Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup

Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup

Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD) Kampung Manggis/Madang mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Khatam Al-Quran dan diselajurkan dengan Penyampaian Derma Anak-anak Yatim serta Majlis Doa Kesyukuran sempena siapnya pintu utama serta pintu-pintu tepi masjid berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, yang juga selaku Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD.

Turut hadir, Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin, penasihat-penasihat, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, jemaah-jemaah masjid serta anak-anak yatim dari Kampung Manggis dan Kampung Madang.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah, dan diteruskan dengan Ceramah Khas sempena Sambutan Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Harapandi Dahri.

Ceramah berkenaan antara lain menyentuh mengenai kepentingan menghayati peristiwa Nuzul Al-Quran sebagai titik permulaan penurunan wahyu kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta peranan umat Islam dalam menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang didahului oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran beramai-ramai oleh para peserta khatam serta bacaan takhtim dan tahlil.

Bacaan tahlil pada majlis berkenaan khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.

Bacaan Doa Khatam pula dipimpin oleh Pegawai Masjid, Awang Razman bin Haji Ramlee, diikuti dengan Dikir Marhaban.

Majlis kemudian disusuli dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan yang dipimpin oleh Imam Masjid SSBRPAD, Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani.

Pada majlis berkenaan, tetamu kehormat majlis turut menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada seramai 18 anak yatim yang terdiri daripada penduduk Kampung Manggis dan Kampung Madang.

Majlis diakhiri dengan berbuka puasa serta Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.

Penganjuran majlis berkenaan diharap dapat memperkukuh lagi penghayatan terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat di samping menyemarakkan aktiviti keagamaan di masjid serta memupuk semangat kebersamaan dan kepedulian terhadap golongan yang memerlukan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

 

Kebawah DYMM akan menjalani rawatan kesihatan

Kebawah DYMM akan menjalani rawatan kesihatan

 Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, satu pengumuman khas dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah disiarkan pada hari ini. 

Pengumuman Khas berkenaan dimulakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof yang memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan menjalani rawatan kesihatan yang telah dirancang awal di Jerudong Park Medical Centre pada Ahad, 28 Rejab 1447 Hijrah bersamaan 18 Januari 2026 Masihi. 

Di samping itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, telah memaklumkan bahawa rawatan berkenaan adalah prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan ataupun ‘right total knee replacement’ bagi mengembalikan fungsi lutut, meningkatkan mobiliti (pergerakan) dan memberikan keselesaan serta manfaat kepada kesihatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia. 

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, pembedahan berkenaan akan diketuai oleh Pakar Bedah Ortopedik dari Amerika Syarikat, Profesor Andrew Freiberg, yang berpengalaman dalam pembedahan penggantian dan rekonstruktif sendi. Setelah pembedahan, tempoh pemulihan dijangka akan mengambil masa dua ke tiga bulan termasuk sesi fisioterapi. 

Sementara itu, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II juga memaklumkan bahawa dalam tempoh menjalani rawatan berkenaan, Kebawah DYMM akan bersemayam dan beristirahat, dan keberangkatan baginda dalam majlis-majlis kenegaraan dan rasmi adalah terhad buat sementara waktu. Walau bagaimanapun, baginda akan terus menjalankan tugas-tugas rasmi dalam tempoh berkenaan. 

Oleh yang demikian, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk sama-sama mendoakan agar prosedur rawatan baginda berjalan dengan lancar dan seterusnya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala bagi mengurniakan kesembuhan yang segera, kesihatan yang sempurna, dan keafiatan yang berpanjangan kepada raja ‘kitani’ yang dikasihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Tambah Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II lagi, JPM dan pihak-pihak tertentu akan terus memaklumkan keadaan kesihatan Kebawah DYMM setelah pembedahan berkenaan dari semasa ke semasa. 

Dalam mengakhiri Pengumuman Khas berkenaan, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II merafakkan doa semoga Allah Subhanahu Wata’ala memperkenankan doa seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Amin Ya Rabbal Alamin. 

Sumber berita Pelita Brunei

 

 

 

 

Kongsi perkembangan terkini dasar, inisiatif JPM

Kongsi perkembangan terkini dasar, inisiatif JPM

Sesi Muzakarah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 2026 telah diadakan pada hari ini di Bangunan JPM.

Sesi muzakarah berkenaan dipengerusikan bersama oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Sementara, rombongan Ahli-ahli MMN diketuai oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.

Turut hadir, Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib; Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kanan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sesi muzakarah bertujuan memperkukuh pertukaran pandangan dan perbincangan secara konstruktif antara pihak kerajaan dan Ahli-ahli MMN, selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 2025 bagi meningkatkan keberkesanan perbahasan serta pelaksanaan dasar negara.

Antara perkara utama yang dikongsikan adalah perkembangan terkini dasar dan inisiatif di JPM, merangkumi perkembangan Wawasan Brunei 2035, pembangunan tenaga manusia dan pekerjaan, sekuriti dan undang-undang, urus tadbir Perkhidmatan Awam (PA), sektor media serta sektor tenaga.

Perkongsian berkenaan menekankan pencapaian semasa, inisiatif strategik dan langkah penambahbaikan berterusan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara secara inklusif dan mampan.

Berhubung Wawasan Brunei 2035, perkongsian menggariskan pencapaian semasa Pengukur Aspirasi Wawasan Brunei 2035 dan penekanan terhadap kepentingan penglibatan inklusif dan kerjasama berterusan melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation bagi memastikan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 memberi impak langsung terhadap pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara berdaya tahan dan inklusif.

Daripada aspek pembangunan tenaga manusia dan pekerjaan pula, pengangguran ditangani melalui usaha penyediaan peluang pekerjaan khususnya bagi rakyat tempatan, hasil daripada pelaksanaan program-program peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran, termasuk melalui Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPTMP).

Manakala, dalam bidang sekuriti dan undang-undang pula, usaha kerajaan dalam memelihara keselamatan negara terus diperkukuh melalui penguatkuasaan undang-undang, akses kepada keadilan serta kerjasama perundangan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Seterusnya, perkongsian memfokuskan terhadap transformasi PA melalui penambahbaikan dasar, pembangunan kepimpinan serta pendigitalan perkhidmatan bagi meningkatkan kecekapan dan kedayatahanan penyampaian perkhidmatan berteraskan rakyat (citizen-centric).

Peranan sektor media sebagai saluran utama penyampaian maklumat rasmi dan pengukuhan kepercayaan rakyat turut diberi penekanan.

Dalam sektor tenaga pula, usaha berterusan dilaksanakan bagi memastikan keterjaminan bekalan, mendukung kestabilan ekonomi, perlindungan pekerjaan tempatan serta peralihan berperingkat ke arah tenaga boleh diperbaharui.

Ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, serta Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II diikuti dengan ucapan balas daripada Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa dan disusuli dengan sesi perbincangan di antara Yang Berhormat Ahli-ahli MMN dan pihak JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sesi muzakarah mencerminkan komitmen berterusan JPM untuk bekerjasama rapat dengan Ahli-ahli MMN melalui pendekatan Whole of Nation dalam memajukan agenda pembangunan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam

Sumber berita Pelita Brunei

 

 

 

Hubungan diplomatik NBD, Qatar diperkukuh melalui kerjasama dua hala

Hubungan diplomatik NBD, Qatar diperkukuh melalui kerjasama dua hala

Kedutaan Qatar di Negara Brunei Darussalam meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Qatar pada Majlis Resepsi yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Tarindak d’Polo, Jerudong.

Hadir mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan isteri, Pengiran Datin Hajah Noor Yashimah binti Pengiran Anak Haji Hashim.

Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Allah Peliharakan Sultan diikuti dengan Lagu Kebangsaan Qatar dan diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Haji Mohammad bin Ali.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II dan Datin seterusnya dijunjung bagi memotong kek sempena Hari Kebangsaan Qatar bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Qatar ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abdulla Hamad Ali Al-Adham Al-Marri.

Hubungan diplomatik Negara Brunei Darussalam dan Qatar telah mencapai kemajuan besar dalam hubungan dua hala yang diperkukuhkan dengan beberapa persetujuan dan memorandum persefahaman bagi menguatkan dan mengembangkan lagi kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang.

Pada tahun ini, hubungan diplomatik Negara Brunei Darussalam dan Qatar telah menandakan lebih daripada tiga dekad hubungan diplomatik susulan terjalinnya hubungan pada 2 Oktober 1991.

Baru-baru ini, kedua-dua pihak telah meningkatkan kerjasama dalam pendidikan, teknologi, budaya dan pelaburan, mencerminkan kekuatan dan janji masa depan hubungan dua hala.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

15th APEC Energy Ministerial Meeting

15th APEC Energy Ministerial Meeting

15th APEC Energy Ministerial Meeting

Energy transition, in Brunei Darussalam’s context, goes beyond adding renewables. It is about the responsible and strategic integration of traditional oil and gas with cleaner energy sources to sustain economic growth, safeguard energy security, and fulfil climate commitments. This was stressed upon by the Minister at the Prime Minister’s Office and Second Minister of Defence at the opening of the 15th Asia-Pacific Economic Cooperation Energy Ministerial Meeting, APEC EMM, which took place in Busan, Republic of Korea on the 27th and 28th of August. Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Retired Major General Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof also explained, this balanced approach reflects Brunei’s unique energy landscape and its determination to transition towards a low-carbon future. As part of this effort, the country is targeting a 30 per cent renewable share in total power generation capacity by 2035 and is advancing the development of its largest solar photovoltaic project – a 30 Megawatt plant slated for completion by 2026.

The Minister at the Prime Minister’s Office and Second Minister of 
Defence in the second thematic session of the meeting highlighted that a modern, resilient, and flexible power grid is fundamental to energy security and a successful energy transition. Also underscored was the need for coordinated policies, infrastructure upgrades, and enabling environments for public- private collaboration to address challenges such as increasing demand, renewable intermittency, and aging grid systems. The 15th APEC EMM endorsed Joint Ministerial Statement was part of this year’s deliverables.

News courtesy of Radio Television Brunei