, sebelum memulakan perbincangan dua hala yang bertujuan untuk mengukuhkan semula hubungan Kerjasama istimewa dan sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto