Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos Jr. dan isteri, First Lady Louise Araneta-Marcos yang berlangsung di Cowrie Cove, Shangri-La Mactan Resort, Cebu, malam tadi.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Presiden Republik Filipina dan isteri.
Turut hadir pada Majlis Santap tersebut ialah para pemimpin ASEAN lain yang berada di Cebu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 pada Jumaat, 8 Mei 2026.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
