Majlis Santap Tengahari bersama Menteri Kanan Republik Singapura

Majlis Santap Tengahari bersama Menteri Kanan Republik Singapura

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini berkenan menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong, Menteri Kanan Republik Singapura, bertempat di Grand Hyatt.

Perjumpaan tersebut membawa makna sejarah yang istimewa, memandangkan Menteri Kanan Lee Hsien Loong merupakan individu yang bersetuju bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memulakan Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei untuk melahirkan generasi pemimpin masa hadapan. Keputusan penting ini dicapai semasa lawatan Tuan Yang Terutama ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 2012. Kini memasuki edisi ke-12, YLP terus berkembang dengan meluaskan kerjasama ke bidang-bidang baharu seperti kecerdasan buatan, ekonomi hijau, dan keselamatan makanan di bawah Zon Teknologi Agri-Makanan.

Perbincangan tersebut tertumpu kepada usaha memperkukuh keselamatan makanan di bawah Zon Makanan Teknologi Pertanian (Agri-Tech Food Zone). Bagi melindungi kedua-dua negara daripada gangguan bekalan global, Negara Brunei Darussalam mempelawa syarikat-syarikat Singapura untuk melabur di Brunei bagi tujuan penternakan ayam dan pengeluaran telur, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import jarak jauh seperti dari Poland dan Ukraine. Negara Brunei Darussalam turut mengetengahkan projek akuakultur bersama bagi menternak ikan siakap (Barramundi) yang tahan penyakit.

Di akhir Majlis, Duli Yang Teramat Mulia memuji kejayaan berterusan Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei sejak ia dimulakan semasa tempoh perkhidmatan Tuan Yang Terutama sebagai Perdana Menteri Republik Singapura, sambil menekankan peranan unik program itu dalam menghubungkan pemimpin generasi akan datang demi memelihara ikatan bersejarah yang telah dimulakan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien III dan mendiang Perdana Menteri, Lee Kuan Yew.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Berangkat tiba di Republik Singapura

Berangkat tiba di Republik Singapura

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri hari ini berkenan berangkat ke Republik Singapura bagi Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapore-Brunei ke-12 yang diadakan bermula 28 September hingga 2 Oktober 2026.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Republik Singapura dijunjung oleh Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam dan Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan selaku Menteri Pengiring Singapura; dan Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam.

Juga berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi ialah Puan Yang Terutama Noor Qamar binti Haji Sulaiman, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Berkenan berangkat ke Republik Singapura hadiri YLP Ke-12

Berkenan berangkat ke Republik Singapura hadiri YLP Ke-12

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri hari ini berkenan berangkat ke Republik Singapura bagi Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapore-Brunei ke-12 yang diadakan bermula 28 September hingga 2 Oktober 2026.

Berangkat ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri.

Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.

Turut berangkat dan hadir ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria; Menteri-Menteri Kabinet; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; serta Setiausaha-Setiausaha Tetap daripada Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; dan Kementerian Pendidikan.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Berkenan berangkat meninggalkan Australia

Berkenan berangkat meninggalkan Australia

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berangkat meninggalkan Australia setelah menamatkan Lawatan Rasmi selama empat (4) hari ke mulai hari Rabu, 12 Ogos 2026 atas undangan The Honourable
Richard Marles MP, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Australia.

Berangkat mengiringi Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.

Sebelum berangkat meninggalkan Sydney, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Abdul Hamid.

Hadir di Lapangan Terbang Sydney bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Mejar Jeneral (Bersara) Andrew Freeman, Strategic Advisor for Defence and Security; dan Tuan Yang
Terutama Michael Hoy, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam.

Juga hadir ialah Puan Yang Terutama Dayangku Nooraslena binti Pengiran Dato Paduka Haji Sallehuddin, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Australia.

Sumber berita Jabatan Penerangan
Sumber foto Infofoto

Berkenan meninjau HMAS Yarra, Holsworthy Barracks

Berkenan meninjau HMAS Yarra, Holsworthy Barracks

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri meneruskan lagi Lawatan Rasmi ke Australia dengan berangkat membuat tinjauan ke His Majesty’s Australian Ship (HMAS) Yarra serta Holsworthy Barracks, petang tadi.

Semasa tinjauan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berangkat ke HMAS Waterhen untuk membuat tinjauan ke HMAS Yarra yang merupakan sebuah kapal pesisir pemburu periuk api yang penting dalam strategi pertahanan Australia.

Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan berangkat melawat Holsworthy Barracks dan menyaksikan beberapa demonstrasi special forces.

Sumber berita Jabatan Penerangan
Sumber foto Infofoto

Berangkat melawat Western Sydney University Agritech Precinct

Berangkat melawat Western Sydney University Agritech Precinct

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri meneruskan Lawatan Rasmi ke Australia, hari ini, dengan berangkat melawat ke Western Sydney University Agritech Precinct dan tinjauan ke His Majesty’s Australian Ship (HMAS) Yarra serta Holsworthy Barracks.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah mula-mula mengadakan lawatan ke Western Sydney University Agritech Precinct di Hawkesbury Campus bagi demonstrasi agritech.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Deputy Vice – Chancellor, Western Sydney University, Profesor Ian Anderson dan Pengarah Hawkesbury Institute for the Environment, Profesor Mark Tjoelker.

Kemudian, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat melawat Smart Glasshouse dan mendengar sembah penerangan daripada Profesor Mark Tjoelker mengenai fungsi Smart Glasshouse dalam menjamin keselamatan makanan melalui penggunaan teknologi terkini (agritech) dan menjana peluang kerjasama serantau serta menyaksikan demonstrasi penggunaan teknologi agritech termasuk tunjuk cara robotik.

Semasa keberangkatan tersebut, DYTM berkenan berinteraksi bersama dua penuntut Western Sydney University.

Sumber berita Jabatan Penerangan
Sumber foto Infofoto