Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.

Majlis berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M; dan Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M.

Turut menjunjung keberangkatan baginda dan kerabat diraja ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M yang lain.

Majlis dimulakan dengan Persembahan Bacaan Ayat Suci Al-Quran oleh Qari Jemputan dari Malaysia, Mohamad Husaini bin Mahmur, disusuli dengan dengan Sembah Alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Sejurus itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah.

Majlis kemudian diteruskan dengan Pengumuman Keputusan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M yang disembahkan oleh Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jemaah Hakim, Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.

Majlis diikuti dengan Persembahan Bacaan Al-Quran oleh Johan Qari dan Qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan mengurniakan hadiah-hadiah dan cenderamata kepada johan qari, johan qariah serta peserta-peserta, dan qari jemputan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M.

Johan qari dinobatkan kepada Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri dengan meraih markah 92.17 peratus.

Manakala naib johan ialah Pengiran Muhd. Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki dengan markah 91.65 peratus, dan tempat ketiga dimenangi oleh Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili dengan markah 90.30 peratus.

Sementara itu, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki muncul sebagai johan qariah dengan memperoleh markah sebanyak 91.65 peratus.

Naib johan pula disandang oleh Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat yang meraih 89.50 peratus, manakala tempat ketiga disandang oleh Dayang Nurhaneyah binti Nordin dengan catatan 85.93 peratus.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah BND7,000 berserta Piala Pusingan, Hadiah Iringan dan Sijil Penyertaan.

Selain itu, johan turut menerima Pakej Menunaikan Fardu Haji bagi Peserta Pertama Kali menjadi Johan, Akaun Tekad Haji berjumlah BND5,000 sumbangan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya iaitu Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd.; satu dinar emas daripada Balurih Travel Sdn. Bhd.; dan sebidang kain tenunan Brunei sumbangan daripada Syarikat Little Ummi.

Naib johan pula menerima wang tunai sebanyak BND5,000, Hadiah Iringan dan Sijil Penyertaan, selain Akaun Tekad Haji berjumlah BND2,500 sumbangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd.; dan ½ dinar emas daripada Balurih Travel Sdn. Bhd.

Sementara itu, tempat ketiga menerima wang tunai BND3,000, Hadiah Iringan dan Sijil Penyertaan, juga Akaun Tekad Haji berjumlah BND1,500 sumbangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd.; dan ¼ dinar emas daripada Balurih Travel Sdn. Bhd.

Majlis diakhiri dengan Bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, JPM Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST).

Tema majlis pada tahun ini ialah ‘Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya’.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto