Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-33, Tahun 2017

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DA​N YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA 
SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KALI KE-33, TAHUN 2017
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Marilah kita merafa’kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat menyambut Hari Kebangsaan Yang Ke-33 pada tahun ini dalam keadaan aman dan makmur.
Pada tahun ini kita menyambutnya dengan tema “Menjayakan Wawasan Negara”. Tema ini sangatlah bersesuaian setelah tiga tahun berturut-turut kita memakai tema 
“Generasi Berwawasan.”
Wawasan Brunei 2035 telah menetapkan Tiga Matlamat Utamanya. 
Bagi merealisasikan matlamat ini, Beta telahpun memperkenankan Kerangka Kerja, yang antaralain, menggariskan bidang-bidang utama yang perlu diberikan perhatian serta ke arah pencapaian hasil-hasil yang perlu dicapai. Peneraju-peneraju bagi setiap strategi juga telah dilantik. 
Kita tidaklah wajar membiarkan Wawasan ini sebagai satu retorik intelektual semata-mata, yang cuma indah dalam sebutan. Tetapi kita mesti melaksanakannya dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh. Kita perlu bertindak lebih tangkas bagi menghasilkan impak yang tinggi yang boleh menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara.
Untuk ini semua, kita diperlukan terlebih dahulu, untuk bersatupadu. Jangan berpecah-belah. Pastikan, semua usaha yang dibuat adalah secara muafakat, relevan dan menepati peredaran masa. Inilah rahasia atau kunci kejayaan bagi Wawasan Negara 2035. 
Ini, meliputi untuk semua, sama ada sektor kerajaan mahupun swasta adalah mustahak untuk memupuk kerjasama dan persefahaman, dalam makna, semua kita adalah dikehendaki untuk bekerja dalam suatu pasukan tanpa melakukan perkara-perkara yang menyalahi peraturan atau undang-undang. 
Walaupun kita sudah memiliki infrastuktur, teknologi, peralatan, mekanisme dan sistem yang baik, namun jika ‘dalaman’ kita tidak baik, maka hasilnya tetap tidak baik juga. Misalnya apabila di dalam kerajaan terdapat mekanisme yang ‘korup’, maka sekalipun ianya dari kalangan ilmuan dan mempunyai kemahiran tinggi, namun sikapnya yang ‘korup’ itu tidak akan menolong untuk membawa kebaikan, malah sebaliknya menjerumuskan negara kepada keburukan.
Inilah yang perlu kita kawal untuk menggelakan negara dari mengalami perkara-perkara yang tidak diingini. 
Kita sudah melihat atau mendengar, banyak kejadian yang tidak diingini berlaku di mana-mana, seperti amalan-amalan pecah amanah, rasuah dan lain-lain. Kita juga turut mengetahui, bahawa tempat-tempat yang dilanda oleh gejala-gejala seperti ini tidak sunyi dari mengalami pelbagai kesusahan. Oleh itu, dalam hubungan ini, Brunei mestilah selalu waspada, sambil mengambil iktibar daripadanya. 
Pengisian sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, eloklah lebih menekankan kepada pembentukan sifat-sifat dalaman yang sihat, seperti jujur, amanah dan setia. Tanpa semua sifat-sifat ini, jentera kehidupan atau jentera pentadbiran tidak akan dapat berjalan baik, bahkan sebaliknya boleh bermasalah dan lemah. 
Semua program adalah wajar bersifat ilmiah dan bercorak inklusif serta mampu untuk merentasi semua generasi. Tujuan kita dengan ini, ialah supaya semua peringkat, secara sambung bersambung, akan dapat memahami erti sebenar kemerdekaan.
Maka dengan itu, barulah nanti akan dapat diharapkan semua pihak, khasnya para generasi yang menyusul kemudian, akan benar-benar terikat kepada menghargai dan menyayangi kemerdekaan.
 
Sayugia diingat, bahawa kemerdekaan adalah sebahagian dari sejarah bangsa, dan malah merupakan ‘mahkota’ bangsa. Mencuaikan kemerdekaan bermakna mencuaikan sejarah, serta sekali gus ‘menyambaranakan’ mahkota bangsa.
Akhirnya, Beta dengan ikhlas merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi serta ahli-ahli Jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-33 pada tahun ini.
Beta juga merakamkan ucapan penghargaan kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini termasuk semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, meliputi juga mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iriringan doa, semoga kita dan negara akan sentiasa terpelihara dan mendapat perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Polis Kali Ke-96 Tahun 2017

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM
SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA SAMBUTAN HARI POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KALI KE-96 TAHUN 2017
Syukur Alhamdulillah, Pasukan Polis Diraja Brunei kini, telah genap 96 tahun usia penubuhannya. Ini memberi makna Pasukan Polis Diraja Brunei telah cukup matang untuk menghadapi apa saja cabaran.
Memang Pasukan Polis Diraja Brunei sarat dengan cabaran, terutama dari gelombang globlisasi dan dunia tanpa sempadan.
Kerana itu, Pasukan Polis Diraja Brunei perlu meningkatkan daya usaha dalam menguatkuasakan undang-undang. Peranannya sangat besar untuk kestabilan, keamanan dan keselamatan negara. 
Maka untuk itu, Pasukan Polis Diraja Brunei, perlu mengemaskan organisasinya, di samping aktif melakukan perubahan-perubahan yang diperlukan. Perubahan-perubahan tersebut termasuk kearah memperkaya minda dan memantapkan etika, selaku pihak penguatkuasa undang-undang.
Di sini, kita juga jangan lupa untuk meningkatkan perkhidmatan berdisiplin, berintegreti, telus dan berkualiti, sesuai dengan cabaran-cabaran yang sering dihadapi.
Soal integreti dan etika ini memang sangat diperlukan, kerana ia berhubung rapat dengan kerja-kerja kepolisan dan juga menjadi pra-syarat dalam perkhidmatan. Ianya penting, sebagai jaminan untuk menentukan perkhidmatan oleh pasukan kepada stakeholders atau masyarakat adalah cemerlang.
Sudah sampai masanya, dasar Etika Polis atau Police Ethics diresapkan dalam pentadbiran Pasukan. Dengan adanya ini, Beta percaya, akan dapat mengelakkan perkhidmatan lemah, tidak amanah, kurang dipercayai dan mana-mana juga elemen negatif yang dapat memudaratkan organisasi Pasukan.
Pasukan perlu mempunyai etika kerjanya yang jelas, untuk membolehkan perlaksanaan tugas secara kerja keras, cerdas, ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan dari pekerjaan yang dilakukan. Seseorang yang memiliki etika kerja yang sihat, mampu untuk bekerjasama secara sihat pula, tanpa membeza-beza status sosial dan bangsa, serta pandai menghormati orang lain.
Jika ini dikuatkan, Pasukan pasti akan bertambah kuat dan akan lebih-lebih lagi mendapat kepercayaan daripada masyarakat. Apabila wujud kepercayaan dipihak masyarakat, bererti kerjasama diantara pihak Pasukan dan orang ramai, akan lebih mudah terjalin. Ini juga dengan sendirinya menjadi pemangkin kepada perpaduan dan keharmonian yang sebenar-benarnya.
Untuk membantu menjayakan kerja-kerja kepolisan, maka komitmen orang ramai memang diperlukan. Namun ini, bukan bermakna pihak Pasukan hanya tahu menunggu atau terlalu bergantung kepada orang ramai. Ini kalau berlaku, sudah tentu akan menjadikan Pasukan lemah.
Kita tidak mahu Pasukan lemah. Jika Pasukan lemah, pintu jenayah akan sukar untuk ditutup, dan jika pintu jenayah tidak dapat ditutup, maka jenayahpun mudah berkembang, sementara negara, tidak akan mampu membenterasnya kerana mekanisme keselamatan adalah lemah.
Kuasai teknik dan cara bertindak, terutama cara mencegah dan menyiasat, bukan hanya setakat merekod berapa banyak kes jenayah, tetapi kurang berhasil menyelesaikannya.
Secara semula jadi, jenayah adalah merupakan satu fenomena yang kompleks. Ia mesti dibenteras. Tidak ada kompromi baginya.
Jenayah bukan saja menjadi ancaman kepada individu, malah juga kepada negara keseluruhannya. Kerana itu Pasukan Polis Diraja Brunei perlu mempertingkatkan kapasiti dan kapabilitinya, setanding dengan pasukan-pasukan yang cemerlang di dunia.
Akhir kata, Beta ingin mengingatkan, supaya Pasukan Polis Diraja Brunei tidak hanya tahan-tahan ditahap yang ada, tetapi mesti berubah dan mencari jalan kearah yang lebih baik lagi. Tingkatkan integreti dan kewibawaan dalam perkhidmatan, supaya mampu untuk menangani pelbagai isu dan cabaran.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-15 Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL
KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE-15 SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI


PADA HARI KHAMIS
21HB. RABIULAKHIR, 1438
19HB. JANUARI, 2017


BERTEMPAT
PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
KAMPUNG TANAH JAMBU


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillaahir Rahmaanir Raheem.

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas segala limpah rahmat-Nya, sehingga kita dapat bersama-sama hadir pada pagi ini bagi menyaksikan Upacara
Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-15, Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.


Beta dengan amat sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada 29 orang Pegawai Kadet yang telah berjaya menamatkan latihan dengan mempamerkan pertunjukan perbarisan yang sangat baik. Syabas juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat, terutama para ibu bapa dan kaum keluarga di atas sokongan padu mereka kepada Pegawai-Pegawai berkenaan pada sepanjang latihan selama 52 minggu.


Pada pengambilan kali ini, Beta difahamkan, di antara mereka yang akan menerima tauliah adalah 2 orang Pegawai Kadet pemegang biasiswa, Pemerintah Tertinggi dan seorang pemegang biasiswa, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.


Sejak sekolah Pegawai Kadet ditubuhkan pada tahun 2008, ia telah berjaya menghasilkan seramai 336 Pegawai Tentera yang berkaliber. Ini adalah amat membanggakan, dan sekarang, terdapat di antara mereka yang telah menjadi jurulatih di Akademi Pertahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, khasnya di Sekolah Pegawai Kadet sendiri.

Seterusnya, beberapa orang pegawai wanita lepasan Sekolah Pegawai Kadet, juga telah berjaya menerokai bidang kerjaya yang sebelum ini hanya terhad kepada pegawai lelaki sahaja, misalnya juruterbang tentera wanita, dan baru-baru ini, seorang nakhoda wanita untuk Kapal Diraja Brunei.


Manakala di arena antarabangsa pula, sebahagian mereka jua pernah atau masih mengikuti misi
United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL), Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao, Republik Filipina, dan sebagai Pegawai Perhubungan Antarabangsa di
Information Fusion Centre, Republik Singapura.

Beta sangat berbangga dengan pencapaian-pencapaian ini.

Dalam melahirkan barisan pemimpin yang kompeten dan berwibawa, Beta menyeru supaya ditingkatkan lagi standard latihan, sambil menerapkan nilai-nilai kepimpinan mengikut ajaran Islam dan falsafah Melayu Islam Beraja.


Kerjasama latihan di antara Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan sekolah-sekolah pegawai kadet luar negara juga adalah berguna. Latihan dua hala di peringkat awal dengan angkatan-angkatan tentera negara sahabat, terutama di kalangan negara-negara ASEAN, adalah mampu untuk mengukuhkan lagi platform Diplomasi Pertahanan. Langkah seperti ini penting, dalam usaha, untuk mencapai keselamatan dan kestabilan serantau dan antarabangsa.


Demi kepentingan masa depan, Beta berharap Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus melahirkan pemimpin-pemimpin tentera yang berjaya, bukan sahaja dalam bidang kerjaya biasa, malahan juga mempunyai kepakaran dan kebijaksanaan, dalam mengatur dan membentuk strategi yang diperlukan.


Inilah kewajipan utama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, selaku tonggak pertahanan negara.


Akhir kata, Beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, khususnya, Komandan Akademi Pertahanan, Pegawai Pemerintah Sekolah Pegawai Kader, ‘Colour Sergeants’ dan Pegawai-Pegawai serta semua jurulatih yang telah bertungkus lumus melatih dan mendidik Pegawai-Pegawai Kadet sehingga ke peringkat ini.


Maka, dengan merafa’kan syukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wata’ala dan berkah kalimah
Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan sukacita mengurniakan tauliah sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada 29 orang Pegawai Kadet Pengambilan Ke-15.


Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Menyambut Awal Tahun Baru Masihi 2017

TITAH​

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA 
MENYAMBUT AWAL TAHUN BARU MASIHI 2017

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan izin-Nya jua, kita kini sedang melangkah ke ambang Tahun Baru Masihi 2017.

Kita akan meninggalkan Tahun 2016 dengan seribu kenangan, di antaranya ialah kenangan manis menikmati keamanan dan kemakmuran di negara yang bertuah ini. Maka untuk itu, marilah kita sama-sama merafa'kan syukur serta do'a, semoga keadaan yang seperti ini akan dapat pula dinikmati dalam tahun 2017.

Keamanan adalah penting, kerana tanpa keamanan, pembangunan tidak akan dapat dilaksanakan. Oleh itu, rukun keamanan, mustahaklah dipelihara dan diamalkan, iaitu memegang kuat ajaran ugama, mematuhi undang-undang serta hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu. Inilah rahsia keamanan itu.

Namun perlu diingat, anasir-anasir anti keamanan dan ketenteraman tidak pernah lupa untuk mengeruhkan keadaan. Mereka tidak pernah sealiran tujuan dengan kita. Kerana itu kita perlu berhati-hati terhadap mereka itu.

Ini adalah tanggungjawab besar semua pihak, terutama, siapa yang secara khusus ada berkaitan dengan keselamatan.

Usaha-usaha juga perlu diambil untuk menghadapi ancaman yang datangnya daripada dunia siber dan media sosial, termasuk juga untuk memperkukuh lagi perkongsian strategik dengan institusi-institusi keselamatan siber antarabangsa.

Dari sudut ekonomi, dunia kita masih saja mengalami keadaan ekonomi tidak menentu. Namun kita bersyukur, dengan langkah-langkah pembaharuan yang diambil serta pendekatan 'whole-of-nation', maka dapatlah kita menyaksikan peningkatan kedudukan negara dalam 'ease of doing business', sebagaimana laporan oleh Bank Dunia.

Pencapaian ini terhasil daripada komitmen dan kerjasama erat diantara agensi-agensi kerajaan dan lain-lain pihak yang berkepentingan. Namun kita tidak wajar untuk cepat berpuas hati, tetapi sebaliknya perlu aktif dan lebih tinggi semangat pada meningkatkan lagi pencapaian tersebut.

Seperti yang berlaku di mana-mana, kita juga adalah mempelawa pelabur-pelabur langsung asing untuk melabur di negara ini. Pada setakat ini alhamdulillah, beberapa Pelaburan Langsung Asing (FDI) telah pun mula bertapak di negara ini, manakala pelbagai program dan inisiatif juga ada dirancang dan dilaksanakan bagi membantu golongan peniaga dan pengusaha tempatan, terutama Pengusaha Mikro Kecil dan Sederhana atau MSME. Ini adalah satu harapan, bahawa ekonomi negara sedang dipacu, untuk menjadikannya berdaya tahan.

Beralih kepada Perkhidmatan Awam di negara ini, Beta ingin melihat ianya terus meningkat dan produktif. Beta percaya masih banyak lagi yang boleh diperbaiki, terutama mengenai penerapan nilai-nilai utama dalam Perkhidmatan Awam. Beta mahu supaya jentera kerajaan kaya dengan disiplin dan kaya dengan amanah dalam menjalankan tugas, sebagai cara untuk kita meraih berkat dalam perkhidmatan.

Di bidang pendidikan, usaha adalah sedang dibuat untuk memperluaskan saliran pendidikan di samping mempertingkatkan kualiti bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

Keutamaan ialah memperkasa kualiti guru untuk menjadikan mereka itu individu-individu pendidik yang berprestasi tinggi.

Di arena antarabangsa, kita akan sentiasa memainkan peranan positif ke arah kesejahteraan dan keamanan serantau mahupun global. Secara jujur, kita mengharapkan supaya ASEAN akan terus kekal menjadi pertubuhan serantau yang sentiasa dihormati kerana prinsip-prinsipnya yang jelas untuk kebajikan. Pada tahun 2017 ini, kita akan merayakan ulang tahun ASEAN ke-50. Adalah diharapkan supaya kerjasama yang baik akan terus berlangsung diantara negara-negara ahli ASEAN, demi untuk kepentingan Wawasan Komuniti ASEAN 2025.

Menjelang tahun 2017 ini, akan berlaku satu lagi sejarah, apabila Insya Allah, negara akan merayakan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Beta menaiki takhta. Sambutan ini sangat besar ertinya, sebagai cara, untuk kita menghargai sejarah.

Dalam perayaan yang dirancang, Beta berharap semua pihak akan mengamalkan sifat bersederhana. Apa yang penting ialah perayaan atau sambutan sebagai sifatnya 'petanda' bagi sejarah. Sejarah adalah 'lidah' zaman, yang akan berkata-kata kepada generasi demi generasi tanpa pernah mengenal penat atau bosan. Itulah harga sejarah.

Sifat sederhana di sini, termasuk memberi keutamaan apa yang utama. Namun, bukanlah menjadi tujuan kita untuk menyempitkan wawasan bagi masa depan yang panjang.

Untuk akhirnya, bersempena dengan tahun baru ini, Beta ingin mengabadikan harapan supaya rakyat dan penduduk di negara ini menguatkan azam dan usaha ke arah menjadikan diri masing-masing lebih proaktif, kreatif dan berintegriti dalam menghadapi segala cabaran.

Beta juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan dan sektor swasta di atas usaha ikhlas mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing pada sepanjang tahun 2016.

Beta dan keluarga Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masihi 2017 kepada seluruh rakyat dan penduduk. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala melimpahkan rahmat-Nya berupa hidayat, kesihatan, keamanan dan kemakmuran kepada kita semua dan negara.

Sekian, Wabillhit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Semasa Majlis Bersama Rakyat Dan Penduduk NBD Di UK Dan Ireland

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMASA MAJLIS BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG BERADA DI UNITED KINGDOM DAN IRELAND 

BAGI TAHUN 1438H / 2016M
KHAMIS, 22 RABIULAWAL 1438

BERSAMAAN DENGAN 22 DISEMBER 2016

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat lagi bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, terutama para penuntut, pegawai kerajaan dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Melalui majlis ini, dapatlah Beta mengetahui lebih dekat lagi akan perkembangan para pelajar di sini, serta juga membolehkan Beta untuk mendengar daripada mereka apa-apa yang mustahak jika ada.

Beta tahu, para pelajar, disamping sibuk dengan pengajian, ada juga yang mempunyai kecenderungan-kecenderungan lain sebagai kegiatan sampingan, seperti kegiatan melayari internet atau kegiatan berjalan dan melancong semasa percutian atau kegiatan menyertai perkumpulan-perkumpulan atas nama ‘ugama’ dan lain-lain.

Melayari internet kerana tugas atau untuk mendapatkan maklumat yang betul, adalah ia satu kerja bermanfa’at. Tetapi jika digunakan sebaliknya, risikonya adalah buruk.

Begitu juga melancong, jika tujuannya baik untuk sesuatu yang berfaedah, maka natijahnya adalah baik. Berbeza jika sebaliknya, maka akibatnya, cuma akan membuang masa dan wang sahaja.

Kemudian kegiatan berkumpul atas nama ugama. Tidak siapapun yang boleh mengatakan ini tidak baik, kerana sifat ugama itu adalah luhur dan suci. Namun, bukan tidak pernah berlaku orang berkumpul atas nama ugama atau dengan nama-nama lain yang ada kaitan dengan ugama, seperti menggunakan nama Al-Qur’an, atau Perkumpulan Al-Qur’an, atau nama Usrah, atau nama Pemuda Iman, atau nama Belia Da’ie dan seumpamanya. Tetapi ‘cara’ mereka itu tidak betul dan boleh diragui.

Ada bukti perkara ini sudah lama berlaku. Mereka berkumpul dalam kumpulan-kumpulan tertentu dan bergerak dari rumah ke rumah sesama mereka sahaja, dengan pengisian membaca kitab tertentu atau bertadabbur Al-Qur’an, iaitu membaca ayat-ayat serta memahami maksudnya dan kemudian menerangkan kepada ahli-ahli menurut fahaman sendiri-sendiri.

Di samping itu, mereka juga mengadakan program Qiyam Al-Lail dan berkhemah di satu-satu tempat dengan aktiviti-aktiviti tertentu.

Kumpulan ini turut dianggotai oleh orang-orang terpelajar, malah mereka yang berjawatan dalam kerajaan dan termasuk juga ahli akademik dan profesional.

Sekali sekala akan terdengar, mereka itu berpendirian lain dari kita. Mereka menolak tahlil dan menolak perayaan menyambut Maulid Ar-Rasul dengan melabelnya sebagai bid’ah yang buruk. Tetapi mereka bersikap tidak mahu bising untuk menonjolkan pendirian mereka ini, sama halnya, kalau berkumpul, mereka akan berkumpul hanya sesama mereka sahaja secara senyap-senyap.

Mengapakah mesti begitu? Mungkin saja, ada sesuatu yang ingin disembunyikan. Sedangkan, jika ajaran Islam sebenar, bukanlah ia ditapok, tetapi mustahak dizahirkan sebagai syi’ar.

Di sini, ingin Beta mengambil kesempatan untuk mengingatkan para pelajar khasnya, supaya jangan terbawa-bawa untuk menyertai kumpulan-kumpulan yang tidak tentu hujung pangkal, lebih-lebih lagi jika kumpulan tersebut diketahui membawa pendirian yang berbeza dengan pendirian kerajaan.

Beta memahami, golongan yang biasa menjadi sasaran kepada pihak-pihak pemisung ugama ini ialah kaum pelajar, khasnya mereka yang sedang menuntut di luar negara. Mereka ini apabila tamat pengajian kelak, akan digalakkan pula untuk jadi penggiat aktif dalam negara.

Oleh itu, kaum pelajar sayugia berhati-hati untuk tidak terjebak ke dalam sebarang perangkap yang tidak diingini. Tugas utama mereka ialah semata-mata belajar sehingga mencapai kejayaan.

Kepada pihak-pihak berkenaan dalam kerajaan pula, Beta menghendaki supaya mereka tidak berdiam diri atau menganggap ringan sahaja perkembangan-perkembangan yang berlaku di dalam negara, terutama dalam perkara yang berkaitan undang-undang dan ugama serta keselamatan.

Juga turut penting di sini ialah peranan ibu-bapa. Ibu bapa adalah berkewajipan terhadap anak-anak. Pastikan anak-anak itu siapa mereka. Ke mana mereka selalu pergi keluar rumah dan apa tujuan?, lebih-lebih lagi jika anak-anak itu sudah mempunyai kelulusan dan pekerjaan.

Mereka sering-sering saja keluar rumah dan balik sampai jauh-jauh malam, namun tidak pernah ditanya, sehingga di luar pengetahuan ibu bapa, rupa-rupanya anak-anak itu adalah penggiat di dalam perkumpulan yang menyalahi undang-undang dan ugama.

Demikian sedikit peringatan daripada Beta.

Sekian, Wabillhit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.