TITAH PERUTUSAN
BAGI TAHUN 1443H/2022M
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Sayugia kemerdekaan itu, wajar dipelihara oleh sekalian rakyat dan penduduk dengan semangat patriotik yang tinggi, selaku warisan berharga yang berhak dinikmati oleh generasi demi generasi.
Selama Tiga Puluh Lapan Tahun negara merdeka, pelbagai cabaran telah kita alami. Namun alhamdulillah, jentera pembangunan tetap terus berfungsi menghasilkan perkembangan dan kemajuan didalam pelbagai bidang. Diantara pencapaian terpenting, Kerajaan Beta berupaya untuk melaksanakan Projek Perumahan Negara untuk kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat.
Turut amat ketara juga ialah, terbinanya Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang menghubungkan Daerah Brunei dan Muara dengan Daerah Temburong. Dengan terbinanya Jambatan ini, banyaklah manfa’at dapat diraih. Selain untuk kemudahan perhubungan, ia juga mengilhami kita untuk segera bergerak kehadapan menjana kemajuan. Diantaranya sekarang, Negara telah menubuhkan Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (AKDT) untuk merancang pelbagai perancangan, termasuk memajukan bidang pertanian serta juga menjadikan Daerah ini sebagai destinasi eko pelancongan.
Sementara Rancangan Kemajuan Negara adalah merupakan projek jangka panjang secara menyeluruh, untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang boleh dinikmati oleh rakyat, termasuk pelabur-pelabur di negara ini. Ini juga menjadi keutamaan untuk dilaksanakan.
Semua ini, setentunya memerlukan kesepaduan dan kesepakatan dalam membuat sebarang keputusan.
Penularan wabak koronavirus benar-benar menguji kesabaran dan keupayaan negara dalam membendung wabak ini. Program Vaksinasi Kebangsaan yang dilaksanakan secara berperingkat, boleh dianggap mencapai hasil yang baik. Disamping itu, satu usaha yang baik juga, telah diungkayahkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan mengadakan rancangan “Malam Munajat” yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala melalui istighfar, membaca Yasin, bertazkirah dan lain-lain bentuk zikir, semoga dengan itu, rakyat dan negara akan mendapat perlindungan serta terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit, khasnya wabak koronavirus.
Hanya sedikit sahaja ingin Beta sarankan, supaya diperkemas lagi cara membaca Surah Yasin. Seeloknyalah kalau ia dapat dibaca dengan suara ramai, bukan suara seorang sahaja, dan bacaan pula mustahak secara tartil, bukan terlalu cepat sehingga boleh menjejaskan kesempurnaan bacaan.
Akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa yang sama-sama terlibat dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke Tiga Puluh Lapan Tahun pada tahun ini.
Tidak lupa juga, Beta merakamkan ucapan terima kasih kepada semua lapisan rakyat, termasuk warga Perkhidmatan Awam, sama ada yang bertugas di dalam dan luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan, para sukarelawan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Amin.
