Istiadat Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun kali ini menyaksikan seramai 693 penerima pada istiadat yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, hari ini.
Berangkat mengurniakan Pingat-pingat Kehormatan Negara, selaku Wakil Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Juga berangkat, paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 437 penerima lelaki dan 256 perempuan menerima pingat pada hari yang pertama yang dimulakan dengan pengurniaan kepada 30 penerima bagi Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dari Kementerian Pertahanan dan swasta (sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan).
Manakala 600 warga Perkhidmatan Awam menerima bagi Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B) yang terdiri daripada 25 penerima dari Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, 194 dari JPM, 187 dari Kementerian Pertahanan, 77 dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi, 14 dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, 35 dari Kementerian Hal Ehwal Ugama serta 53 dan 15 penerima masing-masing dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Pada kali ini juga pengurniaan kepada Kementerian Pertahanan menerusi 61 penerima bagi Pahlawan Periwara (P.P) iaitu 60 lelaki dan seorang perempuan dan Penglima Lasgar (P.L) dikurniakan kepada dua penerima lelaki juga dari kementerian yang sama.
Bagi memberkati Istiadat Pengurniaan Pingat tersebut, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Juga berangkat dan hadir, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Pehin-Pehin Manteri, Manteri-manteri Pendalaman, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi, Duta-duta Besar, Setiausaha-setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim serta ketua-ketua kampung.
Pengurniaan pingat-pingat kehormatan negara ini diharap terus menyuntik semangat para penerima dan juga kepada yang lain untuk terus menabur bakti khidmat cemerlang kepada perkembangan mampan dan berintegriti demi membangun dan kemajuan terutama sekali bersama-sama merealisasikan Wawasan Brunei 2035 nanti.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
